Jawapan
Kerajaan negeri sememangnya mempunyai perancangan khusus untuk membangunkan semula Kawasan Rumah Hijau di atas tanah kerajaan seluas 9.9 ekar di Mak Mandin bagi meningkatkan taraf kehidupan penduduk di sana. Kawasan tersebut telah dikenalpasti berkeadaan daif dan ketinggalan dari segi kemudahan sistem perparitan, taraf kebersihan, kualiti hidup dan terdedah kepada bahaya seperti kebakaran serta gejala sosial lain. Keadaan rumah penduduk juga menjadi semakin sesak dengan bilangan kediaman sekarang ini mencecah 282 unit dan didiami oleh 285 keluarga. Daripada bilangan kediaman tersebut, 39 buah daripadanya mempunyai lesen pendudukan sementara (TOL) dan sebilangan besar keluarga ini telah mendiami kawasan berkenaan lebih daripada 20 tahun. Kebanyakan mereka ditempatkan di rumah panjang di kawasan berkenaan untuk memberi laluan kepada projek pembinaan dan pembangunan di kawasan Mak Mandin dan sekitarnya. Bagaimanapun, sebelum projek pembangunan semula kawasan ini dilaksanakan, masalah penempatan penduduk di kawasan Rumah Hijau perlulah diselesaikan terlebih dahulu.
Baru-baru ini iaitu pada 14 April 2004 kerajaan negeri telah meluluskan cadangan untuk membangunkan semula tanah kerajaan seluas 10.9 ekar di Ampang Jajar, Jalan Permatang Pauh secara penswastaan. Sejajar dengan persetujuan kerajaan tersebut, pemaju yang ditawarkan projek di Ampang Jajar ini telah disyaratkan untuk membangunkan bersama tanah kerajaan di Kawasan Rumah Hijau, Mak Mandin seluas 9.9 ekar dengan menempatkan semula semua 285 keluarga yang terlibat di rumah kos rendah yang lebih selesa serta selamat di Ampang Jajar. Kesemua keluarga yang terlibat dengan penempatan semula ini akan dibayar pampasan berdasarkan formula pampasan yang telah ditetapkan oleh kerajaan negeri.
Projek ini dijangka akan bermula pada pertengahan tahun 2004. Buat masa sekarang kerajaan negeri masih meneliti deraf perjanjian projek berkenaan sebelum ianya dimuktamadkan untuk ditandatangani. Melalui projek ini, kawasan seluas 10.9 ekar di Ampang Jajar, Jalan Permatang Pauh akan dibangunkan terlebih dahulu dengan pembinaan 288 unit rumah kos rendah khusus untuk penduduk kawasan Rumah Hijau dan dijangka siap dalam tempoh tiga (3) tahun. Kawasan Rumah Hijau, Mak Mandin pula akan dimajukan selepas semua penduduk yang terlibat mengosongkan tapak berkenaan dan ditempatkan semula di rumah kos rendah yang siap dibina di Ampang Jajar.
OK - ARA 15/05/04