MESYUARAT KEDUA PENGGAL PERTAMA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KESEBELAS
Soalan Apakah usaha dan langkah yang telah diambil oleh kerajaan negeri untuk menarik balik penduduk-penduduk kembali ke pusat bandar Tanjung untuk perkembangan perniagaan dan pendidikan.
Dun -
Exco YABKM
Perkara Perniagaan

Jawapan
53. Memang tidak dapat dinafikan bahawa sejak penghujung tahun 70-an, perhijrahan penghuni ke luar dari pusat bandar Tanjong telah berlaku disebabkan oleh empat faktor utama:-

(1) Beberapa kawasan perindustrian diwujudkan di Daerah Barat-Daya, khasnya Bayan Lepas, dan Daerah Seberang Perai Tengah yang memberi banyak peluang pekerjaan yang baru.

(2) Timbulnya dua bandar baru, iaitu, Bandar Bayan Baru dan Bandar Seberang Jaya yang dibangunkan oleh Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) serta pusat-pusat pertumbuhan komersial dan taman perumahan yang dimajukan oleh sektor swasta di kawasan-kawasan di luar George Town, seperti Air Itam - Paya Terubong, Pulau Tikus, Tanjong Tokong – Tanjong Bunga dan Relau – Sungai Ara di bahagian pulau serta di beberapa kawasan di Seberang Perai yang menarik penghijrahan penghuni dan peniaga.

(3) Kekurangan tanah dan ruang, serta kesesakan lalulintas dalam kawasan dalaman bandar.

(4) Pemansuhan Akta Kawalan Sewa sejak tahun 2000 yang mengakibatkan ramai penghuni memindah keluar kerana para pemilik premis mengambil balik premis mereka.

Sebenarnya, fenomena yang berlaku di pusat bandar Tanjong telah berlaku di bandaraya-bandaraya yang lain, sama ada dalam Malaysia atau di negara-negara lain. Kawasan pusat bandar sering mengalami fasa peralihan atau “transitional phase” sedemikian untuk satu tempoh yang tertentu sebelum dapat dipulih dan dihidupkan semula.

Kerajaan Negeri memang peka terhadap tren ini dan telah mengambil beberapa langkah sejak tahun 70-an. Projek-projek yang telah dilaksanakan termasuklah pembangunan KOMTAR sebagai pusat bandar dan pembangunan perumahan, misalnya di Gat Lebuh Macallum. Kedua-dua projek ini mengambil masa selama 20 tahun untuk dibangunkan berperingkat-peringkat.

Sejak penghujung tahun 90-an, kerajaan negeri dengan sokongan dan bantuan daripada Kerajaan Persekutuan dan penglibatan sektor swasta telah memulakan langkah-langkah berikut untuk menjanakan pembangunan di kawasan dalaman George Town dan menarik balik peniaga dan penghuni:-

Pertama, menyediakan atau mempertingkatkan lagi infrastruktur yang akan menjadikan pusat bandar George Town sebagai “Pintu Masuk Utama” bagi pelancong-pelancong antarabangsa, seperti projek pembangunan semula Jeti Swettenham yang akan dinaiktaraf sebagai pusat persinggahan kapal-kapal cruise antarabangsa (international cruise centre) yang sanggup menampung kapal-kapal antarabangsa yang besar dan projek marina kapal layar di Lebuh Gereja (Marina in the City) yang berpotensi sebagai hub utama bagi kapal-kapal layar dalam kawasan perairan Selat Melaka.

Kedua, mempromosikan pusat bandar George Town sebagai bandar warisan untuk dicalonkan ke Senarai Warisan Sedunia UNESCO supaya dapat memajukan pelancongan dan perniagaan di mana kerja-kerja pemuliharaan terhadap bangunan-bangunan sama ada kepunyaan kerajaan atau swasta dilaksanakan dengan peruntukan dari Kerajaan Pusat dan dana swasta. Bangunan-bangunan yang terlibat dalam kerja-kerja pemuliharaan adalah seperti Kota Cornwallis, Masjid Kapitan Keling, Khoo Kongsi, Hotel E & O, Cheong Fat Tze Mansion dan lain-lain.

Ketiga, melaksanakan kerja-kerja menaik taraf infrastruktur di “Lebuh Pantai”, kawasan “Little India”, projek “Gold Bazaar” dan lain-lain dengan peruntukan dari Kerajaan Pusat.





Keempat, mempromosikan tukar guna bangunan yang sedia ada di pusat bandar George Town melalui garis panduan perancangan kepada “dwi guna” (dual use), iaitu sebagai premis perniagaan dan kediaman untuk menarik para peniaga dan penghuni kembali ke George Town.

Kelima, membina lebih banyak rumah kos rendah untuk golongan yang berpendapatan rendah, seperti rumah pangsa Jalan Sungai untuk disewa oleh golongan miskin dalam senarai PPR dan yang terlibat dengan pemansuhan Akta Kawalan Sewa serta projek perumahan sewa di Jalan Zainal Abidin/Lorong Selamat dan projek perumahan mampu-beli di Gat Lebuh Nordin untuk penempatan semula setinggan yang akan dibangunkan tidak lama lagi.

Keenam, terus mengekalkan dan mempromosikan KOMTAR dan Prangin Mall sebagai pusat komersial serta pusat pentadbiran awam dan swasta, di mana beberapa jabatan kerajaan telah memperbesarkan ruang pejabat mereka untuk menampung fungsi-fungsi baru dan penambahan kakitangan.


Ketujuh, menggalakkan institusi-institusi pendidikan menubuhkan operasi mereka dengan menggunakan bangunan-bangunan atau ruang pejabat yang sedia ada, misalnya Kolej Systematic, Equator Academy of Arts, Informatics College, Malaysian Institute of Training and Development (MITD), British Council dan sebagainya.

Langkah-langkah tersebut dan langkah-langkah yang lain yang sedang dirancang untuk masa hadapan dijangka akan memberangsangkan aktiviti-aktiviti ekonomi dan menarik kembali para peniaga dan penghuni ke kawasan bandar dalaman George Town. Walau bagaimanapun, mengikut pengalaman bandaraya-bandaraya yang lain, proses ini akan mengambil satu tempoh masa beberapa tahun sebelum ianya dapat menambahkan momentum dan menghasilkan kesan-kesan positif yang nyata.



Kembali