Jawapan
9. Syarikat Penang Yellow Bus Sdn. Bhd. telah menamatkan operasi bas awam mereka yang meliputi kawasan Balik Pulau pada 31 Disember 2003 tanpa memaklumkan kepada kerajaan negeri terlebih dahulu. Berikutan dengan ini, Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP), di atas permintaan kerajaan negeri, dengan serta merta telah mengeluarkan lesen sementara kepada pengusaha-pengusaha bas tempatan untuk membolehkan perkhidmatan bas awam diteruskan untuk kawasan Balik Pulau. Pada 1 Januari 2004, bas-bas mini telah pun mula memberi perkhidmatan ke kawasan Balik Pulau yang diikuti oleh bas berhenti-henti stage buses pada 5 Januari 2004.
Di samping itu, LPKP juga telah mengeluarkan lesen-lesen baru kepada dua buah syarikat untuk menyediakan perkhidmatan bas dan van awam secara tetap bagi kawasan Balik Pulau. LPKP telah memberi tempoh selama 1 tahun kepada syarikat-syarikat ini iaitu sehingga bulan Mac 2005 untuk memulakan perkhidmatan.
Kerajaan negeri sememangnya tidak puas hati dengan perkhidmatan bas awam di Pulau Pinang yang termasuk kawasan Balik Pulau. Di antara pemerhatian dan aduan-aduan yang diterima adalah perjalanan bas yang tidak mengikut jadual masa, sikap pemandu yang kurang sopan dan memandu dengan cara yang membahayakan keadaan bas yang usang, kotor dan tidak diselenggarakan dengan baik serta perkhidmatan yang telah diberhentikan di laluan-laluan yang kurang menguntungkan. Walau bagaimanapun, kerajaan negeri akan terus berusaha, berkoordinasi dan bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi serta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan dari segi pelesenan; dan Jabatan Pengangkutan Jalan, Polis serta Jabatan Alam Sekitar dari segi penguatkuasaan untuk menambah baik perkhidmatan bas awam di Pulau Pinang.