Jawapan
17. Tujuan utama Pelan Integriti Nasional (PIN) yang dilancarkan oleh YAB Perdana Menteri pada 23 April 2004 ialah untuk membentuk sebuah masyarakat yang kukuh bercirikan moral dan etika, para warganya mempunyai nilai keagamaan dan kerohanian yang utuh dan ditunjangi oleh budi pekerti yang luhur. Di samping itu PIN juga mempunyai objektif meningkatkan kesedaran, komitmen dan kerjasama rakyat sejagat dari pelbagai sektor dalam usaha memantapkan integriti dan memerangi rasuah.
PIN bertujuan untuk menggubal strategi dan memberi halatuju kepada semua sektor dan semua golongan di semua peringkat supaya bekerjasama dan mengambil bahagian secara langsung dalam usaha memantapkan nilai etika dan integriti.
Bagi tempoh 2004 hingga 2008, PIN menetapkan lima sasaran yang hendak dicapai iaitu :-
(i) mengurangkan gejala rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa secara berkesan.
(ii) meningkatkan kecekapan dalam Sistem Penyampaian Perkhidmatan Awam dan mengatasi karenah birokrasi.
(iii) Meningkatkan tadbir urus korporat dan etika perniagaan.
(iv) Memantapkan institusi keluarga.
(v) Meningkatkan kualiti hidup dan kesejahteraan masyarakat.
Seperti yang dikatakan oleh TYT Yang di-Pertua Negeri dalam ucapan beliau ke Dewan ini pada pagi ini, Kerajaan Negeri Pulau Pinang sebenarnya bertuah kerana sejak tahun 1999, YAB Perdana Menteri yang sering kembali ke Negeri Pulau Pinang telah sentiasa memberi ilham dan dorongan kepada para pemimpin negeri supaya berusaha mewujudkan pentadbiran yang berkesan dan berintegriti. Di samping itu, pihak kerajaan negeri juga sangat peka betapa pentingnya pentadbiran kerajaan yang cekap sebagai pemangkin untuk meningkatkan lagi daya saing negeri kita supaya dapat menjanakan pembangunan yang dinamik untuk rakyat jelata.
Oleh itu, Pelan Strategik Pembangunan Pulau Pinang ke-2 (PSDP2) yang diumumkan pada penghujung tahun 2001 telah mengutarakan “urustadbir baik†(good governance) sebagai salah satu daripada lima strategi teras untuk ditumpu dan dilaksanakan. Sejajar dengan strategi teras ini, Kerajaan Negeri melalui kerjasama Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Badan Pencegah Rasuah dan agensi-agensi berkenaan telah merumuskan Pelan Tindakan Peningkatan Integriti Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang dilancarkan pada bulan Ogos yang lalu. Pelan ini mengambil satu pendekatan menyeluruh dengan merangka 12 strategi dan 30 aktiviti sokongan, mengikut empat bidang teras, iaitu, pendidikan, pencegahan, pengukuhan dan punitif.
Oleh itu, Pelan Tindakan Peningkatan Integriti Kerajaan Negeri Pulau Pinang ini mempunyai matlamat yang sama dengan Pelan Integriti Nasional, iaitu, untuk meningkatkan integriti dan mengurangkan gejala rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa. Walau bagaimanapun, ianya lebih berfokaskan kepada perkhidmatan awam dengan penglibatan sektor swasta secara sampingan. PIN memang adalah lebih menyeluruh dan lengkap. Jelasnya, pelaksanaan PIN akan memperkukuh, memperkasakan dan melanskapkan usaha-usaha yang telah mulai dilaksanakan di peringkat negeri ini.
Di antara langkah-langkah yang telah diambil untuk merealisasikan matlamat-matlamat utama PIN ialah seperti berikut:-
(a) Pelancaran buku “Kod Etika Perkhidmatan Awam Kerajaan Negeri Pulau Pinang†oleh saya pada Disember 2003 bertujuan memupuk nilai integriti, kredibiliti, akauntabiliti dan pendekatan ‘mesra rakyat’ semua anggota perkhidmatan awam Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Hasil yang ditujui ialah untuk meningkatkan keyakinan stakeholder dan pelanggan serta memperkasakan semua anggota perkhidmatan awam supaya menjadi profesional, berkualiti dan berilmu dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab, sejajar dengan keperluan mewujudkan ‘knowledged worker’
(b) Mempertingkatkan aktiviti pengurusan yang bercirikan pelanggan seperti Jendela Pelanggan, Perkhidmatan Kaunter Setempat, Borang Maklumbalas Pelanggan, Sistem PINTAS (untuk menerima aduan), Pembangunan Sistem Balanced Scorecard, Piagam Pelanggan, sambutan Minggu Pelanggan dan sebagainya.
(c) Mewujudkan beberapa sistem pengurusan secara elektronik, seperti Sistem Perakaunan dan Pengurusan Kewangan Negeri (SPPKN), Sistem Pengurusan Hartamodal, Sistem Permohonan dan Kewangan Rumah Kos Rendah, Sistem Pinjaman Pelajar, ADUN-Net, PEGIS untuk maklumat geografi, Sistem Maklumat Eksekutif (EIS), Sistem Pengurusan Dokumen (SPEED) dan Sistem Pemantauan Projek Negeri serta memperkenalkan 20 perkhidmatan on-line untuk diekseskan oleh orang ramai yang berurusan dengan kerajaan. Kesemua inisiatif ini dijangka meningkatkan kecekapan sistem penyampaian kerajaan kepada rakyat dan memastikan semua urusan dilakukan dengan lebih telus dan berintegriti.
(d) Meningkatkan pengetahuan dan kesedaran mengenai pengurusan integriti secara bersepadu serta penerapan nilai-nilai murni melalui ceramah, latihan dan bengkel seperti “team building†dan pengajaran nilai-nilai agama serta mewujudkan lima kaunselor di setiap jabatan atau agensi.
(e) Memantau dan mempergiatkan usaha peningkatan keutuhan dan kecekapan pengurusan kerajaan ke arah urus tadbir baik melalui Jawatankuasa Keutuhan Pengurusan Kerajaan dan Jawatankuasa Petugas Mengurangkan Karenah Birokrasi yang dipengerusikan oleh saya serta Jawatankuasa Kerja yang dipengerusikan oleh YB Setiausaha Kerajaan Negeri. Beberapa jawatankuasa kecil juga ditubuhkan untuk melaksanakan program untuk pembangunan nilai-nilai murni, langkah kawalan dan penyemakan sistem dan prosedur kerja.
Adalah nyata bahawa banyak inisiatif dan langkah telah dilaksanakan sejak tahun 2001 yang sebenarnya sejajar dengan matlamat PIN. Langkah-langkah ini perlu diperkukuhkan supaya menjadi lebih berkesan. Di samping itu, berpandu kepada PIN, lebih banyak program lagi yang perlu dimulakan dan diusahakan. Sememangnya, Kerajaan Negeri penuh sedar bahawa usaha menegak integriti dan etika merupakan satu perjuangan yang berterusan buat selama-lamanya.