Jawapan
2. Sememangnya, pusat pentadbiran bagi Seberang Perai Utara (SPU) telah berpindah ke kawasan Bertam dari Butterworth untuk mewujudkan ruang yang lebih besar dan selesa, mengelakkan kesesakan lalu lintas dan memberi liputan perkhidmatan (service coverage) kepada lebih ramai orang lagi, khasnya mereka dari kawasan luar bandar. Walau bagaimanapun, bandar Butterworth tetap akan berkembang sebagai kawasan komersial yang penting, khasnya aktiviti-aktiviti perdagangan (import dan eksport) yang berkaitan dengan pelabuhan NBCT (North Butterworth Container Terminal).
Pembangunan pusat pentadbiran daerah di Bertam, Kepala Batas adalah di atas tanah seluas 130.2 ekar yang telah diambil alih oleh Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) bagi pihak kerajaan negeri. Ianya bertujuan untuk menempatkan jabatan-jabatan kerajaan negeri dan persekutuan yang berfungsi di peringkat daerah dalam satu kawasan bagi memudahkan penyediaan perkhidmatan kepada orang ramai. Sebahagian daripadanya akan dibangunkan secara komersial untuk menampong keperluan Bandar Bertam yang dijangka akan terus berkembang dengan pesat.
Kawasan seluas 85.43 ekar telah dijual kepada 18 buah jabatan dan agensi kerajaan negeri dan persekutuan. Di antara kemudahan dan pejabat yang telah diwujudkan, termasuk:-
(1) Kompleks Sukan Bertam untuk SPU yang dibina oleh MPSP
(2) Hospital Kepala Batas yang dibina oleh Kementerian Kesihatan.
(3) Pejabat JKR Daerah
(4) Pejabat UDA Wilayah Utara
(4) Ibu Pejabat Yayasan Budi Penyayang Malaysia
Di antara bangunan-bangunan yang sedang berada di dalam pembinaan termasuk pejabat polis daerah dan pejabat cawangan Perbadanan Perbekalan Air. Pejabat-pejabat dan kemudahan-kemudahan lain yang dicadangkan untuk dibangunkan di atas tapak tersebut termasuk:-
(1) Pejabat Majlis Agama Islam Pulau Pinang
(2) Mahkamah Syariah Daerah SPU
(3) Mahkamah Bertam (Bahagian Undang-Undang)
(4) Pejabat Pendidikan Daerah SPU
(5) Pejabat Bomba Daerah SPU
(6) Pejabat Jabatan Ukur Daerah SPU
(7) Pejabat Lembaga Pendudukan dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN)
(8) Perpustakaan Daerah SPU