Jawapan
Selaras dengan Pelan Induk K-ICT Negeri yang dilancarkan pada September 2002 serta garis panduan Pelan Strategik ICT Sektor Awam (ISP Sektor Awam) yang disediakan oleh MAMPU pada Ogos 2003, kerajaan negeri adalah komited untuk memperkasakan sistem penyampaian kerajaan (government delivery system) melalui projek-projek e-Kerajaan dengan memberi fokus kepada pembangunan infrastruktur, aplikasi G2G (Government to Government) dan G2P (Government to Public), latihan ICT serta komunikasi dan keselamatan.
Tahap penggunaan komputer dalam sistem pengurusan di peringkat kerajaan negeri termasuk Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) adalah sungguh menggalakkan. Pada masa kini, secara purata nisbah pegawai kepada komputer adalah 1:1 manakala kakitangan kumpulan sokongan pengurusan/pentadbiran adalah 1:3. Disamping itu, semua agensi negeri mempunyai kemudahan e-mel sebagai satu saluran komunikasi dan interakasi yang berkesan.
Kebanyakan fungsi utama di agensi-agensi negeri telah diautomasikan melalui pembangunan sistem-sistem aplikasi ICT yang menyokong konsep e-Kerajaan. Pada masa kini, terdapat 77 buah sistem aplikasi khusus yang menyokong operasi dalaman organisasi, manakala 14 aplikasi kategori G-G yang beroperasi dalam memantapkan perkhidmatan dan perkongsian maklumat antara agensi.
Mulai tahun 2000, kerajaan negeri termasuk MPPP dan MPSP telah giat membangunkan aplikasi G2P sebagai saluran penyampaian perkhidmatan kerajaan negeri kepada orang ramai melalui kemudahan internet. Sehingga kini terdapat 20 aplikasi online G2P yang telah diintegrasikan melalui gerbang tunggal portal eServices@Penang. Portal ini mengintegrasikan 20 aplikasi online dari 4 agensi utama negeri iaitu Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK), MPPP, MPSP dan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC). Antara kemudahan perkhidmatan yang disediakan adalah semakan status permohonan, kompaun, cukai taksiran, harta-tanah, industri, e-borang permohonan serta penyampaian dan maklumbalas aduan/cadangan secara elektronik melalui PINTAS. Portal ini akan dipertingkatkan pada tahun ini dengan antara muka (interfacing) yang lebih mesra-pengguna dan mempunyai kemudahan e-payment iaitu membuat bayaran bil-bil utama kerajaan negeri melalui internet dan dijadual siap pada awal tahun 2005.
Selain dari Portal e-Service & e-Payment ini, beberapa lagi projek e-Kerajaan yang akan dilaksanakan pada tahun ini adalah seperti berikut :
(a) Sistem Maklumat Eksekutif (EIS) - Fasa 1
(b) Sistem Pengurusan Dokumen - Fasa 1
(c) Peningkatan Infrastuktur rangkaian intranet dan internet
(d) Peningkatan keselamatan rangkaian
Disamping itu projek e-Kerajaan pembiayaan kerajaan persekutuan juga telah beroperasi di Pulau Pinag iaitu Sistem Pemantauan Projek Pembangunan Pembiayaan Kerajaan Persekutuan (SPP II), e-Syariah dan Sistem Perakaunan Berkomputer Standard Kerajaan Negeri (SPEKS). SPEKS kini beroperasi dengan 6 modul/fungsi utamanya manakala 5 modul lagi masih dalam pembangunan pada tahun ini. Pulau Pinang juga telah terpilih sebagai negeri perintis dalam pelaksanan projek e-Tanah. Projek e-Tanah merupakan satu proses pemodenan pentadbiran tanah yang komprehensif dan dijangka mampu mengurangkan kerenah birokrasi dan mempercepatkan urusan dengan orang ramai. Projek e-Tanah ini dijadual akan mula dibangunkan secara berfasa mulai tahun 2005 hingga 2006.
Sesungguhnya kerajaan negeri sangat komited dalam memastikan kualiti perkhidmatannya kepada orang ramai sentiasa dipertingkatkan melalui amalan sistem penyampaian kerajaan yang cekap, cepat dan berilmu.