Jawapan
48. Seperti yang sedia maklum, Wawasan 2020 yang dilancarkan oleh bekas Perdana Menteri, YABhg. Tun Dr Mahathir Mohamad, pada tahun 1991 bertujuan untuk menjadikan negara Malaysia sebagai sebuah negara yang benar-benar maju dalam semua aspek pada tahun 2020.
Wawasan 2020 telah memberi ilham dan dorongan kepada rakyat Malaysia supaya terus bersatu padu, berganding bahu, berikhtiar dan bekerjasama untuk mencapai kecemerlangan dalam semua bidang. Oleh itu, dalam tahun 90-an, Malaysia telah mencapai
prestasi yang tinggi dalam proses pembangunan negara, termasuk menyediakan banyak prasarana yang amat diperlukan untuk menjanakan pertumbuhan ekonomi dan pembangunan sosial.
Di peringkat Negeri Pulau Pinang pula, berdasarkan kepada Wawasan 2020, kerajaan negeri, melalui proses perundingan dengan sektor swasta dan para akademik pada tahun 1991 - 1992, telah menggubal dan melancarkan Pelan Strategik Pembangunan Pulau Pinang Pertama (PSDP1) bagi tempoh 1991 – 2000 untuk memandu menjanakan pembangunan ekonomi dan sosial bagi negeri kita ini. Hasil daripada perlaksanaan banyak strategi dan program di bawah PSDP1, Negeri Pulau Pinang telah mengalami pembangunan ekonomi yang amat pesat dan rancak dalam tahun 90-an.
Selanjutnya, kerajaan negeri sekali lagi melalui proses perundingan telah menggubal PSDP2 bagi tempoh tahun 2001 – 2010 yang dilancarkan pada tahun 2001 sebagai kesinambungan kepada PSDP1, tetapi dengan merangka strategi-strategi baru untuk menangani cabaran-cabaran baru yang telah muncul, termasuk kegawatan ekonomi yang melanda negara dan negeri kita sejak penghujung tahun 1997. PSDP2 juga telah menetapkan komitmen untuk Negeri Pulau Pinang mencapai sasaran-sasaran utama Wawasan 2020 pada tahun 2010.
Sebenarnya, tidak dapat dinafikan bahawa sejak penghujung tahun 1997, negara kita telah dilanda oleh berbagai-bagai jenis krisis dan cabaran, dari segi ekonomi mahupun politik, sama ada di peringkat global atau nasional. Akan tetapi, dengan tindakan yang bernas dan tegas, beberapa langkah yang telah dan sedang dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri bukan sahaja dapat mengurangkan impak negatif dari krisis-krisis ini, bahkan dapat terus menjanakan pembangunan yang sederhana tetapi sihat.
Melalui pengalaman dan dugaan ini, kerajaan di peringkat persekutuan dan negeri memang sedar akan cabaran-cabaran yang wujud dalam konteks globalisasi dan munculnya persaingan dari negara-negara yang sedang membangun yang turut meningkatkan daya saing dan kelebihan-kelebihan mereka. Oleh itu, pihak kerajaan telah dan akan terus berusaha bersama dengan sektor swasta untuk meningkatkan lagi daya saing negara dan negeri kita.
Selanjutnya, sejak Perdana Menteri sekarang, YAB Dato’ Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi, mengambil alih teraju pentadbiran negara pada bulan November 2003, beliau telah mengemukakan beberapa inisiatif dasar yang utama untuk membawa perubahan dan pembaharuan kepada sistem pentadbiran dan jentera penyampaian (delivery machinery) bagi kerajaan serta menggalakkan usaha memupuk integriti dan etika di sektor awam, sektor swasta, mahupun di kalangan masyarakat pada umumnya. Beliau juga sentiasa menegaskan betapa pentingnya keazaman pucuk pimpinan bersama rakyat menuju ke arah menjadikan sebuah negara yang cemerlang, gemilang dan terbilang.
Seruan-seruan dan inisiatif-inisiatif tersebut oleh YAB Perdana Menteri telah menjadi dorongan tambahan dan memberi harapan kepada rakyat Malaysia pada amnya dan rakyat Negeri Pulau Pinang khasnya untuk terus bersatu hati dan berusaha sedaya upaya supaya mencapai kecemerlangan bukan menjadikan negara dan negeri kita ini gemilang dan terbilang.
Oleh itu, berdasarkan kepada wawasan yang jelas, dasar-dasar yang pragmatik dan berkesan, asas pembangunan yang kukuh yang telah dicapai selama ini, keazaman dan dedikasi pucuk pimpinan serta semangat perjuangan bersama yang ditunjukkan oleh rakyat pada amnya, maka kita sepatutnya mempunyai keyakinan bahawa Wawasan 2020 akan dapat dicapai.