Jawapan
1. Proses permohonan dan pengeluaran hakmilik strata melibatkan 3 pihak, iaitu pemaju, Pejabat Tanah dan Pejabat Ukur. Ketiga-tiga pihak ini hendaklah bekerjasama dan berkordinasi untuk mempercepatkan pengeluaran hakmilik strata.
Bagi Pentadbir Tanah, sebaik sahaja permohonan diterima daripada pemaju (yang dibuat melalui juruukur berlesen), Pejabat Ukur akan dimaklumkan dan diminta memberi ulasan-ulasan ke atas permohonan tersebut. Sebelum ulasan diberi, Pejabat Ukur biasanya akan melawat tapak projek untuk menyemak ukuran-ukuran yang dikemukakan serta menentukan bangunan dan ukuran-ukuran yang disediakan adalah mengikut pelan bangunan yang diluluskan oleh Majlis Perbandaran Pulau Pinang/Majlis Perbandaran Seberang Perai.
2. Masalah utama yang dihadapi yang menyumbang kepada kelewatan pengeluaran hakmilik strata ialah:-
a) Terdapatnya perbezaan di antara bangunan yang telah dibina dengan pelan bangunan yang telah diluluskan. Perbedzaan boleh terjadi bukan saja disebabkan oleh pembinaan yang tidak mengikut pelan yang diluluskan, tetapi juga disebabkan oleh penghuni-penghuni telah membuat pengubahsuaian (renovation) ke atas petak-petak milik mereka. Di dalam kes-kes seperti ini biasanya pihak pemaju akan diminta mengambil langkah-langkah remedi supaya memperbetulkan sebarang perbezaan yang wujud.
b) Pemaju gagal mengemukakan hakmilik muktamad (Final Title) tanah di mana bangunan berkenaan didirikan. Walaupun suratan hakmilik sementara (qualified title) boleh diterima semasa mengemukakan permohonan, tetapi kelulusan tidak boleh diberi selagi hakmilik muktamad ke atas sesuatu lot tidak dapat dikeluarkan selagi kerja-kerja urusan ukur halus belum diselesaikan.
c) Pemaju gagal menyelesaikan masalah melepaskan gadaian-gadaian yang terdapat di dalam geran asal. Ini mungkin boleh dikaitkan dengan masalah kewangan yang dihadapi oleh pemaju. Terdapat juga kes di mana pemaju telah diisytiharkan bankrup.
d) Lain-lain masalah seperti pemaju gagal menjelaskan bayaran-bayaran yang dikenakan dan kelewatan pemaju menyiapkan pindaan halusan pengukuran dan sebagainya.
3. Kerajaan dari masa ke semasa mengambil langkah-langkah yang positif untuk mempercepat dan mempermudahkan urusan-urusan permohonan dan pengeluaran hakmilik strata. Di antara tindakan yang telah dibuat ialah:-
a) Menubuhkan satu unit khas di Pejabat Tanah dan Galian untuk memproses dan mendaftar hakmilik strata.
b) Memberi lebih keutamaan kepada pendaftaran hakmilik tetap bagi lot-lot tanah yang berkaitan dengan bangunan yang terlibat dengan hakmilik strata.
c) Mengadakan bengkel-bengkel kepada pemaju dan pemilik-pemilik petak dari masa ke semasa mengenai kefahaman hakmilik strata.
OK - ARA 14/05/04