MESYUARAT KEDUA PENGGAL KETIGA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KESEBELAS
Soalan Selepas invest Penang mengambil-alih peranan sektor perindustrian dari Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), apakah peranan yang dimain oleh PDC demi perkembangan ekonomi negeri Pulau Pinang. Apakah projek-projek yang dijalankan oleh PDC yang boleh mendatangkan manfaat kepada orang ramai dan berapakah kos projek dan bilakah dijangka siap.
Dun -
Exco YABKM
Perkara PDC

Jawapan
Seperti yang sedia maklum, Bahagian Perindustrian dan Perdagangan (BPP) PDC yang telah ditubuhkan sejak awal tahun 70an telah memainkan peranan yang amat penting dalam pembangunan perindustrian bagi Negeri Pulau Pinang. Bahagian ini memainkan peranannya melalui dua (2) fungsi utama berikut, seumpama serampang dua (2) mata:-

(a) Perancangan dan pembangunan taman-taman perindustrian yang dilengkapi dengan kemudahan-kemudahan asas untuk dijual kepada para pelabur asing dan tempatan bagi membina kilang-kilang mengikut lot dan luasnya yang diperlukan.

(b) Promosi pelaburan untuk menarik pelabur-pelabur asing dan tempatan ke Negeri Pulau Pinang dengan mengunjungi ibu pejabat syarikat-syarikat yang berkenaan, menganjurkan misi promosi pelaburan sendiri atau menyertai misi promosi anjuran MIDA dan MATRADE; membantu para pelabur mendapat insentif-insentif dan kelulusan permit dari beberapa jabatan/agensi yang berkenaan serta sentiasa menjalinkan perhubungan yang baik dengan pengurusan atasan setiap syarikat pelabur.

Melalui dua (2) fungsi tersebut, PDC telah berjaya menarik banyak pelabur ke Negeri Pulau Pinang untuk membeli tanah perindustrian dan mendirikan kilang pengeluaran. Dengan demikian, beratus ribu peluang pekerjaan telah diwujudkan bagi rakyat negeri ini dan negeri-negeri jiran.

Walau bagaimanapun, sejak tahun 2001, adalah didapati bahawa persaingan dari negara-negara lain untuk menarik pelaburan menjadi semakin sengit. Maka, adalah perlu diadakan sebuah agensi yang lebih berfokus untuk menumpukan segala perhatian dan usaha kepada semua aspek promosi pelaburan. Lebih tumpuan hendaklah diberi untuk perjalinan perhubungan yang erat dengan pelabur-pelabur yang sedia ada supaya mereka terus kekal di sini serta memperbesar dan meningkatkan operasi mereka. Usaha yang lebih gigih perlu ditumpukan untuk menarik bakal pelabur untuk menyakinkan mereka supaya membuat pelaburan.

Mengumpulkan maklumat mengenai setiap syarikat merupakan salah satu daripada fungsi penting yang hendaklah dipertingkatkan. Di samping itu, usaha yang lebih gigih harus dipertingkatkan untuk mempergunakan sumber, kepakaran, pengalaman dan jalinan perhubungan (networking) dari tokoh-tokoh industri tempatan dan asing bagi memberi maklumat dan nasihat serta membantu Kerajaan untuk menilai sesuatu cadangan pelaburan dan menyakinkan bakal pelabur supaya melabur.

Berdasarkan kepada keperluan dan pertimbangan tersebut, maka Kerajaan Negeri memutuskan pada tahun 2004 supaya ditubuhkan sebuah agensi khas untuk berfokus kepada semua aspek promosi tersebut dan mengambil alih fungsi PDC dalam promosi pelaburan. investPenang mulai berfungsi pada Januari 2005 dan didapati berhasil, seperti yang dihuraikan dalam jawapan saya kepada soalan yang kedua tadi.

Selaras dengan keputusan tersebut dan selaras dengan proses penstrukturan semula PDC yang berlangsung pada masa yang sama, fungsi pertama Bahagian Perindustrian dan Perdagangan (BPP) dalam perancangan dan pembangunan taman perindustrian masih kekal diterajui oleh PDC, tetapi dipindah diletakkan di bawah Bahagian Hartanah PDC. BPP telah ditutup, beberapa pegawai dan kakitangan dipindah ke investPenang, sedangkan yang lain diserap masuk ke bahagian-bahagian PDC yang lain.

Oleh itu, PDC masih tetap memainkan peranan yang penting dalam pembangunan perindustrian bagi negeri ini, iaitu merancang dan membangunkan kawasan perindustrian yang baru, membina kilang-kilang untuk pelabur dan SMI, menguruskan proses penjualan atau sewaan tanah industri, menjalankan pentadbiran tanah industri dan kilang-kilang siapbina dan sebagainya. Sehubungan dengan ini, Bahagian Hartanah PDC sentiasa bekerjasama rapat dengan investPenang.


Lanjutan dari permintaan yang tinggi ekoran perkembangan sektor industri yang begitu pesat sejak 2005, stok tanah industri semakin susut sehinggalah pada masa kini hampir tiada lagi tapak yang boleh ditawarkan kepada pelabur di Taman Perindustrian Bayan Lepas, dan stok tanah di kawasan Taman Perindustrian Bukit Minyak pun menjadi semakin berkurangan. Oleh itu, pihak PDC telah membuat perancangan berikut :-

a) Pembangunan tapak seluas lebih kurang 200 ekar yang dikenal sebagai Penang Biotech Park telah pun bermula untuk tujuan memenuhi keperluan pembangunan industri Biotek, bio-farmasi dan peralatan perubatan. Projek ini dijangka mampu menarik pelaburan baru dalam bidang bioteknologi untuk menjadi satu sektor pertumbuhan baru untuk ekonomi negeri dan seterusnya menjana peluang pekerjaan bagi para pakar saintis dan pelajar lepasan universiti.

b) Dalam usaha untuk menarik ramai pelabur agar terus melabur di Pulau Pinang, pelbagai insentif kemudahan yang menarik ditawarkan. Misalnya konsep ‘build and lease’, di mana bangunan kilang akan dibina oleh PDC mengikut spesifikasi yang dikehendaki oleh pelabur dan akan disewa dengan kadar yang berpatutan. Kaedah ini mengurangkan kos pembinaan yang ditanggung oleh pelabur supaya lebih banyak modal dapat dilaburkan untuk teknologi dan peralatan yang canggih pada tahap permulaan. Kaedah ini ialah untuk bersing dengan negara-negara lain seperti Singapura yang memberi insentif dan geran yang sangat menarik.

c) Cadangan pembangunan kawasan industri Penang Cyber City 2 di Bandar Cassia, Batu Kawan atas tanah seluas lebih kurang 400 ekar yang dimiliki PDC.

d) Perancangan untuk membangunkan taman-taman perindustrian yang baru di Batu Kawan dan dua tiga lokasi yang sedang dikenalpasti, mengikut keperluan dan permintaan.

e) Cadangan untuk mengambilbalik tanah perindustrian yang telah dijual tetap tidak dibangunkan dalam masa yang ditetapkan dengan kerjasama Pihak Berkuasa Negeri ataupun pembelian balik tanah-tanah industri yang tidak mampu dibangunkan untuk dimajukan semula.

Selain daripada merancang dan membangunkan taman dan kemudahan perindustrian, fungsi pembangunan hartanah oleh PDC akan terus meliputi pembangunan perumahan dan komersial serta produk-produk pelancongan untuk membantu menjanakan pertumbuhan ekonomi.

PDC melalui anak syarikatnya, PDC Properties Sdn. Bhd. akan terus membangunkan Bandar Cassia di Batu Kawan dengan projek-projek perumahan dan komersil di mana 45% darinya adalah unit-unit perumahan mampu milik. Bayan Mutiara akan terus dibangunkan dengan pembangunan bercampur di mana akan ditempatkan kompleks Dewan Undangan Negeri dan Pusat Pentadbiran Kerajaan Negeri yang baru, Pusat Konvensyen Antarabangsa, pusat pentadbiran bagi agensi-agensi kerajaan dan sebagainya.

Sektor pelancongan juga terus diberi perhatian oleh PDC, terutamanya bagi kawasan Batu Kawan dan kawasan-kawasan sekitarnya. Pembinaan Jeti Batu Musang akan dapat mengwujudkan rangkaian perhubungan yang lebih baik ke Pulau Aman, Bukit Tambun, Pulau Gedung dan lain-lain pulau disekitarnya. Penternakan akuakultur, “agro-tourism” dan industri sampingan yang berkaitan dengannya akan dapat dimajukan. PDC juga sedang menjalankan kajian untuk membangunkan beberapa projek pelancongan berdasarkan bentuk geografi asal dan persekitaran semulajadi seperti bukit dan hutan bakau di sekitar Batu Kawan. Pulau Jerejak akan terus dibangunkan dan dipertingkatkan sebagai satu destinasi pelancongan yang terkemuka.

PDC juga telah menceburi bidang telekomunikasi melalui anak syarikatnya PDC Telecommunication Services Sdn Bhd. Sejumlah 38 menara pemancar telekomunikasi akan dibina dan dijangka akan siap sepenuhnya dalam tahun 2008. Projek ini penting untuk membuat persediaan bagi perkembangan teknologi komunikasi tanpa wayar (wireless technology) seperti 3G dan WiMAX. Selain itu, Projek Perintis Jalur Lebar (Broadband) juga akan dilaksanakan untuk meliputi seluruh negeri dengan teknologi komunikasi tanpa wayar. Selain dari itu, proses pemutihan bagi menara-menara pemancar yang telah dibina tanpa kebenaran juga sedang giat dilakukan.

Dalam bidang ICT, Bahagian Teknologi Maklumat dan Komunikasi PDC telah dan akan terus memainkan peranan yang amat penting sebagai urusetia bersama dengan Pusat Komputer Negeri bagi Majlis K-ICT yang bertanggungjawab melaksanakan lima Inisiatif Strategik K-Ekonomi iaitu pembangunan pekerja berilmu, rangkaian perhubungan, ekonomi elektronik, kesaksamaan digital dan urustabir baik elektronik.

Sejajar dengan tumpuan RMKe-9 terhadap sektor agroteknologi dan akuakultur, PDC telah juga menceburi bidang akuakultur dengan meneruskan projek ternakan ikan dan udang dalam kolam yang sediada di Batu Kawan melalui anak syarikatnya PDC Aquaculture Sdn Bhd. PDC juga sedang dalam proses untuk memulakan projek ternakan kambing melalui anak syarikatnya, PDC Agrotech Sdn Bhd.

Sejak 1990, PDC telah menjalankan fungsi pembangunan usahawan khasnya bumiputera dengan mewujudkan Unit Khidmat Bumiputera (UKB) yang kemudiannya dikenali sebagai Unit Pembangunan Usahawan (UPU). Selaras dengan penstrukturan semula PDC, peranan UPU telah dipertingkat dan ditambah lagi dan dinamakan sebagai Bahagian Pembangunan Usahawan (BPU) bagi memberi fokus kepada pembangunan usahawan amnya dan usahawan Bumiputera khasnya. Projek-projek yang sedang dan akan terus dilaksanakan adalah seperti penyediaan premis komersial, penganjuran Ekspo Usahawan Bumiputera, “Showcase SMIDEC”, dan Program Penyertaan Bumiputera di Penang MSC Cybercity.

Pihak PDC juga diberi tanggungjawab untuk menganjurkan Pesta Ekspo Penang oleh Kerajaan Negeri sejak tahun 2004 dengan imej baru dan komponen-komponen yang baru dan menarik. Menerusi penganjurannya, PDC telah berusaha membuka peluang yang luas kepada usahawan dan peniaga kecil tempatan untuk menyertai Pesta Ekspo ini yang mendapat sambutan meriah dari pelawat dari dalam dan luar negeri.

Maka, secara kesimpulan, PDC masih dan akan terus memainkan peranan yang penting dalam perkembangan ekonomi negeri Pulau Pinang supaya memanfaatkan semua lapisan masyarakat.


Kembali