Jawapan
32. Sebagaimana yang disedia maklum Negeri Pulau Pinang telah diluluskan peruntukan sebanyak RM8.254 bilion di mana RM7.653 bilion diluluskan di bawah peruntukan pembangunan dan RM601 juta diluluskan di bawah Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI). Kesemua peruntukan yang diluluskan ini sedang dikemaskinikan oleh kementerian di peringkat pusat bagi memberikan nombor projek. Mengenai projek mega pula, Negeri Pulau Pinang diluluskan tiga (3) projek Mega iaitu Jambatan Kedua Pulau Pinang, Projek Monorail dan Lingkaran Luar Pulau Pinang (PORR). Oleh yang demikian, ketiga-tiga projek mega yang dimaksudkan adalah untuk Negeri Pulau Pinang dan tidak diagihkan mengikut daerah. Walau bagaimanapun, dari kesan ekonomi serta limpahan pembangunan ia akan memberi faedah kepada seluruh Negeri Pulau Pinang termasuk Daerah Seberang Perai Tengah.
Namun begitu, dari segi senarai projek/program yang diluluskan oleh kerajaan di bawah RMK-9 boleh dikenal pasti mengikut daerah, KADUN dan Kawasan Parlimen. Pengagihan ini sedang dilaksanakan oleh Pejabat Pembangunan Negeri. Sebagai permulaan, setelah dianalisis berdasarkan kepada senarai projek yang dimasukkan oleh Kementerian dalam Sistem Pemantauan Projek II (SPP II), jumlah projek yang diluluskan bagi Daerah Seberang Perai Tengah adalah sebanyak 161 projek dengan nilai RM871,055,998.00. Maklumat lanjut mengenai projek akan disalur melalui Pejabat Daerah.