MESYUARAT KEDUA PENGGAL KETIGA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KESEBELAS
Soalan Nyatakan secara terperinci rancangan kerajaan negeri untuk pembangunan Pulau Jerejak. Adakah kerajaan negeri mempunyai satu jadual masa untuk rancangan ini. Jika ada, berikan jadual masanya dan jika tidak, mengapa.
Dun -
Exco TCY
Perkara Pembangunan

Jawapan
5. Kerajaan Negeri sedang dalam proses mewartakan tanah di Pulau Jerejak seluas 295 hektar sebagai Hutan Simpan Kekal (HSK). Hutan ini akan kemudiannya dikategorikan kegunaannya sebagai Taman Negeri. Apabila proses mengkategorikan ini selesai, Taman Negeri ini akan bercirikan eko-pelancongan. Proses ini dijangka selesai pada bulan Jun 2007.

Manakala projek pembangunan pelancongan di atas tapak seluas 80 ekar adalah milik Tropical Island Resort Sdn Bhd (TIRSB), sebuah syarikat usahasama di antara PDC dan agensi kerajaan pusat iaitu UDA Holdings Bhd (UHB), dengan ekuiti 49% dan 51% masing-masing.

Berdasarkan perancangan TIRSB, cadangan pembangunan Pulau Jerejak merangkumi 3 Fasa seperti berikut:-

Fasa 1 [Jerejak Resort & Spa (JRS)] (Zon 4)

TIRSB telah membangunkan Fasa 1 (Zon 4) iaitu Jerejak Resort & Spa (JRS) di Pulau Jerejak dan fasa ini telah disiapkan sepenuhnya pada 29 Ogos 2003. Pembangunan ini mengandungi bangunan utama, 13 unit chalet, 2 blok bangunan dormitori, bangunan servis, bilik air berpusat, tapak perkhemahan, spa, tempat beribadat, jeti berlepas dan ketibaan serta kawasan rekreasi.

Sebagai usaha untuk menarik lebih ramai pengunjung, pihak TIRSB buat masa ini sedang menjalankan kerja-kerja pengubahsuaian di pembangunan Fasa 1 yang melibatkan pengubahsuaian 2 blok dormitori kepada bilik-bilik hotel. Setakat ini, satu blok yang mengandungi 22 bilik hotel telahpun disiapkan pada bulan Ogos yang lalu, manakala untuk sebuah lagi blok yang akan mengandungi 24 bilik, kerja-kerja pengubahsuaian akan dibuat selepas ini. Kerja-kerja yang lain termasuklah kerja-kerja di Spa Village iaitu pembinaan kolam renang yang kini telahpun siap manakala restoran yang baru setakat ini telah siap 50%.

Fasa 2 (Rekreasi/Komersial dan Vista Point) (Zon 1& 2)

Antara komponennya termasuklah medan selera, hotel bajet, muzium penjara, plaza membeli-belah, rumah kelab dan banglo percutian.

Mengikut perancangan TIRSB, Fasa 2 ini dirancang untuk dimulakan pada 2007 dan dijangka siap pada 2009. Walau bagaimanapun, memandangkan kemungkinan elemen kos yang tinggi, pembangunan ini masih lagi tertakluk kepada kelulusan para pemegang saham memandangkan kajian yang lebih terperinci perlu dilakukan terlebih dahulu.

Fasa 3 (Resort Eksklusif) (Zon 3)

Antara komponen fasa terakhir ini adalah rumah kelab, banglo korporat, villa dan restoran. Cadangan pembangunan ini ditangguhkan buat masa ini oleh kerana TIRSB ingin menumpukan perhatian kepada perancangan di Fasa 1 dan Fasa 2.



Kembali