MESYUARAT KEDUA PENGGAL KETIGA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KESEBELAS
Soalan Apakah rancangan kerajaan negeri dalam usaha membangunkan kaum Melayu di Negeri Pulau Pinang:- (a) Adakah terdapat apa-apa rancangan bagi pembangunan Melayu Pulau Pinang dalam RMK-9 dan berapa peruntukkan yang telah disediakan. (b) Apakah rancangan yang telah dimasukkan bagi membangunkan Melayu Pulau Pinang dan berapakah peruntukkan yang telah disediakan di dalam RNPP ke-2.
Dun -
Exco TKM
Perkara Pembangunan

Jawapan
Y.B. Dato’ Speaker, saya mohon kebenaran Yang Berhormat Dato’ untuk menjawab soalan ini bersama-sama soalan no.5 daripada Yang Berhormat Ahli Kawasan Permatang Pasir dan soalan no. 26 daripada Yang Berhormat Ahli Kawasan Sungai Acheh.

(i) Isu ‘Melayu terpinggir’, bukanlah satu isu yang baru dan bukanlah terhad kepada Negeri Pulau Pinang sahaja. Walau bagaimanapun, dalam konteks Negeri Pulau Pinang, isu ini wujud sebagai satu perspektif atau gambaran yang menunjukkan perasaan dan harapan orang-orang Melayu supaya mereka akan mendapatkan pembelaan yang lebih berfokus dan berhasil lagi daripada kerajaan negeri. Ini adalah kerana jurang perbezaan dari segi pencapaian ekonomi yang tidak seimbang terutamanya dengan kaum Cina dalam beberapa aspek seperti pegangan ekuiti, pemilikan hartanah, tahap pendapatan, pekerjaan, harta intelek, perdagangan dan perindustrian. Di samping itu, tahap pencapaian bumiputera dalam bidang-bidang baru seperti ICT dilihat sebagai terlalu perlahan. Isu ini diketengahkan sebagai satu laungan yang merasakan diri orang Melayu tertinggal dan memerlukan perhatian dan tindakan yang lebih dari kerajaan negeri.

(ii) Ukuran atau Key Performance Indicator (KPI) yang digunapakai untuk menentukan prestasi kemajuan orang-orang Melayu ialah sekurang-kurangnya 30% minima penyertaan bumiputera dalam semua sektor ekonomi seperti dalam aspek pegangan ekuiti, pemilikan hartanah, tahap pendapatan, pekerjaan, perdagangan, perindustrian dan pelancongan. KPI ini adalah selaras dengan sasaran di peringkat kebangsaan.

(iii) Kerajaan negeri sememangnya telah berusaha dan akan terus meningkatkan lagi usaha untuk mengatasi permasalahan ini dengan meningkatkan penyediaan tempat tinggal yang lebih teratur dan terancang melalui program perumahan mampu beli dan mampu sewa, pewujudan peluang-peluang pekerjaan, peluang-peluang kontrak dan projek serta pembangunan sumber manusia untuk membantu orang-orang Melayu di Pulau Pinang supaya dapat meningkatkan taraf ekonomi, sama berdaya maju dan berdaya saing.
PERUMAHAN – PENYEDIAAN TEMPAT TINGGAL
(i) Kerajaan negeri sedang dan akan terus berusaha meningkatkan jumlah pemilikan rumah mampu milik atau untuk disewa di kalangan orang Melayu di samping itu orang-orang Melayu dapat meningkatkan kegiatan ekonomi mereka di bandar. Dalam usaha ini, kerajaan negeri melalui Bahagian Perumahan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dengan kerjasama jabatan dan agensi seperti UDA, JKP, PDC, PERDA dan MAINPP akan meningkatkan usaha dalam membina lebih banyak rumah-rumah mampu milik melalui pembinaan rumah-rumah kos rendah dan sederhana rendah.

(ii) Bersama-sama dengan pemaju-pemaju swasta yang menyumbang, sehingga kini terdapat sebanyak 532 buah projek perumahan di Negeri Pulau Pinang yang terdiri daripada 467 buah projek perumahan kos rendah dan 65 buah projek perumahan kos sederhana. Bilangan unit rumah yang dibina daripada projek-projek ini adalah sebanyak 142,208 unit rumah yang telah dan akan diagihkan kepada pemohon-pemohon yang layak, termasuk orang-orang Melayu.

(iii) Statistik Bahagian Perumahan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri menunjukkan bahawa sehingga 30 Oktober 2006, sebanyak 90,590 unit rumah mampu milik kos rendah dan sederhana rendah telah ditawarkan. Daripada jumlah tersebut sebanyak 30,157 unit rumah telah ditawarkan kepada kaum bumiputera yang merupakan 33.29% daripada jumlah keseluruhan. Daripada jumlah yang ditawarkan tersebut, sebanyak 14,129 unit telah pun diterima oleh pemohon.

(iv) Agensi-agensi lain turut memainkan peranan dalam menyediakan perumahan mampu milik di Negeri Pulau Pinang. Setakat Oktober 2006, PERDA telah menyediakan sejumlah 908 unit rumah yang mana 742 unit rumah adalah rumah jenis kos rendah dan 159 unit rumah kos sederhana rendah. Daripada jumlah tersebut sebanyak 895 unit dimiliki oleh bumiputera iaitu 98.57%. Selain daripada itu, terdapat 6 projek perumahan mampu milik sebanyak 1,192 unit sedang dilaksanakan.

(v) JKP Sdn. Bhd. turut memainkan peranan penting dengan membina sejumlah 1,040 buah rumah kos rendah dan rumah kos sederhana rendah sehingga Disember 2005, di mana sebanyak 1,022 unit rumah telah dijual dan 1,003 unit (98.14%) daripadanya telah dijual kepada bumiputera. JKP Sdn. Bhd. juga mempunyai 7 lagi projek perumahan yang masih di dalam proses pembinaan yang melibatkan pembinaan sebanyak 1,575 unit rumah.

(vi) Setakat 2006, Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) telah menyiapkan sejumlah 68 unit rumah manakala sebanyak 137 unit rumah lagi masih di dalam pembinaan. Selain dari itu, sepanjang tempoh RMKe-9, MAINPP telah merancang untuk mendirikan sejumlah 2,055 unit rumah mampu milik lagi untuk kaum bumiputera di negeri ini.

(vii) Setakat 2006, PDC telah membina sejumlah 7,777 unit rumah kos rendah di seluruh Negeri Pulau Pinang di mana sejumlah 3,991 unit telah dimiliki oleh bumiputera yang merupakan 51.32% daripada jumlah keseluruhannya.

(viii) UDA turut memberikan penekanan ke atas pembangunan hartanah yang mampu dimiliki oleh Bumiputera di kawasan urban dan sub-urban samada dalam bentuk pemilikan rumah kediaman mahupun pemilikan premis perniagaan. Di bawah UDA sebanyak 4,337 unit rumah mampu milik telah disiapkan dan dimiliki oleh bumiputera dan sebanyak 300 unit lagi masih dalam pembinaan. Bagi tempoh 2007 hingga 2010, sebanyak 2,578 unit rumah disasarkan akan dibina untuk dimiliki oleh bumiputera di negeri ini.

(ix) Bagi tujuan menampung permintaan yang tinggi terhadap kedua-dua jenis rumah ini, kerajaan negeri turut akan seimbangkan pembinaan rumah-rumah kos sederhana dan tinggi di negeri ini berdasarkan penawaran yang berlaku di dalam negeri ini. Selain dari itu, pembangunan tanah wakaf turut diberikan tumpuan dalam usaha kerajaan negeri menyediakan perumahan mampu milik di negeri ini. Di bawah RMKe-9, peruntukan sebanyak RM100 juta telah diluluskan untuk pembangunan tanah-tanah wakaf. Kerajaan akan juga merangka garis panduan bagi menggunakan peruntukan Tabung Perumahan Bumiputera supaya ianya dapat dimanfaatkan dalam menyediakan perumahan kos rendah kepada bumiputera.


MASYARAKAT PERDAGANGAN DAN PERINDUSTRIAN
BUMIPUTERA

(Penyertaan dalam bidang perniagaan, perdagangan & perindustrian)

(i) Pembangunan Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (MPPB) adalah menjadi pendekatan utama dalam menyusun semula masyarakat dan memastikan penyertaan bumiputera yang lebih luas dalam semua sektor ekonomi bagi tujuan membangunkan usahawan bumiputera yang berdikari, mampan dan berdaya saing.

(ii) Bagi melahirkan lebih ramai lagi usahawan bumiputera yang berkecimpung dalam bidang perniagaan, perdagangan dan industri selaras dengan wawasan mewujudkan Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (MPPB), sepanjang tempoh RMKe-8 yang lalu sejumlah 10,448 ruang niaga telah disediakan oleh agensi-agensi seperti MARA, PDC, Pejabat Pembangunan Negeri, PERDA, MPPP dan MPSP. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 2,868 unit (27%) daripada ruang niaga tersebut telah diisi oleh bumiputera.

(iii) Sehingga Disember 2005, MARA telah membina sejumlah 228 buah premis perniagaan untuk disewakan di mana 179 unit iaitu 78.5% telah diisi oleh bumiputera. PDC pula sepanjang tempoh tersebut telah membina sejumlah 258 unit ruang niaga dan 53 unit daripadanya atau 20.5% telah disewakan kepada bumiputera.

(iv) Pejabat Pembangunan Negeri telah membina 532 buah premis perniagaan di sekitar Negeri Pulau Pinang dan 276 unit atau 51.99% telahpun diisi oleh bumiputera.

(v) PERDA juga ada menyediakan ruang niaga untuk disewakan. Sebanyak 186 unit ruang niaga tekah dibina dan 141 unit atau 75.8% daripadanya telah disewakan kepada bumiputera.

(vi) Pihak Berkuasa Tempatan turut membantu kerajaan negeri dalam membina ruang-ruang niaga untuk disewakan. Sepanjang tempoh RMKe-8 yang lalu, MPPP telah menyediakan 4,902 unit ruang niaga dan 993 unit atau 20.2% telahpun disewakan kepada bumiputera manakala 1,226 unit daripada 4,600 unit ruang niaga yang telah disediakan oleh MPSP turut diisi oleh bumiputera. Sehingga tahun 2005, masih terdapat sejumlah 1,939 unit ruang niaga yang masih lagi kosong untuk disewakan.

(vii) Selain dari ruang niaga / gerai , premis-premis kilang turut dibina oleh pelbagai agensi. Sehingga 30 Oktober 2006, PDC telah menyiapkan sejumlah 262 unit kilang IKS yang mana 121 unit (50%) kilang IKS ini telah diperuntukkan untuk bumiputera, di mana 69 unit telahpun dijual atau disewakan kepada bumiputera.

(viii) Setakat Disember 2005, agensi-agensi lain yang telah membina dan memperuntukkan kilang-kilang IKS bagi tujuan disewa / dijual oleh bumiputera adalah Bank Pembangunan dan Infrastruktur Malaysia Berhad (BPIMB) sebanyak 33 unit, MARA sebanyak 74 unit dan PERDA sebanyak 38 unit.



(ix) Bagi tempoh RMKe-9, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi melalui MARA telah merancang untuk membina sejumlah 5,436 premis gerai / arked / kilang IKS. Usaha menambah pemilikan aset bumiputera ini dilakukan selaras dengan wawasan kerajaan untuk mewujudkan seramai 150,000 orang usahawan baru di seluruh negara bagi tempoh tersebut.

(x) Kerajaan turut membantu usahawan bumiputera dari aspek bantuan kewangan. Kerajaan juga telah memperbesarkan tabung yang meliputi pinjaman mudah dan geran bagi membantu perniagaan baru dan peningkatan perniagaan sedia ada. Statistik menunjukkan sepanjang tempoh RMKe-8, sejumlah RM195 juta telah diagihkan kepada 10,686 orang peminjam Bumiputera di Pulau Pinang. Pembiayaan ini telah pun disalurkan melalui pelbagai pihak seperti MARA, Bank SME, SMIDEC, BTVC, PUNB, Yayasan Tekun, dan Bank Pertanian.



(xi) Bagi tempoh RMKe-9, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi telah menyediakan peruntukan sebanyak RM1.34 billion menerusi skim-skim pembiayaan oleh pelbagai agensi seperti Yayasan Tekun, Bank Pembangunan, MARA dan Bank Rakyat yang boleh dipohon oleh usahawan-usahawan di Negeri Pulau Pinang dalam memulakan perniagaan baru atau mempertingkatkan perniagaan yang sedia ada.

(xii) Bagi membantu usahawan di Negeri Pulau Pinang ini, kerajaan negeri turut meluluskan geran sejumlah RM1,000,000.00 untuk Tabung Modal Pusingan Peniaga dan Penjaja Kecil Bumiputera Pulau Pinang bagi membantu peniaga dan penjaja Bumiputera kecil dalam mengembangkan perniagaan mereka. Program yang sama juga telah disediakan oleh pihak PDC.

MODAL INSAN – PENDIDIKAN & LATIHAN KEMAHIRAN
(i) Menyedari betapa pentingnya sumber manusia dalam menyokong dan menggerakkan pembangunan negeri, kerajaan negeri dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan dan agensi-agensi berkaitan akan meningkatkan lagi program pembangunan modal insan khasnya bagi bumiputera khususnya dalam aspek pelajaran, kemahiran dan kepakaran dalam pelbagai bidang.

(ii) Bagi meningkatkan pencapaian pelajar-pelajar bumiputera di Pulau Pinang, BPPB telah melaksanakan Program Didik Cemerlang Akademik (PDCA) pada tahun 2006 dengan matlamat membangunkan capacity building bagi pelajar-pelajar bumiputera di negeri ini. Untuk tujuan tersebut, peruntukan berjumlah RM2.6 juta telah dibelanjakan khusus bagi program-program seperti kelas tambahan, penyediaan modul-modul pembelajaran, program peningkatan Bahasa Inggeris, bengkel-bengkel peperiksaan dan program motivasi bagi pelajar bumiputera yang akan menduduki peperiksaan utama iaitu UPSR, PMR dan SPM.

(iii) Pusat Urus Zakat (PUZ), Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang telah memperuntukkan sejumlah RM8,228,760.00 bagi Program-Program Pembangunan Pendidikan. Daripada jumlah ini sebanyak RM4,595,000.00 telah diperuntukkan untuk diagihkan kepada individu-individu pelajar dan keluarga di bawah Asnaf Zakat dalam program-program peningkatan pendidikan anjuran PUZ .

(iv) Hasil usaha ini telah memperlihatkan pertambahan baik dalam pencapaian akademik pelajar-pelajar bumiputera. Pada tahun 2005 seramai 1,030 orang pelajar UPSR telah mendapat 7A/5A berbanding hanya 789 orang sahaja pada tahun 2003. Prestasi pelajar yang mengambil peperiksaan PMR turut memperlihatkan pertambahan baik yang mana sebanyak 70.4% iaitu 9,718 orang dari pelajar yang mengambil peperiksaan ini telah lulus peperiksaan berbanding hanya 5,853 orang (64.3%) dalam tahun 2004. Walau bagaimanapun, bagi peperiksaan SPM, telah berlaku penurunan dalam pencapaian yang mana 8,115 orang pelajar yang telah lulus iaitu 85.2% daripada yang menduduki peperiksaan berbanding peratus kelulusan pelajar seramai 8,238 iaitu 93.8% pada tahun 2004. Usaha-usaha akan terus diambil dan dipertingkatkan bagi membantu pelajar-pelajar dari kaum bumiputera ini bagi mencapai pencapaian yang lebih baik dari segi akademik.

(v) Di bawah RMKe-9, PERDA turut memperuntukan sejumlah RM4.6 juta bagi tujuan pembangunan pendidikan di negeri ini yang akan melibatkan 45 buah sekolah kebangsaan dan 8 buah sekolah menengah harian berasrama.

(vi) Selain dari itu, usaha-usaha akan ditumpukan untuk meningkatkan kemahiran teknikal dan teknologi serta pengetahuan yang diperlukan untuk menyokong sektor-sektor halatuju, khususnya sektor pembuatan, bioteknologi & ICT. Pembangunan modal insan dalam sektor pelancongan, hospitaliti, pengetahuan dan profesionalisme perkhidmatan barisan hadapan di sektor ini akan turut dipertingkatkan.

(vii) Sehubungan dengan itu, kerajaan negeri akan meneruskan kerjasama dengan institusi-institusi latihan kemahiran seperti Institut Latihan Perindustrian, BPPB, PERDA, PSDC, PDC, SMIDEC, Pusat Giat Mara, Institut Kemahiran Mara, Kolej Kemahiran Tinggi Mara dan Institut Kemahiran Belia Negara dalam membangunkan sumber tenaga manusia yang berkualiti dan berdaya saing. Program-program pembudayaan usahawan, latihan dan bimbingan usahawan bertujuan untuk mewujudkan usahawan baru dan usahawan tulin.

(viii) Bagi tempoh RMKe-9, sejumlah RM284 juta telah diperuntukkan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi untuk membina / menaik taraf institut-institut latihan di negeri ini. Selain dari itu, sejumlah RM25 juta turut diperuntukkan kepada Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) bagi tujuan melaksanakan program-program latihan keusahawanan di Peringkat Daerah melalui Majlis Pembangunan Usahawan Daerah (MPUD).

PELUANG MENDAPATKAN KONTRAK DAN PROJEK

(i) Kerajaan negeri sentiasa memberikan perhatian yang tinggi kepada permasalahan yang sering dihadapi oleh kontraktor-kontraktor tempatan dalam memperolehi projek-projek yang dilaksanakan di negeri ini. Berbagai langkah telah diambil dan akan diambil oleh kerajaan negeri bagi memastikan kontraktor-kontraktor tempatan tidak tercicir di dalam memperolehi kontrak / projek yang dilaksanakan di negeri ini. Antara strategi yang diambil adalah sebutharga / kontrak-kontrak kerajaan negeri termasuk syarikat-syarikat kerajaan negeri akan diberi keutamaan kepada syarikat-syarikat bumiputera yang tulen (bona fide).

(ii) Pada tahun 2006, kerajaan telah menyediakan peruntukan sebanyak RM1 Billion bagi membiayai Projek Penyelenggaraan Infrastruktur Awam (PIA) dan RM500 juta bagi membiayai Projek Penyelenggaraan Infrastruktur Asas (PIAS) di seluruh negara. Daripada jumlah tersebut, Negeri Pulau Pinang telah diperuntukkan sejumlah RM122,290,000.00 bagi melaksanakan kedua-dua program berkenaan. Sebanyak RM75,860,000.00 telah diluluskan bagi projek PIA yang melibatkan 1,478 buah projek dan RM46,430,000.00 bagi projek PIAS yang melibatkan 893 buah projek yang dilaksanakan di seluruh Negeri Pulau Pinang. Jumlah kontraktor kelas F yang akan memperolehi dan mendapat manfaat daripada projek-projek ini adalah seramai 1,443 orang.

(iii) Pada tahun 2005, Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) telah mewujudkan Unit Pembangunan dan Penyertaan Bumiputera yang mana unit ini bertanggungjawab dalam mengenal pasti, menyediakan dan mengatasi masalah usahawan bumiputera seperti kontraktor. Mengikut rekod projek-projek MPPP di bawah RMKe-8, sejumlah 70% iaitu bernilai RM42.52 juta kontrak perolehan dan 92% kontrak kerja yang bernilai RM84.19 juta telah ditawarkan kepada usahawan bumiputera.

(iv) Selain dari itu, MPPP turut membantu syarikat-syarikat bumiputera secara memberi beberapa insentif-insentif kepada pemilik-pemilik tanah dan pemaju bumiputera dalam industri pembinaan termasuk membenarkan ketumpatan dan nisbah plot yang lebih tinggi, memberi potongan atau pengecualian cukai-cukai pemajuan, cukai pelan dan mana-mana caj, fee atau sumbangan yang dikenakan dalam pemajuan.




(v) Pembinaan Jambatan Kedua yang melibatkan kos melebihi RM3 billion akan menyediakan banyak peluang kerja kepada kontraktor Pulau Pinang khususnya kontraktor Melayu. Adalah dijangkakan kontrak bernilai RM800 juta akan ditawarkan kepada kontraktor tempatan, terutamanya kontraktor-kontraktor Melayu dalam tempoh lebih kurang 3 tahun. Projek ini akan memberi manfaat kepada 20 kontraktor Kelas A, B dan C, 50 kontraktor Kelas D dan E serta 200 kontraktor Kelas F. Di samping itu, profesional Melayu seperti jurutera, arkitek, juru ukur dan akauntan akan juga mendapat manfaat daripada pembinaan projek ini.

(vi) Dua lagi projek utama yang akan dilaksanakan iaitu projek monorail dan Penang Outer Ring Road (PORR) akan juga menyediakan peluang untuk kontraktor dan profesional Melayu.




PENUTUP
(i) Sebagai langkah segera bagi menyelesaikan isu ini, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah menubuhkan dua Jawatankuasa iaitu Jawatankuasa Khas Pembangunan Tanah Kerajaan yang dipengerusikan oleh Y.B Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang dan Jawatankuasa Perancangan dan Pembangunan Tanjung yang diketuai oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Pelancongan dan Alam Sekitar, Y.B. Teng Chang Yeow. Selain dari itu, Jawatankuasa Induk Pembasmian Kemiskinan Negeri Pulau Pinang yang dipengerusikan oleh Y.B. Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang akan terus berusaha membantu meningkatkan taraf hidup orang-orang Melayu di negeri ini, termasuk di kawasan bandar.

(ii) Di peringkat nasional, Kerajaan Persekutuan dengan kerjasama dan penyertaan Government Link Company (GLC) sedang merancang membantu menjanakan pembangunan Negeri Pulau Pinang. Antara GLCs yang berkaitan adalah Sime Darby dan UDA yang akan terlibat di dalam projek-projek pembinaan, di samping projek-projek di bawah Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI). Berdasarkan kepada pengalaman GLCs, diharapkan wujud pakatan strategik dengan kumpulan usahawan bumiputera supaya kepelbagaian peluang serta keupayaan penglibatan dalam bidang pembuatan, penyelidikan, peruncitan, pembangunan teknologi dan bidang komersil yang lain dipertingkatkan.

(iii) Melihat kepada segala usaha dan peluang-peluang yang telah diwujudkan oleh samada kerajaan negeri mahupun Kerajaan Pusat, adalah diharap agar orang-orang Melayu di negeri ini dapat merebut dan menggunakan peluang yang ada sepenuhnya demi meningkatkan taraf hidup dan mengurangkan jurang perbezaan ekonomi yang berlaku di negeri ini. Kerajaan negeri turut menyeru badan-badan pembangunan ekonomi Melayu yang ada di Negeri Pulau Pinang supaya turut sama memberi sumbangan dan komited dalam membantu penyertaan Bumiputera di dalam pembangunan ekonomi yang lebih aktif dan berdaya saing.





(iv) Saya ingin menegaskan bahawa Kerajaan Barisan Nasional (BN) Negeri Pulau Pinang di bawah pimpinan Y.A.B. Ketua Menteri adalah komited kepada sasaran pembangunan yang berterusan dan seimbang (sustainable and balanced development) di mana semua kaum, semua golongan dan lapisan masyarakat akan mendapat peluang untuk penyertaan secara lebih bermakna dan berkesan. Ini adalah selaras dengan Wawasan Negara, Misi Nasional dan Misi Negeri. Kami bekerja sebagai satu pasukan yang bersatu padu dan berfokus.


ARA OK - 25/11/06






Kembali