MESYUARAT KEDUA PENGGAL KETIGA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KESEBELAS
Soalan Prestasi perkhidmatan kakitangan kerajaan adalah penting dalam pelaksanaan dan penyampaian RMKe-9. Sila nyatakan langkah-langkah untuk meningkatkan sistem penyampaian dan mewujudkan sistem pemantauan bagi memastikan kejayaan RMKe-9.
Dun -
Exco YABKM
Perkara Pentadbiran

Jawapan
Untuk soalan ini, saya meminta izin untuk menjawab bersama-sama dengan soalan bertulis 7W-7 (ID 72) oleh Y.B. Encik Quah Kooi Heong, ADUN Kebun Bunga dan soalan bertulis 23W-2 (ID 388) oleh Y.B. Dato’ Abdul Jalil b. Abdul Majid, ADUN Penanti.

Mengikut amalan yang telah berlangsung selama ini, pelaksanaan program dan projek-projek pembangunan yang diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMKe-9) ditetapkan oleh kementerian atau agensi persekutuan yang berkenaan, biasanya selepas mendapat maklumbalas dari jabatan di peringkat negeri. Selanjutnya, jabatan di peringkat negeri di bawah kementerian yang berkenaan itu diberi tugas untuk melaksanakan sendiri projek-projek bagi negeri tersebut atau memantau pelaksanaan projek-projek oleh kontraktor yang dilantik.

Pejabat Pembangunan Negeri (PPN) atau State Development Office (SDO) di bawah Unit Penyelarasan Pelaksanaan dan (ICU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) diberi tugas untuk memantau pelaksanaan semua program dan projek yang dilaksanakan atau dipantau oleh jabatan-jabatan dan agensi-agensi persekutuan di peringkat negeri. PPN/SDO melaporkan kemajuan setiap projek kepada ICU, JPM. Rumusan semua laporan dari semua negeri akan dipantau oleh Jawatankuasa Tindakan Negara (JKTN) yang dipengerusikan oleh Y.Bhg. Ketua Setiausaha Negara. Selanjutnya, rumusan ini dilaporkan kepada Majlis Tindakan Negara (MTN) yang dipengerusikan oleh Y.A.B. Perdana Menteri.

Pada masa yang sama juga, PPN/SDO juga melaporkan kepada kerajaan negeri melalui Jawatankuasa Tindakan Negeri (JKTNg) serta Jawatankuasa Teknikal One-Stop Agency (OSA) yang dipengerusikan oleh Y.B. Setiausaha Kerajaan Negeri. Kemudian, rumusan laporan akan dibentangkan ke Majlis Tindakan Negeri (MTNg) yang dipengerusikan oleh Y.A.B. Ketua Menteri dan disertai oleh semua ahli MMK (EXCO) bersama dengan semua ketua-ketua jabatan/agensi yang relevan.

Diperingkat daerah pula, Jawatankuasa Tindakan Daerah (JKTD) yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah yang turut disertai oleh ketua-ketua jabatan daerah, wakil rakyat dan penyokong kerajaan, membantu dalam pemantauan dan pelaksanaan projek-projek dari akar umbi dengan teliti.

Walau bagaimanapun, terdapat beberapa jabatan atau agensi persekutuan, seperti polis dan tentera, yang mengawal peruntukan dan pelaksanaan projek-projek yang berkenaan secara langsung dari agensi pusat, tanpa melalui jabatan atau agensi mereka di peringkat negeri. Begitu juga bagi projek-projek universiti. Oleh itu, terdapat kes-kes dimana kemajuan pelaksanaan projek tidak dilaporkan kepada Pejabat Pembangunan Negeri atau MTNg dan JKTNg.

Kerajaan negeri akan terus berusaha sedaya upaya bagi menyokong dan membantu Kerajaan Persekutuan supaya kesemua projek yang diluluskan dibawah RMKe-9 bagi Negeri Pulau Pinang dapat dilaksanakan secara cekap, berkesan dan berjaya. Sebagai permulaan, semua kementerian/jabatan dan agensi dijemput untuk membentangkan jumlah projek dan peruntukan yang diluluskan bagi Negeri Pulau Pinang dan menjelaskan strategi pelaksanaan projek masing-masing bagi memastikan ianya dapat dilaksanakan dan memberi manfaat kepada rakyat.

Justeru itu, jentera penyelarasan dan pelaksanaan program/projek yang menyeluruh telah diperkemaskan melalui Arahan No.1, 2004 Majlis Tindakan Negara khususnya diperingkat MTNg dan JKTNg. Negeri Pulau Pinang sememangnya merupakan di antara beberapa negeri yang paling kerap mengadakan mesyuarat MTNg dan JKTNg.

Kerajaan negeri juga akan memastikan semua jabatan dan agensi diperingkat negeri menerima pakai Surat Pekeliling Am Bilangan 3 Tahun 2005 iaitu Garis Panduan Penilaian Program Pembangunan dalam melaksanakan penilaian outcome dan impak setiap program atau projek pembangunan. Penilaian merupakan sebahagian daripada pengurusan strategik bagi memantapkan perancangan dan pelaksanaan program pembangunan yang diluluskan. Justeru itu, laporan penilaian outcome dan impak yang disediakan oleh jabatan/agensi akan dibentangkan dalam mesyuarat MTNg dan JKTNg. Kesemua penemuan yang diperolehi akan digunakan dengan berkesan sama ada untuk menambah baik dasar program pembangunan yang terlibat atau memutuskan sama ada sesuatu program atau projek perlu diubahsuai, diperluas atau dimansuhkan.

Sebagai rumusan, kerajaan negeri akan mengambil tindakan berikut:-

(a) Memperkasakan jentera perancangan, pelaksanaan dan pemantauan projek/program pembangunan diperingkat daerah dan negeri;

(b) Memperkukuhkan institusi yang memainkan peranan utama dan bertindak sebagai frontliner seperti Pentadbiran Daerah dan Tanah serta Pihak Berkuasa Tempatan bagi memastikan sistem penyampaian perkhidmatan dilaksanakan secara cekap dan berkesan.

(c) Menggiatkan program peningkatan kemahiran dan pengetahuan dengan menyediakan ruang dan peluang maksimum kepada semua anggota perkhidmatan awam negeri melalui latihan ke arah mewujudkan k-workers.

(d) Menyatupadukan tindakan dan penyelarasan antara jabatan/agensi dengan menggembleng tenaga serta kepakaran bagi memastikan pelaksanaan program/projek pembangunan dijalankan dengan cekap dan berkesan.




Kembali