Jawapan
Menurut rekod Agensi Antidadah Kebangsaan Negeri Pulau Pinang, statistik penagih dadah yang berdaftar adalah seperti di Lampiran 'A'.
Kerajaan negeri melalui Agensi Anti Dadah Kebangsaan telah merancang program-program Pencegahan dan Pemulihan bagi mengurangkan bilangan penagihan dadah di Pulau Pinang seperti berikut:
(A) Program Pencegahan:
Program ini melibatkan semua kumpulan sasar terdiri daripada pelajar sekolah dan IPT, pekerja di sektor perkilangan, hotel dan perindustrian, kakitangan Kerajaan, belia, dan masyarakat umum amnya.
Program ini melibatkan ujian pengesanan dadah di dalam air kencing, urine test yang melibatkan semua Jabatan Kerajaan, swasta termasuk kilang-kilang dan hotel-hotel, sekolah dan IPTA. Ujian juga termasuk Operasi Bersepadu yang dijalankan bersama jabatan-jabatan yang lain. Program pencegahan awalan juga dimulakan di peringkat sekolah lagi.
Di antara program-program yang dijalankan adalah seperti berikut:
1. Program Intelek Asuhan Rohani (PINTAR) yang melibatkan murid sekolah rendah tahun 4, 5 dan 6. Objektif program ialah untuk membimbing dan melatih pelajar supaya dapat mengatakan tidak kepada dadah, memberikan mereka pengetahuan tentang bahaya dadah dan melatih mereka menjadi pemimpin untuk masa akan datang,
2. Program Gerak Sedar (PROGRES) iaitu program kerjasama dengan Jabatan Pelajaran Negeri Pulau Pinang melibatkan Kolokium Pendidikan Pencegahan Dadah di kalangan pemimpin pelajar juga kerjasama dengan Jabatan Pelajaran, dan Karnival Seni Anti Dadah di Sekolah Rendah dan Menengah peringkat Negeri.
3. Program Bersama dengan Majlis Belia Negeri.
4. Program bersama Jabatan Kerajaan dan NGO.
5. Program-program publisiti seperti ceramah, pameran dan menerusi siaran radio.
Semua program yang dianjurkan bertujuan memberi kesedaran dan untuk meningkatkan penglibatan yang menyeluruh di kalangan lapisan masyarakat ke arah membanteras masalah dadah khususnya di Pulau Pinang.
(B) Program Pemulihan:
Program Untuk Kes-Kes Pengawasan Dalam Komuniti:
1. Pembimbing Rakan Sebaya
2. Seminar / Bengkel Pencegahan Relapse melibatkan NGO dan kes-kes pengawasan dengan tujuan mendekatkan masyarakat setempat bagi mengelakkan mereka tersisih dari masyarakat sekeliling dan menagih semula.
3. Coping Skills
4. Program Rawatan Alternatif melibatkan kes-kes pengawasan di bawah seliaan AADK dan kepada remaja yang baru untuk berjinak dengan dadah. Rawatan yang disediakan adalah secara tradisional dan menjurus ke arah keagamaan.
Tujuan program-program ini ialah untuk membolehkan mereka menjalani kehidupan yang normal tanpa dadah serta mengelakkan penagihan semula.
Selain AADK, PEMADAM juga bergiat aktif untuk membanteras masalah penagihan dadah. Aktiviti yang dijalankan oleh PEMADAM merangkumi pelbagai peringkat umur iaitu pelajar sekolah, keluarga dan masyarakat. Antara program/aktiviti yang dijalankan oleh PEMADAM Negeri Pulau Pinang adalah seperti ceramah-ceramah, pameran dan demonstrasi serta program-program motivasi. Selain itu, Minggu Anti Dadah diadakan di sekolah-sekolah manakala program "Pejabat Bebas Dadah" pula dibuat untuk kakitangan kerajaan.
PEMADAM Daerah Seberang Perai Utara pula telah mengadakan khidmat nasihat kepada remaja-remaja tentang penyalagunaan dadah tiap-tiap seminggu sekali. Program-program yang dijalankan oleh PEMADAM dilihat telah berjaya untuk menyebar maklumat yang berguna kepada penduduk-penduduk setempat dan pelajar-pelajar berkenaan dadah. Setiap aktiviti yang dijalankan mendapat sambutan yang amat memberangsangkan.
Selain AADK, PDRM turut memainkan peranan dalam menangani isu penagihan dadah. Tindakan yang diambil oleh JSJN IPK Pulau Pinang adalah dengan mengadakan pameran pada setiap aktiviti kemasyarakatan bagi mendedahkan kepada masyarakat terutamanya golongan belia dan remaja jenis-jenis dadah yang ada dan bahayanya. Seterusnya membendung dan menyekat golongan belia/remaja terutamanya pelajar-pelajar sekolah dari terjebak dengan kegiatan penagihan dadah dengan memberi ceramah-ceramah di Sekolah dan Institusi Pengajian Tinggi dengan memberi penekanan tentang bahaya penagihan dadah. Statistik tangkapan penagih dadah oleh PDRM semenjak tahun 2004 adalah seperti di Lampiran 'B'.