Jawapan
Jabatan Belia dan Sukan (JBS) menilai keupayaan penganjuran sukan oleh Kelab Sukan Komuniti (KSK) dan penyertaan masyarakat di KADUN berkenaan supaya memenuhi konsep "Sukan Untuk Semua", sebagai prestasi/petunjuk kejayaan sukan.
Pencapaian dalam liga sukan Komuniti melalui kalah atau menang tidak menjadi ukuran. Oleh itu program sukan ini menggalak penglibatan dan masyarat setempat untuk mengambil bahagian.
Kementerian Belia dan Sukan telah menyediakan peruntukan sebanyak RM43,800 kepada setiap KSK bagi 40 buah KSK yang terdapat di Pulau Pinang, untuk menganjurkan program Liga Sukan Komuniti. Acara yang dipertandingkan dalam Liga Sukan itu ialah Bola Tampar, Bola Jaring, Sepak Takraw, Futsal, Badminton dan Bola Keranjang.
Melalui pertandingan sukan tersebut, masyarakat terutamanya di peringkat akar umbi berpeluang untuk melibatkan diri sama ada sebagai pemain, pengelola ataupun penyokong program yang dianjurkan. Ia bukan sahaja dapat menghidupkan suasana bersukan di kawasan DUN tetapi juga dapat menyemarakkan semangat masyarakat ke arah budaya kesukanan. Program LSK juga dapat menyediakan satu tapak yang lebih luas untuk mengenalpasti serta mencungkil bakat-bakat baru di kalangan belia-belia dan remaja di peringkat akar umbi. Dengan adanya program yang berterusan di setiap kawasan, ia dapat mengisi ruang dan masa lapang masyarakat belia dan remaja dengan aktiviti yang berfaedah dan seterusnya dapat mengurangkan serta menghindarkan mereka untuk terlibat dalam kegiatan yang tidak berfaedah.