MESYUARAT KEDUA PENGGAL KETIGA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KESEBELAS
Soalan Apakah bentuk imbuhan dan nilainya yang diberikan kepada wakil-wakil rakyat yang bersara. Adakah pihak kerajaan merancang/bercadang untuk mencontohi kerajaan negeri lain yang memberi imbuhan kepada pesara wakil rakyat, dan mengapa.
Dun -
Exco YABKM
Perkara ADUN

Jawapan
Seseorang Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang yang bersara dari jawatannya, menurut Perkara 9 Enakmen Anggota Pentadbiran Dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Saraan) 1980, boleh dibayar pencen setelah menyempurnakan 36 bulan perkhidmatan yang boleh dimasukira. Untuk perkiraan pencen dihitung mengikut formula 1/144 x tempoh perkhidmatan x gaji kepada maksimum sebanyak setengah bulan gaji. Bekas Ahli hanya boleh dibayar pencennya apabila mencapai umur 50 tahun, bagi Bekas Ahli yang bersara lebih awal daripada itu. Bekas Ahli juga boleh diberi ganjaran yang dikira mengikut formula yang ditetapkan mengikut Enakmen tersebut.

Selain itu bekas Ahli termasuk keluarganya juga menerima kemudahan perubatan seperti berikut :

i) Layak mendapat kemudahan perubatan secara percuma di hospital-hospital atau klinik-klinik kerajaan.

ii) Layak mendapat secara percuma tempat di dalam hospital-hospital Kerajaan bagi wad kelas satu bilik berseorangan.

iii) Dibekalkan satu kad rawatan sebagai pengenalan diri.

Kemudahan dan peruntukan yang disediakan di atas oleh Kerajaan Negeri kepada Bekas Ahli yang bersara adalah selaras dengan peruntukan yang disediakan oleh Kerajaan Persekutuan kepada Ahli-Ahli Parlimen yang bersara.

Semakan dengan negeri-negeri lain seperti antaranya Johor, Sabah, Terengganu, Kedah dan Sarawak menunjukkan bahawa, selain pembayaran pencen yang dibayar kepada Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri, kerajaan negeri-negeri tersebut juga hanya memberi kemudahan perubatan Ahli Dewan Undangan Negeri seperti mana yang disediakan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang.






Kembali