MESYUARAT KEDUA PENGGAL KETIGA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KESEBELAS
Soalan Apakah langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan negeri bagi membantu SMI tempatan baru berasaskan bioteknologi terutamanya yang memainkan peranan “supportive” untuk MNC yang sedia ada dan akan datang.
Dun -
Exco TKW
Perkara ADUN

Jawapan
Perkhidmatan-perkhidmatan yang diperlukan oleh syarikat-syarikat multinasional antaranya adalah seperti berikut:-

(i) Pembekalan peralatan serta penyelenggaraan,
(ii) Penyelenggaraan clean-room, dan
(iii) Perkhidmatan-perkhidmatan dan pembekalan termasuk ujian-ujian awal makmal, peralatan bio-perubatan seperti beg-beg IV, larutan-larutan biologi, jarum-jarum dan pelbagai lagi.

Bagi membantu EKS tempatan, kerajaan negeri melalui PDC telah menyediakan infrastruktur dan bantuan lain seperti berikut:-

(i) pembinaan unit-unit kilang yang siap dibina di Taman Perindustrian Bukit Minyak, berdekatan dengan Taman Biotek yang boleh disewakan dengan kadar yang rendah, dan

(ii) menyediakan pembekal-pembekal bahan pembinaan serta kepakaran pembinaan tempatan bagi industri bioteknologi dan industri-industri yang berkaitan.

Melalui InvestPenang pula, kerajaan negeri telah mengadakan forum-forum bagi membolehkan syarikat-syarikat multinasional untuk bertemu-bual dan berkenalan dengan pembekal-pembekal tempatan. Di samping itu, senarai sumber-sumber yang boleh dirujuk oleh syarikat multinasional juga turut disediakan apabila diperlukan.

Kerajaan negeri dengan kerjasama PDC, SMIDEC, SIRIM Sdn. Bhd. dan MARDI akan meningkatkan peranan melalui program-program seperti program penyediaan premis kilang, program vendor bersama MNC’s dan program pembiayaan. Program R&D dalam bioteknologi untuk dimanfaatkan oleh IKS akan juga diberi penekanan oleh MARDI dan SIRIM.

Untuk meningkatkan daya saing dan daya tahan EKS tempatan, SMIDEC telah menawarkan geran kepada EKS yang menjalankan aktiviti perkilangan, perkhidmatan yang berkaitan dengan perkilangan serta perkhidmatan. Berikut adalah geran-geran dan bantuan kewangan yang ditawarkan:-
i) Geran Bersamaan Untuk Permulaan Perniagaan
ii) Geran Bersamaan Untuk Peningkatan Produk dan Proses
iii) Geran Bersamaan Untuk Persijilan dan Sistem Pengurusan Kualiti
iv) Geran Untuk RosettaNet
v) Geran Peningkatan Kemahiran Pemasaran EKS
vi) Geran Bersamaan Untuk Peningkatan Pembungkusan Produk
vii) Geran Bersamaan Untuk Pembangunan dan Promosi Produk Halal
viii) Geran Untuk Peningkatan Kemahiran di 22 pusat latihan terpilih
ix) Skim Pinjaman Mudah Untuk EKS
x) Skim Pinjaman Mudah Untuk Penempatan Semula Kilang
xi) Skim Pinjaman Mudah Untuk Penerapan Aplikasi ICT
xii) Skim Bantuan Khas Untuk Usahawan Wanita

Bagi meningkatkan lagi penyertaan usahawan EKS termasuklah syarikat-syarikat baru kepada program dan aktiviti yang dianjurkan oleh kerajaan, mulai Februari 2006, SMIDEC telah membuka peluang kepada syarikat-syarikat perkilangan yang berdaftar di bawah Ordinan Pendaftaran Perniagaan 1956 yang layak untuk memohon geran-geran SMIDEC dengan kadar nisbah 80 : 20. Geran-geran yang layak dipohon adalah seperti berikut:-

i) Geran untuk Perancangan dan Pembangunan Perniagaan ;
ii) Geran untuk Peningkatan Keupayaan Rekabentuk Pembungkusan dan Pelabelan Produk EKS;
iii) Geran untuk Pembangunan dan Promosi Produk Halal;
iv) Geran untuk Peningkatan Kemahiran Pemasaran EKS; dan
v) Geran untuk Peningkatan Kemahiran
Kembali