MESYUARAT KEDUA PENGGAL KETIGA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KESEBELAS
Soalan Apakah usaha dan rancangan untuk meningkatkan tahap kesihatan rakyat negeri ini. Apakah bantuan tambahan yang diberikan kepada rakyat miskin.
Dun -
Exco SP
Perkara Kesihatan

Jawapan
Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang melalui Kementerian Kesihatan Malaysia akan terus berusaha meningkatkan tahap kesihatan masyarakat di negeri ini. Dalam tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan (RMKe-9), objektif keseluruhan untuk menambah baik taraf kesihatan penduduk diteruskan melalui peningkatan integrasi dan perkongsian pintar di kalangan penyedia penjagaan kesihatan dan skop perkhidmatan telah diperluas untuk meningkatkan akses, kemampuan memperoleh dan kesaksamaan. Sebanyak 84 projek dalam bidang perubatan akan terus dilaksanakan sepanjang RMKe-9 dalam usaha meningkatkan kualiti kemudahan, keperluan dan kepuasan pesakit. Antaranya adalah:


• Menaikkan mutu perkhidmatan kepakaran dengan menambahkan tenaga kepakaran dalam bidang perubatan dan menyediakan kemudahan serta peralatan yang terkini bagi menampung keperluan semasa. Perubatan nuklear yang merangkumi penyelidikan serta perkhidmatan diagnostik dan terapeutik diperkukuhkan dan disediakan di empat (4) buah hospital. Di samping itu, sebuah mesin pengimbas tomografi (tomography) pancaran positron (positron-ray) disediakan di Hospital Pulau Pinang bagi meningkatkan kualiti penjagaan.

• Pada masa ini, empat (4) dari enam (6) hospital kerajaan menyediakan perkhidmatan kepakaran klinikal iaitu Hospital Pulau Pinang yang menyediakan kepakaran keseluruhan sekunder dan tertiary; Hospital Seberang Jaya menyediakan kepakaran sekunder di dalam 9 disiplin, Hospital Bukit Mertajam menyediakan kepakaran di dalam 3 disiplin, dan Hospital Kepala Batas menyediakan kepakaran di dalam 5 disiplin (dengan kerjasama IPPT Universiti Sains Malaysia).

Hospital Balik Pulau dan Hospital Sungai Bakap juga menyediakan perkhidmatan kepakaran klinikal melalui sistem networking dengan hospital-hospital pakar seperti Hospital Pulau Pinang yang diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan Malaysia sebagai centre of excellence di dalam disiplin perubatan kardiologi, pembedahan kardiothorasik, perfusi anestesiologi, perubatan nuklear dan perkhidmatan Cranio-Fascial Surgery.

• Terdapat sebanyak enam (6) hospital kerajaan yang menyediakan kemudahan perkhidmatan haemodialisis. Antara kelengkapan mesin peralatan teknologi diagnostik terkini yang telah diperolehi oleh Hospital Pulau Pinang ialah Gamma Camera, Bone Densitometer, Magnetic Resonance Imaging (MRI), Positron Emission Tomography (PET Scanner) yang merupakan peralatan perubatan yang ulung di negara ini. Dua buah mesin peralatan Computerised Axial Tomography (CT Scan) telah dilengkapkan di Hospital Pulau Pinang dan Hospital Seberang Jaya pada tahun ini. Pewujudan projek Ambulatory Care Centre (ACC) merupakan satu pendekatan baru di Hospital Pulau Pinang. Melalui pendekatan ini, pesakit tidak perlu menjalani rawatan in-patient bagi menjalani prosedur tertentu tetapi dapat pulang pada hari yang sama selepas rawatan. Perkhidmatan ini akan merangkumi perkhidmatan Day Medical’, Day Surgery, Day Paediatric, dan ‘Endoscopy’. Hospital Pulau Pinang telah mewujudkan Palliative Care Unit di Wad Onkologi dan telah menaik taraf perkhidmatan Psychiatric Rehabilitative Centre dan Psychiatry Community Services.

• Di samping itu, beberapa usaha menaik taraf klinik dan kemudahan infrastruktur kesihatan telah dijalankan bagi memastikan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti diberi kepada rakyat di negeri ini. Usaha yang berterusan juga ditumpukan bagi memperkukuhkan penjagaan kesihatan ibu-ibu hamil, kanak-kanak dan bayi yang dilahirkan. Aktiviti lawatan ke rumah ibu-ibu yang hamil dan lepas bersalin serta bayi yang baru dilahirkan yang dilakukan oleh anggota kesihatan juga berada di tahap yang boleh dibanggakan.

Kebanyakan liputan imunisasi berada di tahap yang tinggi dan membanggakan atas usaha yang berterusan dan komitmen tinggi anggota perkhidmatan kesihatan terhadap tugas yang dipertanggungjawabkan untuk melindungi bayi daripada jangkitan penyakit yang berbahaya. Dalam tempoh 3 tahun (2002-2005), terdapat penurunan kadar kematian bayi iaitu dari 6.5 ke 3.98 bagi setiap 1000 kelahiran hidup. Kadar kematian sewaktu lahir (still birth) menurun dari 5.7 kepada 5.49 bagi setiap 1000 kelahiran hidup dan kadar kematian prenatal dari 9.2 kepada 8.04 bagi setiap 1000 kelahiran hidup. Ini menunjukkan tahap kesihatan bertambah baik.

• Bagi memastikan semua golongan umur mendapat hak penjagaan kesihatan yang adil dan saksama, pelbagai program-program baru diperkenalkan di klinik-klinik kesihatan seperti Program Warga Tua, Program Kesihatan Remaja, Program Rehabilitasi Kanak-kanak Keperluan Khas dan Program Kesihatan Mental. Perhatian juga diberikan kepada masalah penyakit-penyakit tidak berjangkit dan kronik seperti penyakit jantung, penyakit darah tinggi dan penyakit kencing manis. Penyakit-penyakit ini sangat berkait rapat dengan cara hidup dan corak pemakanan masyarakat kita. Oleh sedemikian, aktiviti pendidikan kesihatan dan promosi kesihatan yang berterusan dibuat bagi menyedarkan masyarakat tentang bahaya penyakit ini. Disamping itu kemudahan pemeriksaan dan rawatan juga dipertingkatkan. Aktiviti promosi dan pendidikan kesihatan akan terus digiatkan dan rakyat digalakkan untuk mengamalkan gaya hidup yang sihat.

• Perancangan dan pelaksanaan program promosi dan pendidikan kesihatan ini adalah berteraskan kepada empat (4) elemen utama iaitu makan secara sihat, melakukan senaman dan aktiviti fizikal, tidak merokok dan bijak menangani stress. Bagi program pergigian pula, sebanyak 11 projek dalam Rancangan Malaysia Kelapan (RMKe-8) telah selesai dan beroperasi. Kerjasama erat di antara Jabatan Kesihatan Negeri dengan Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang yang dilakukan melalui lawatan/pemeriksaan pergigian di sekolah-sekolah telah memberi hasil yang positif.

Hasil pemeriksaan gigi mendapati peratus murid sekolah rendah mencapai Tahap Kesihatan Mulut Yang Baik dan Tidak Memerlukan Rawatan Pergigian meningkat dari 54% pada tahun 2003 ke 55% pada tahun 2005. Manakala bagi murid sekolah menengah peningkatan peratus adalah dari 78% pada tahun 2003 ke 79% pada tahun 2005. Penekanan akan terus diberi terhadap usaha-usaha meningkatkan kualiti, inovasi, taraf kesihatan, sikap hormat-menghormati sesama insan serta menggalakkan wujudnya rasa tanggungjawab individu dan penyertaan masyarakat ke arah kualiti hidup yang lebih sempurna.


Kementerian Kesihatan Malaysia sentiasa menitikberatkan kebajikan warga miskin yang mendapat rawatan sama ada di klinik-klinik kesihatan mahupun di semua hospital kerajaan. Pesakit yang mendapat rawatan pesakit luar di klinik-klinik kesihatan yang tidak mempunyai Pakar Perubatan Keluarga (Family Medical Specialist), tidak dikenakan bayaran. Walau bagaimanapun, bagi klinik-klinik kesihatan yang mempunyai Pakar Perubatan Keluarga, caj minima sebanyak RM1 dikenakan kepada mereka yang datang mendapatkan rawatan (termasuk ubat dan pemeriksaan darah) daripada Pegawai Perubatan Biasa manakala RM5 dikenakan bagi rawatan daripada Pakar Perubatan Keluarga.

Sungguhpun begitu, pengecualian akan diberikan jika pesakit merupakan penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atau Pusat Urus Zakat (PUZ). Bantuan susu tepung dan multivitamin diberikan kepada ibu-ibu hamil yang mengalami masalah anemia atau peningkatan berat badan yang tidak memuaskan. Di bawah Program Rakyat Termiskin (PRT), bantuan bakul makanan diberikan kepada kanak-kanak yang berumur di bawah 6 tahun yang mengalami kekurangan zat makanan.

Bagi pesakit yang datang untuk rawatan pesakit luar di hospital kerajaan, sebanyak RM1 dikenakan untuk mendapatkan rawatan daripada Pegawai Perubatan termasuk pemeriksaan doktor, ubat, pemeriksaan darah dan x-ray. Caj sebanyak RM5 pula dikenakan bagi mendapatkan rawatan dari mana-mana pakar di hospital. Pengecualian yang sama turut diberikan jika pesakit merupakan penerima bantuan JKM atau PUZ. Untuk kemasukkan ke hospital-hospital kerajaan, pesakit perlu membayar deposit sebanyak RM30 bagi kelas tiga. Namun begitu, bil maksimum yang akan dikenakan adalah hanya RM500 . Ini termasuklah bil semua pemeriksaan, caj wad dan ubat-ubatan. Pengecualian akan diberikan jika pesakit merupakan penerima bantuan dari JKM atau PUZ. Jika mereka bukan penerima bantuan kebajikan atau PUZ, mereka perlu mendapatkan surat sokongan bagi pengecualian bil dari Jabatan Kebajikan Masyakat. Jabatan Kerja Sosial Perubatan yang terdapat di kebanyakan hospital-hospital kerajaan juga berperanan dalam menyediakan bantuan-bantuan praktik kepada pesakit-pesakit yang tidak berkemampuan. Antara bantuan-bantuan yang disediakan adalah:

• Bantuan peralatan perubatan – membantu pesakit miskin memperolehi peralatan perubatan seperti kerusi roda, tongkat, oxygen concentrater, suction machine, implant/prosthesis dan sebagainya. Ini boleh diperolehi daripada peruntukan Kementerian kepada hospital, Tabung Bantuan Perubatan (TBP), Tabung Kebajikan Perubatan Malaysia (TKPM), Yayasan Kebajikan Negara, (YKN), NGO’s seperti Majlis Kanser Nasional (MAKNA), Buddhist Tzu Chi, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan derma daripada individu-individu serta institusi swasta.

• Bantuan am (peruntukan KKM kepada hospital dan Tabung Kebajikan Perubatan Malaysia) seperti bantuan kewangan segera kepada pesakit miskin yang berada pada tahap cemas dan menghadapi situasi krisis semasa dalam rawatan serta bantuan sara hidup untuk jangka pendek sebelum mendapat bantuan dari agensi-agensi kebajikan yang berkaitan.

• Bantuan membiayai projek-projek komuniti bagi menjalankan aktiviti kemasyarakatan kepada pesakit-pesakit seperti Projek Rumah Tanjung, Hospital Pulau Pinang. Ia menyediakan tempat tinggal kepada waris pesakit yang tidak ada tempat tinggal berhampiran dan tidak berkemampuan.




Kembali