Jawapan
16. Pemberi pinjaman wang berlesen di Pulau Pinang adalah sebanyak 475 syarikat. Senarai nama syarikat yang diberi lesen adalah seperti di Lampiran ID357.
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan menjalankan tugas dan tanggungjawab pengawasan dan penguatkuasaan ke atas kegiatan pemberi pinjaman wang menggunakan Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 dan Peraturan-Peraturan Pemberi Pinjam Wang (Kawalan Dan Pelesenan) 2003 yang mula berkuatkuasa pada 1 November 2003. Akta dan peraturan ini digubal dan dipinda bagi memberi perlindungan kepada peminjam dan untuk mengawasi perniagaan pemberi pinjam wang sama ada yang berlesen atau tidak berlesen. Dalam akta ini, kuasa penyiasatan, memeriksa, sita dan tangkap diberikan kepada Pegawai Pemeriksa (yang dilantik oleh Kementerian) dan Polis. Di samping akta ini, polis juga mempunyai bidang kuasa di bawah lain-lain akta seperti Kanun Keseksaan dan Akta Pencegahan Jenayah 1959 untuk mengambil tindakan ke atas pemberi pinjaman wang tanpa lesen (Ah Long).
Sejak penubuhan Unit Pemberi Pinjam Wang pada Disember 2003 di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang berpusat di Kuala Lumpur, sebanyak 32 pengaduan berhubung dengan kes pemberi pinjaman wang telah diterima dan dijalankan siasatan di Pulau Pinang.
Kementerian telah mengambil beberapa langkah untuk membendung syarikat-syarikat haram daripada beroperasi iaitu dengan menyediakan laman web KPKT bagi memudahkan orang ramai menyemak status sesebuah syarikat pemberi pinjaman wang sama ada mempunyai lesen yang sah atau tidak mempunyai lesen.
Kementerian ini sedang dan telah melakukan pemantauan ke atas akhbar-akhbar yang mengiklankan perniagaan pemberi pinjaman wang secara berterusan. Jika didapati mana-mana syarikat pemberi pinjaman wang mengiklankan perniagaan tanpa mengikut syarat yang telah ditetapkan, tindakan undang-undang akan diambil ke atas syarikat berkenaan.
Kerajaan akan berjaya mengawasi kegiatan Ah Long jika mendapat kerjasama penuh daripada media dan masyarakat. Media masa perlu menyiarkan untuk memberikan kesedaran kepada masyarakat agar membuat pinjaman wang daripada pemberi pinjaman wang berlesen sahaja dan sekiranya mereka meminjam wang daripada Ah Long, mereka hendaklah bersedia untuk menerima sebarang ugutan dan lain-lain lagi daripada Ah Long. Masyarakat pula perlu tampil ke hadapan dengan membekalkan maklumat seperti siapakah Ah Long, di mana pejabatnya dan siapakah mangsanya kepada pihak berkuasa. Permasalahan yang timbul sekarang ialah bagaimana untuk menghindar peminjam wang daripada Ah Long yang kemudiannya mengganggu atau mengugut mereka kerana tidak dapat membayar hutang mereka seperti yang ditetapkan oleh Ah Long berkenaan.