MESYUARAT KEDUA PENGGAL KETIGA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KESEBELAS
Soalan Kerajaan telah melaksanakan satu Program Pembangunan Infrastruktur dan Struktur. Difahamkan program ini dilaksanakan secara cabutan undi dan rundingan terus. a) Berapa jumlah peruntukan keseluruhan yang diterima oleh Pulau Pinang dan pecahan mengikut daerah dan jabatan. b) Berapakah kontraktor Kelas F yang diberi peluang.
Dun -
Exco KKH
Perkara Pembangunan

Jawapan
2. Pada tahun 2006 kerajaan telah menyediakan peruntukan sebanyak RM1 billion bagi membiayai projek penyelenggaraan infrastruktur awam (PIA) dan RM500 juta bagi membiayai projek penyelenggaraan asas (PIAS) di seluruh negara. Di antara projek PIA yang boleh menggunapakai peruntukan ini adalah kerja-kerja mengecat bangunan, peralatan dan lain-lain kemudahan menyelenggara pagar, pondok kawalan pintu keluar masuk kawasan, lantai, dinding dalam dan luar bangunan, bumbung, atap, saluran air hujan dan sistem kalis air, baiki tandas, sistem paip air, sistem kumbahan dan pembentungan, membaiki / pendawaian semula elektrik tidak termasuk kerja-kerja penyaman udara, menyelenggara longkang dan peparitan, menyelenggara jalan dan cerun dalam kawasan, menyelenggara / penyediaan landskap yang bersesuaian. Manakala bagi projek PIAS, peruntukan yang disediakan adalah kerja-kerja seperti menyelenggara dan naik taraf parit / longkang, jeti kecil, culvert / gabion, jalan kampung / jalan ladang yang tidak berturap (bertar), pembaikan titi dan jambatan kecil.

Negeri Pulau Pinang telah diperuntukkan sejumlah RM122,290,000.00 bagi melaksanakan kedua-dua program berkenaan. Sebanyak RM75,860,000.00 diluluskan bagi projek PIA dan RM46,430,000.00 bagi projek PIAS. Jumlah projek yang dapat dilaksanakan di bawah peruntukan tersebut ialah sebanyak 2,371 iaitu 1,478 bagi PIA dan 893 bagi PIAS. Kaedah pelaksanaan projek PIA dan PIAS adalah seperti mana yang diputuskan di bawah Surat Pekeliling Perbendaharaan Bil. 9 Tahun 2005 dan Surat Pekeliling Perbendaharaan Bil. 2 Tahun 2006. Berdasarkan Surat Pekeliling Perbendaharaan tersebut perolehan kerja-kerja berkaitan hendaklah dilakukan secara undi mengikut jadual kadar JKR atau sebut harga jika tidak terdapat dalam jadual kadar JKR. Oleh yang demikian perolehan kerja secara rundingan terus (direct negotiation) tidak wujud dan tidak boleh dilakukan kerana tidak mematuhi SPP berkenaan. Selain itu, prinsip perolehan kerja yang diamalkan ialah sekurang-kurangnya satu kontraktor memperolehi satu projek. Jika projek yang ditawarkan itu merupakan kerja-kerja pakar maka terdapatlah kontraktor yang memperolehi lebih daripada satu projek seperti mana kerja-kerja elektrik, pemasangan paip dan ‘water proofing’.

Kesemua peruntukan ini telah diagihkan kepada beberapa jabatan sebagai agensi pelaksana iaitu PPN, JKR, JPS, JKR Elektrik, MPSP, PERDA dan Pejabat Daerah. Kesemua projek yang diluluskan hendaklah dilaksanakan dalam tahun semasa sepertimana yang diarahkan oleh Kerajaan Persekutuan. Jumlah kontraktor Kelas F yang memperolehi projek ialah seramai 1,443.
Kembali