MESYUARAT KEDUA PENGGAL KETIGA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KESEBELAS
Soalan Apakah langkah-langkah proaktif yang telah dan akan diambil bagi mempertingkatkan perpaduan kaum di Negeri Pulau Pinang dan setakat manakah pencapaiannya sehingga kini.
Dun -
Exco YABKM
Perkara ADUN

Jawapan
Perpaduan kaum di Negeri Pulau Pinang sentiasa dipertingkatkan melalui pelaksanaan Program Penggalakkan Perpaduan di bawah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional. Jabatan tersebut sebagai agensi teras bagi perpaduan bertanggungjawab supaya program berkenaan dilaksanakan secara berterusan. Aktiviti-aktiviti penggalakkan perpaduan merangkumi semua bidang seperti sosial, rekreasi, pendidikan, sukan, kebudayaan, kesihatan, ekonomi dan agama.

Kerajaan juga mengambil langkah-langkah untuk menggalakkan Rukun Tetangga dan NGO yang ada di negeri ini memainkan peranan yang lebih aktif melaksanakan program bercorak perpaduan. Melalui Jawatankuasa Rukun Tetangga yang berjumlah 241 buah, aktiviti penggalakkan diadakan bagi menyemai semangat perpaduan. Sejumlah lebih daripada 10,000 aktiviti perpaduan telah dilaksanakan (sehingga September 2006) termasuklah aktiviti harian dan mingguan secara berkala. Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan yang bertanggungjawab juga amat peka dengan isu dan masalah perpaduan kaum di negeri ini. Di samping itu, ADUN-ADUN juga telah memainkan peranannya di kawasan masing-masing.

Keadaan perpaduan di negeri ini adalah pada tahap yang memuaskan merujuk kepada tiada isu besar dalam konteks hubungan kaum di sini. Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Negeri Pulau Pinang sentiasa memantau isu-isu perpaduan dan mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan isu-isu ini tidak merebak menjadi konflik yang besar dan boleh menggugat keharmonian rakyat Pulau Pinang. Langkah-langkah lain yang diambil ialah membentuk sebuah Jawatankuasa Panel Penasihat Perpaduan Negeri di peringkat negeri dan daerah. Peranan panel ini ialah untuk membantu merangka dan memantau semua program perpaduan khasnya di negeri ini.

Pihak polis di Kontinjen Pulau Pinang juga mengambil beberapa langkah dalam meningkatkan perpaduan kaum dan mengurangkan kadar jenayah yang semakin meningkat di Pulau Pinang. Antara langkah-langkah yang telah diambil adalah:

i. Menggalakkan masyarakat setempat seperti masyarakat di taman-taman perumahan menubuhkan Rukun Tetangga untuk tujuan pencegahan jenayah. Dengan tertubuhnya Rukun Tetangga, masyarakat setempat dari pelbagai kaum akan berganding bahu untuk membanteras kejadian jenayah.

ii. Ketua Polis Pulau Pinang telah mengadakan beberapa siri majlis dialog bersama rakyat di seluruh negeri Pulau Pinang untuk masyarakat mendekati pihak polis. Semua Ketua Polis Daerah di Pulau Pinang juga mengadakan siri Dialog Bersama Masyarakat Setempat dalam membantu pihak polis memerangi jenayah. Dengan adanya majlis dialog ini, masyarakat tidak kira bangsa akan bersama-sama pihak polis memerangi jenayah.

iii. Pihak polis telah menempatkan Pegawai Perhubungan Sekolah di semua sekolah menengah dan sekolah rendah di Pulau Pinang. Tujuan mengadakan pegawai perhubungan sekolah ini adalah untuk mengenal pasti masalah-masalah yang dihadapi oleh pihak sekolah terutamanya kes-kes pelanggaran disiplin oleh para pelajar. Dengan adanya Pegawai Perhubungan Sekolah juga dapat mengelakkan tercetusnya pergaduhan antara kaum kerana pegawai perhubungan sekolah diwajibkan mengadakan sesi ceramah sebulan sekali dan lain-lain aktiviti yang difikirkan perlu untuk memastikan para pelajar tidak melanggari peraturan-peraturan sekolah.

iv. Sebanyak 52 buah sekolah menengah di Pulau Pinang telah menubuhkan Pasukan Kadet Polis di mana para pelajar ini akan diajar cara-cara untuk mendisiplinkan diri sendiri dan menjadi mata dan telinga pihak polis. Pasukan Kadet Polis bukannya terdiri dari satu kaum sahaja tetapi dianggotai oleh pelbagai bangsa. Dengan menganggotai pasukan kadet polis akan dapat menerapkan semangat berpasukan kepada anggota kadet.

v. Terdapat banyak program yang telah diaturkan oleh pihak polis untuk meningkatkan perpaduan kaum di Pulau Pinang seperti Rakan Cop, Pasukan Polis Sukarela, sesi bersama Ketua Polis dan sebagainya. Tujuan program-program ini dijalankan adalah untuk membantu pihak polis dalam usaha memerangi jenayah dan secara tidak langsung mendekatkan masyarakat dengan pihak polis. Masyarakat tidak kira bangsa akan bersama-sama pihak polis memerangi jenayah dan ini akan meningkatkan perpaduan kaum di Pulau Pinang.

Pencapaian sehingga kini

Semua usaha-usaha yang dijalankan oleh Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi serta pihak polis Pulau Pinang telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan oleh masyarakat. Masyarakat berbagai kaum telah dapat hidup dalam suasana harmoni dan tiada kes-kes konflik di antara kaum berlaku dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Bilangan kawasan Rukun Tetangga Negeri Pulau Pinang sehingga November 2006 adalah seperti berikut:

Daerah Timur Laut 61
Daerah Barat Daya 16
Daerah Seberang Perai Utara 38
Daerah Seberang Perai Tengah 68
Daerah Seberang Perai Selatan 60
JUMLAH 243

Sebanyak lapan (8) kawasan Rukun Tetangga lagi (SPU-3, DTL-4, DBD-1) masih dalam proses kelulusan Ibu Pejabat.

Program yang dilaksanakan oleh Rukun Tetangga meliputi bidang-bidang seperti:

- Sosial
- Sukan
- Kebudayaan
- Rekreasi
- Kesihatan
- Pendidikan
- Ekonomi
- Agama
- Alam Sekitar

Maklumat berkenaan bilangan aktiviti dan penyertaan mengikut kaum adalah seperti di Lampiran ‘A’.

Di samping itu, Majlis Perundingan Muhibbah telah ditubuhkan sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang menggabungkan kesemua 15 pertubuhan etnik yang ada di negeri Pulau Pinang. Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional sering membantu pertubuhan ini melalui kerjasama dalam melaksanakan program mereka seperti Sambutan Hari Kanak-kanak, dan Hari Perpaduan Pulau Pinang.



Kembali