MESYUARAT KEDUA PENGGAL KEEMPAT DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KESEBELAS
Soalan Sila nyatakan apakah pelan komprehensif kerajaan negeri dalam hal membanteras jenayah yang kian meningkat di Negeri Pulau Pinang demi untuk memastikan keselamatan dan keselesaan orang ramai terjamin.
Dun -
Exco YABKM
Perkara Keselamatan

Jawapan
15. Satu aspek kualiti hidup yang amat penting ialah keselamatan. Tidak dapat dinafikan bahawa dalam tempoh kebelakangan ini, kadar jenayah telah meningkat di peringkat negara pada amnya yang sering dilaporkan dalam suratkhabar. Kerajaan negeri penuh sedar terhadap persepsi negatif perasaan bimbang yang wujud di kalangan rakyat kita.

YAB. Perdana Menteri baru-baru ini telah mengumumkan pertambahan peruntukan sebanyak RM6.0 bilion bagi melaksanan Pelan Strategik Lima Tahun Polis Di Raja Malaysia 2007 – 2011, khasnya untuk menambah anggota polis seramai 60,000 dan penambahbaikan kenderaan dan peralatan. Adalah dijangka bahawa pelaksanaan pelan strategik ini akan dapat meningkatkan lagi keberkesanan pihak PDRM dalam mencegah dan menangani jenayah. Kerajaan negeri sendiri akan bekerjasama dengan PDRM untuk menjayakan pelan strategik ini di Negeri Pulau Pinang.

Pada peringkat ini, bagi memastikan keselamatan dan keselesaan orang ramai terus terjamin, pihak polis Kontinjen Pulau Pinang telah dan akan terus menjalankan berbagai-bagai langkah untuk membendung dan mengurangkan jenayah seperti berikut :-

a). mengatur strategi pencegahan jenayah yang berkesan melalui operasi-operasi berkala yang berterusan di semua peringkat daerah dengan mensasarkan kes-kes jenayah yang menjadi penyumbang utama kadar jenayah indeks;

b). menambahkan anggota polis beruniform, membuat rondaan bit jalan kaki dan bermotosikal serta rondaan kereta peronda yang ada di setiap zon dalam usaha pencegahan jenayah terutamanya di kawasan-kawasan perumahan dan kawasan tumpuan orang ramai;

c). meningkatkan lagi keberkesanaan menyiasat kes-kes jenayah, mengesan dan menangkap penjenayah;

d). mendekati masyarakat menerusi program polis bersama pelanggan, hebahan media massa dan media cetak dalam usaha memerangi jenayah terutamanya menerusi maklumat yang disalurkan dan terus dikaji serta diambil tindakan;

e). menyertai dalam Yayasan Pencegah Jenayah Pulau Pinang di mana CPO adalah pegawai bersama dengan pemimpin masyarakat serta melaksanakan konsep Bandar Selamat di mana anggota-anggota polis menetap bersama masyarakat dalam skim perumahan awam;

Walaupun tanggungjawab utama untuk keselamatan terletak di atas bahu pihak polis dan tentera, rakyat jelata juga mempunyai tanggungjawab yang penting dalam membantu pihak polis dari masa ke semasa. Pertubuhan-pertubuhan NGO, Majlis-majlis Perbandaran, JKKK, Rukun Tetangga dan sekolah-sekolah adalah kumpulan sasaran yang sentiasa dirapati, dididik dan dipertanggungjawabkan bersama ke arah mewujudkan masyarakat bebas dari jenayah. Ini termasuklah mengadakan kempen, ceramah dan penubuhan Rakan Cops untuk menyedarkan masyarakat betapa pentingnya mengawal harta benda dan nyawa sendiri; untuk menokoh tambah usaha polis dan menggembelingkan kerjasama dan penyertaan rakyat, Kerajaan Negeri telah melancarkan konsep ‘semua untuk keselamtan’ dan ‘keselamtan untuk semua’.

Majlis Perundingan Keselamatan dan Ketenteraman Awam Negeri Pulau Pinang (MPKKANPP) telah ditubuhkan oleh kerajaan negeri pada bagi menyelaraskan dan meningkatkan lagi kerjasama agensi penguatkuasa dan NGO serta orang awam dalam usaha memerangi jenayah.

Majlis ini dipengerusikan oleh YAB. Ketua Menteri Pulau Pinang dengan YB. Timbalan Ketua Menteri sebagai timbalan dan di anggotai oleh agensi-agensi kerajaan seperti PDRM, Kerajaan Tempatan, Pegawai Daerah dan lain-lain serta penglibatan NGO, pemimpin masyarakat setempat dan wakil sektor swasta.

Objektif Majlis ini adalah untuk menggerak NGO, penduduk setempat dan swasta untuk bekerja dengan lebih rapat dengan PDRM dan juga menyelaraskan segala aktiviti keselamatan anjuran penduduk melalui RT, RELA, MCPF, RA dan lain-lain supaya langkah pencegahanya dapat dipantau secara berkesan oleh PDRM.

Sebanyak 5 jawatankuasa kecil ditubuhkan di bawah majlis ini untuk kerja-kerja penyelarasan. Jawatankuasa-jawatankuasa adalah seperti berikut:-
i). Jawatankuasa Penyelarasan JKKK
ii). Jawatankuasa Penyelarasan, Penerangan dan RT
iii). Jawatankuasa Penyelarasan RA dan MC
iv). Jawatankuas Penyelarasan Polis, Rakan Cop, RELA, Kadet; dan
v). Jawatankuasa Peralatan dan Inovasi

Skim Rondaan Sukarela (SRS) oleh Rukun Tetangga telah mulai diperkemaskan dengan tumpuan kepada kawasan-kawasan berisiko (hort spots) yang dicadangkan oleh PDRM.

Begitu juga dengan memperkemaskan Inisiatif Bandar Selamat Negeri Pulau Pinang dengan penglibatan yang lebih aktif dari masyarakat setempat dan PDRM.

Bagi tahun 2007, kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan khas untuk menggerakkan SRS. SRS ini akan terus diperluaskan untuk meliputi lebih banyak kawasan lagi dengan peruntukan tambahan jikalau perlu.

Kembali