Jawapan
Kementerian telah dan sedang melaksanakan beberapa tindakan untuk menangani isu kenaikan harga barangan dan pihak kementerian berpuas hati dengan tindakan-tindakan yang telah dilaksanakan serta akan meneruskan usaha-usaha tersebut. Antara langkah-langkah yang telah diambil adalah:
(i) Membangunkan sistem e-Harga bagi mengesan trend harga. Ini dilakukan dengan pemantauan dan pemeriksaan ke atas harga 255 barang-barang keperluan di seluruh negara di 63 pusat kutipan termasuk Pulau Pinang. Melalui sistem e-Harga, maklumat kutipan harga akan dikumpul dan dianalisa bagi tujuan mengesan trend harga dan menjadi amaran awal dalam menangani kenaikan harga barang-barang yang dipantau. Selain itu, kementerian juga memantau harga 100 barangan di pasar awam dan pasar raya serta harga barangan sedia masak secara mingguan di seluruh negeri. Melalui pemeriksaan mingguan ini, ia dapat membantu mencegah peniaga-peniaga yang cuba menaikkan harga sewenang-wenangnya.
(ii) Kementerian juga mengawal harga melalui undang-undang yang dilaksanakan menerusi skim Kawalan Harga Musim Perayaan yang mula diperkenalkan sejak tahun 2000. Di bawah skim ini, beberapa jenis barang keperluan bagi musim perayaan tertentu dikenal pasti dan diisytiharkan melalui Seksyen 13 Akta Kawalan Harga 1946 sebagai barang harga terkawal. Setiap barang harga terkawal akan mempunyai harga maksimum (harga siling) yang ditetapkan dan diwartakan melalui Seksyen 4 Akta yang sama oleh kerajaan mengikut kawasan dalam tempoh-tempoh tertentu.
(iii) Selain daripada itu, kementerian telah mengisytiharkan 10 barang yang dikenali sebagai barang kawalan berjadual yang dikawal secara pentadbiran iaitu petrol, diesel, gas petroleum cecair, besi keluli, simen, tepung gandum, susu pekat manis, roti (standard loaf), ayam dan minyak masak. Peniaga telah disyaratkan supaya memiliki lesen bagi tujuan urus niaga barangan tersebut. Mulai 13 September 2006, kementerian melalui kuasa yang diberikan oleh Seksyen 13, Akta Kawalan Harga 1946 juga telah mengisytiharkan gula pasir putih bertapis kasar dan gula pasir putih halus sebagai barang harga terkawal.
(iv) Mulai 21 Mei 2007, kementerian telah melancarkan “Ops Gaji†di seluruh negara berikutan pengumuman kenaikan gaji kakitangan awam pada bulan Julai 2007. Melalui “Ops Gajiâ€, pemeriksaan dan pemantauan dijalankan di semua jenis perniagaan termasuk di bandar dan luar bandar. Pemeriksaan “Ops Gaji†dilakukan secara pasukan petugas sepadu dengan agensi-agensi kerajaan lain berkaitan seperti Jabatan Kerajaan Tempatan, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan/PBT, bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan, Jabatan Imigeresen, FAMA, JPH, LKIM, LHDN dan SSM. Pasukan tersebut dinamakan Pasukan Petugas Khas Menangani Isu Kenaikan Harga Barangan.
(v) Kementerian juga mengadakan kerjasama dengan Badan-badan Bukan Kerajaan seperti Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA), Gabungan Pergerakan Wanita FELDA (GPW-FELDA), Badan Kebajikan Angkatan Tentera (BAKAT) dan Persatuan Kebajikan Isteri-isteri Polis (PERKEP) untuk memberi penerangan mengenai senario kenaikan harga barang dan perkhidmatan serta memberi kesedaran mengenai hak-hak pengguna. Kempen jualan murah juga giat dijalankan dengan kerjasama para pengusaha hypermarket dan supermarket supaya mengadakan promosi potongan harga barangan dan jaminan harga murah berterusan.
(vi) Selain daripada itu, kementerian turut menyediakan beberapa saluran untuk pengguna membuat pengaduan seperti talian bebas tol : 1-800-886-800, Sistem Pesanan Ringkas (SMS): 32255 dan e-Aduan : http://e-aduan.kpdnhep.gov.my. Walau bagaimanapun, pengguna juga harus bijak menggunakan hak dan menjalankan tanggung jawab mereka sebagai pengguna.
Bagi menjamin usaha membendung kenaikan harga barangan dapat dilaksanakan secara berterusan serta efektif, jentera penguatkuasaan telah digerakkan secara bersepadu melalui “OPS GAJI†dan cuti pegawai-pegawai penguatkuasa kementerian telah dibekukan berkuatkuasa 21 Mei 2007 yang lalu.