MESYUARAT KEDUA PENGGAL KEEMPAT DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KESEBELAS
Soalan (a) Apakah tindakan kerajaan negeri untuk mengatasi masalah-masalah yang tidak diselesaikan sehingga kini seperti lif sering kali rosak, kutipan sampah kurang memuaskan serta bil elektrik dan air yang tertunggak di rumah pangsa di kawasan Perai. (b) Bilakah kerajaan membantu pihak pengurusan untuk menyelesaikan masalah tersebut.
Dun -
Exco SASA
Perkara Kemudahan Awam

Jawapan
Penyelenggaraan bagi rumah pangsa yang belum lagi dikeluarkan hak milik adalah di bawah tanggungjawab pemaju. Walau bagaimanapun, dengan pelaksanaan Akta Bangunan Dan Harta Bersama (Penyelenggaraan Dan Pengurusan) 2007 yang berkuatkuasa mulai April 2007, bagi rumah pangsa yang belum dikeluarkan hak milik strata, Badan Pengurusan Bersama atau ”Joint Management Body" (JMB) perlu ditubuhkan untuk menyenggara dan mengurus bangunan dalam tempoh sebelum Perbadanan Pengurusan (Management Committee) wujud. Ahli JMB terdiri daripada pemaju dan pembeli. Bagi bangunan yang telah dikeluarkan hak milik strata, Perbadanan Pengurusan (MC) perlu ditubuhkan dan bertanggungjawab untuk penyenggaraan dan pengurusan bangunan masing-masing.

Di bawah akta yang sama telah diwujudkan entiti Pesuruhjaya Bangunan (Commissioner of Building) dan diberi kuasa untuk menjaga pentadbiran akta serta Bahagian VI dan VII, Akta Hak Milik Strata 1985. Antara peranan utama Pesuruhjaya Bangunan ialah mengawalselia kesempurnaan penyenggaraan dan pengurusan bangunan dan harta bersama, menyelesaikan pertelingkahan yang timbul dan menguatkuasakan peruntukan undang-undang berpandukan kuasa yang diberikan oleh kedua-dua akta di atas. Pihak Berkuasa Negeri telah melantik Yang Dipertua MPPP dan MPSP sebagai Pesuruhjaya Bangunan bagi kawasan masing-masing. Oleh itu sebarang kemusykilan atau pertelingkahan berhubung pengurusan rumah-rumah pangsa di Seberang Perai boleh dirujuk kepada Yang Dipertua MPSP selaku Pesuruhjaya Bangunan akan tetapi usaha dan tanggungjawab hendaklah terlebih dahulu diambil oleh Perbadanan Pengurusan berkenaan.

Masalah penyelenggaraan yang lemah seperti yang dibangkitkan juga berpunca dari penduduk yang gagal membayar wang penyelenggaraan sebagaimana yang disyaratkan. Ini menyebabkan kerja-kerja penyelenggaraan tidak dapat dibuat dengan baik. Kerjasama Ahli-Ahli Yang Berhormat amat diperlukan untuk mengadakan sesi-sesi kesedaran untuk orang ramai berhubung tanggungjawab penghuni pangsapuri, di samping sesi-sesi yang diadakan oleh agensi-agensi kerajaan dari masa ke semasa.




Kembali