MESYUARAT KEDUA PENGGAL KEEMPAT DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KESEBELAS
Soalan 6. Mengapakah pihak IWK masih mengenakan caj perkhidmatan sebanyak RM8 terhadap jenis rumah kos rendah (LC) dan jenis kos sederhana rendah (LMC) contohnya Majestic Heights. Adakah pihak IWK akan membetulkan kesilapan teknikal ini dengan segera.
Dun -
Exco LCT
Perkara Pentadbiran

Jawapan
6. Caj perkhidmatan pembetungan yang dikenakan ke atas premis kediaman atau lebih dikenali sebagai premis domestik adalah berpandukan kepada tarif yang telah ditetapkan dan diwartakan di bawah Akta Perkhidmatan Pembetungan 1993. Seseorang pengguna premis domestik ditakrifkan oleh Peraturan 2, Peraturan-Peraturan Perkhidmatan Pembetungan (Caj) 1994, sebagai ”mana-mana premis yang dibina, didirikan, disesuaikan dan dicadangkan untuk digunakan secara eksklusif bagi kediaman manusia”. Cajnya pula ditetapkan melalui Peraturan 4(1)(a) di mana. ”Kadar caj pembetungan yang kena dibayar oleh seseorang pengguna premis domestik yang diklasifikasikan mengikut kategori yang ditentukan dalam ruang (1) Jadual Pertama adalah sebagaimana yang dinyatakan dalam ruang (2);”.






Jadual Pertama
[Perenggan 4(1)(a)]


CAJ BULANAN PEMBETUNGAN BAGI PENGGUNA DOMESTIK

Kategori Premis Domestik Caj Tetap Bulanan (RM)

Rumah Kos Rendah atau Nilai Tahunan RM600 dan rumah kerajaan kategori F, G, H dan I yang menerima samada Perkhidmatan Tangki Septik Individu atau Perkhidmatan Pembetungan Bersambung
2.00

Rumah kediaman Kampung, rumah kediaman Kampung Baru, rumah kediaman estet yang menerima sama ada Perkhidmatan Tangki Septik Individu atau Perkhidmatan Pembetungan Bersambung
3.00
Premis kediaman dan rumah kerajaan di dalam kategori A, B, C, D dan E yang menerima Perkhidmatan Tangki Septik Individu
6.00
Premis kediaman dan rumah kerajaan di dalam kategori A, B, C, D dan E yang menerima Perkhidmatan Pembetungan Bersama
8.00


Sebagaimana yang dinyatakan di dalam Jadual Pertama [Perenggan 4(1)(a)], hanya kediaman kos rendah atau kediaman dengan nilai tahunan kurang daripada RM600.00 dikenakan caj pembetungan sebanyak RM2.00 sebulan. Manakala, kediaman kos sederhana rendah dibilkan sama seperti premis kediaman biasa iaitu RM6.00 atau RM8.00 sebulan bergantung kepada jenis sistem pembetungan yang digunakan.



Sekiranya, terdapat sebarang kemusykilan atau kesilapan dalam mengklasifikasikan sesebuah kediaman, pengadu boleh mengirimkan dokumen berikut untuk pengesahan:-

a) Salinan Surat Perjanjian Jual Beli yang mengesahkan bahawa premis merupakan kediaman kos rendah.

b) Salinan Geran/Pindahmilik yang menyatakan premis merupakan kediaman kos rendah.

c) Salinan Bil Cukai Taksiran terkini yang menunjukkan Nilai Tahunan adalah kurang daripada RM600.00.

d) Surat daripada Pihak Berkuasa Tempatan yang mengesahkan premis sebagai kediaman kos rendah.

Selain itu, Pihak IWK akan menjalankan siasatan di lokasi bagi menentukan sama ada premis merupakan kediaman kos rendah. Sekiranya, didapati terdapat kesalahan dalam pengebilan, pihak IWK akan mengambil tindakan yang sewajarnya.





Kembali