Jawapan
Mengikut maklumat polis, setiap Daerah Polis di Pulau Pinang di bahagikan kepada pecahan Zon bagi tujuan penugasan kereta peronda. Seluruh Pulau Pinang mempunyai 34 Zon rondaan MPV ( Timur Laut 12 Zon, Barat Daya 5 Zon, Seberang Perai Utara 7 Zon, Seberang Perai Tengah 6 Zon, Seberang Perai Selatan 4 Zon)
Cara penugasan kereta peronda polis dilaksanakan dalam 4 giliran (shift) setiap hari yang dianggotai oleh 2 anggota (crew) bagi setiap kenderaan. Ini bermakna, setiap hari Polis Pulau Pinang menugaskan 136 buah kereta peronda dan 272 anggota melaksanakan tugas rondaan meliputi 34 Zon dalam seluruh Negeri Pulau Pinang.
KADUN Air Itam yang meliputi kawasan Kampung Melayu, Desa Mawar, Pasar Air Itam dan Lembah Ria berada dalam rondaan MPV Zon 10 Daerah Timur Laut. Bagi menjamin keadaan keselamatan penduduk-penduduk di kawasan ini, pihak polis secara berterusan melaksanakan tindakan pencegahan seperti berikut:-
a) Melaksanakan rondaan MPV berterusan 24 jam dalam 4 giliran (shift);
b) Mengatur anggota Polis rondaan menggunakan motosikal dua hingga tiga orang anggota secara giliran mengikut masa 4 jam siang dan 4 jam malam dalam tiga shift berterusan sepanjang 24 jam;
c) Rondaan berbasikal melibatkan 2 anggota pada waktu puncak di Pasar Air Itam iaitu mulai jam 8.00 pagi hingga 10.00 pagi setiap hari;
d) Bantuan Jabatan Narkotik Ibu Pejabat Kontinjen dan juga Daerah Timur Laut bagi menangkap pengedar dan penagih dadah dijalankan dua hingga tiga kali seminggu selain dari serbuan-serbuan khas yang dilakukan di kawasan yang menjadi tempat tumpuan utama;
e) Mengadakan Sekatan Jalan Raya di Jalan Kg. Pisan menghala ke Kg. Melayu/ Lembah Ria, Jalan Thean Teik menghala ke Desa Mawar, Jalan Paya Terubong/ Jalan Balik Pulau menghala ke Pasar Air Itam bagi mengesan dan mencegah individu/kumpulan yang berpotensi untuk melakukan jenayah kes curi.
f) Melaksanakan Operasi Bersepadu dengan bantuan pegawai/anggota dari balai-balai polis dalam Daerah Timur Laut yang dijalankan secara terancang dan serbuan ke rumah-rumah dan tempat yang telah dikenal pasti menjadi sarang tempat persembunyian orang yang melakukan jenayah kes curi.
g) Menjalankan pemeriksaan terhadap ‘kedai-kedai barang lusuh’ bagi menentukan barang-barang curi tidak dijual kepada pemilik kedai lusuh termasuk menjalankan tangkapan terhadap penjual/pembeli barang-barang curi.
h) Mengadakan ‘Majlis Dialog’ dengan penduduk-penduduk setempat di samping memberi peringatan kepada penduduk supaya mengunci rumah dengan selamat apabila meninggalkan rumah semasa keluar bekerja dan tidak memberi peluang kepada pencuri dengan meninggalkan barang-barang berharga di tempat-tempat yang boleh dilihat oleh orang yang mahu melakukan jenayah kes curi.
i) Selain daripada itu, pihak Polis juga menasihati pemilik kedai-kedai emas, bank-bank, kedai-kedai 24 jam dan lain-lain premis supaya memasang CCTV bagi membantu pihak Polis mengesan/menangkap serta mengenal pasti penjenayah yang melakukan kes curi.