MESYUARAT KEDUA PENGGAL KEEMPAT DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KESEBELAS
Soalan Apakah langkah-langkah kerajaan negeri untuk mengurangkan kesesakan di Jambatan Pulau Pinang akibat kerja-kerja pelebaran jambatan yang sedang dijalankan.
Dun -
Exco KKH
Perkara Pengangkutan Awam

Jawapan
Bagi mengelakkan kesesakan di Jambatan Pulau Pinang akibat kerja-kerja pelebaran jambatan, pihak kerajaan negeri telah bekerjasama dengan pihak Penang Bridge Sdn. Bhd. (PBSB) dengan menyelaraskan kerja-kerja pelebaran tersebut. Pihak PBSB telah menyusun jadual supaya kerja-kerja yang melibatkan penutupan lorong dijalankan pada tengah malam hingga ke awal pagi sahaja. Kerja-kerja yang tidak melibatkan penutupan lorong dijalankan sepanjang hari.

Selain daripada itu, berdasarkan perbincangan antara kerajaan negeri dengan PBSB, beberapa langkah telah ambil bagi menangani masalah ini untuk jangka masa pendek dan jangka masa panjang.

Langkah-langkah jangka pendek untuk mengatasi kesesakan lalulintas di Jambatan Pulau Pinang.

a) Penyediaan Unit Peronda Penang Bridge Sdn. Bhd. yang beroperasi 24 jam sehari. Unit ini sentiasa berada dalam keadaan tunggu sedia dengan satu unit kenderaan tunda kecil dan satu unit kenderaan tunda besar yang beroperasi 24 jam sehari untuk menarik keluar kenderaan rosak atau kemalangan;

b) Menyediakan khidmat emergency telephone dan talian bebas tol;

c) Memantau keadaan trafik melalui Penang Bridge Communication Center (PBCC) yang beroperasi 24 jam sehari dan webcam;

d) Menyalurkan bantuan kecemasan dengan purata waktu 10 - 15 minit bagi setiap kejadian;

e) Menyelaraskan median opening semasa kesesakan luar biasa;

f) Memaparkan keadaan trafik terkini melalui VMS;

g) Menyediakan sistem maklumat atas talian melalui khidmat pesanan ringkas Online Traffic Information Management System (OTIM) yang beroperasi 24 jam sehari;

h) Menyebarkan maklumat kesesakan jambatan ke stesen-stesen radio tempatan;

i) Memasang screen fencing di median jambatan.


j) Larangan kenderaan perlahan menggunakan laluan di atas Jambatan Pulau Pinang telah dikuatkuasakan pada 23 Mac 2007. Masa yang diwajibkan larangan kenderaan berat bermula pada waktu puncak dari jam 7.00 pagi hingga 9.00 pagi dan 5.00 petang hingga 7.00 malam. Bagi mengawal kenderaan dari memasuki jambatan pada waktu larangan, Penang Bridge Ronda akan berada di laluan-laluan masuk ke jambatan untuk menahan kenderaan-kenderaan yang dilarang. Contohnya, kenderaan berat dari Tanah Besar (Perai) tidak dibenarkan melepasi plaza tol pada waktu larangan tersebut. Dalam hal ini, kenderaan tersebut diarahkan berhenti dahulu di perhentian kecemasan sehingga sampai masa yang dibenarkan; dan

k) Menyalurkan maklumat melalui Penang Bridge Website yang mana pengguna dapat melihat keadaan trafik melalui lapan buah kamera litar tertutup secara terus. Ia dapat membantu pengguna merancang perjalanan mereka.


Langkah-langkah jangka panjang untuk mengatasi kesesakan lalulintas di Jambatan Pulau Pinang:

a) Melebarkan laluan masuk dan keluar dari 1 lorong ke 2 lorong;

b) Melebarkan jambatan utama dari 2 lorong kepada 3 lorong penuh sepanjang jambatan;

c) Menaiktaraf perkhidmatan feri Pulau Pinang;

d) Mengadakan kempen keselamatan (safety campaign) secara berterusan dengan kerjasama PDRM dan LLM;

e) Memperbaiki jaringan pengangkutan awam dengan mempertingkatkan sistem bas awam; dan

f) Menggalakkan orang awam menggunakan pengangkutan awam.

Kembali