Jawapan
Kadar inflasi dipantau secara ketat oleh Bank Negara dan bukannya kerajaan negeri. Mengikut Kenyataan Utama Siaran Akhbar (September 2007) Bank Negara Malaysia, kadar inflasi, seperti yang diukur oleh perubahan tahunan dalam Indeks Harga Pengguna (Consumer Price Index, CPI), adalah sederhana iaitu pada kadar 1.8% dalam bulan September 2007. Kadar inflasi di Malaysia adalah antara yang terendah di rantau ini.
Kesan harga yang lebih tinggi bagi kategori makanan di rumah, restoran dan hotel terhadap inflasi keseluruhan, sebahagiannya, dikurangkan oleh kenaikan harga yang lebih perlahan dalam kategori minuman alkohol dan tembakau. Kategori pakaian dan kasut serta komunikasi juga terus mengalami penurunan harga.
Bank Negara Malaysia yakin bahawa ekonomi negara masih mampan walaupun terdapat tekanan kenaikan harga dari luaran. Sungguhpun kenaikan harga petroleum dan komoditi dunia akan menyebabkan harga domestik atau kadar inflasi turut naik, namun, negara kita masih beroperasi di bawah ‘full capacity utilisation’ dan pelaburan masih meningkat dengan signifikan. Oleh itu, ekonomi negara masih belum menghadapi ‘demand induced pressure’. Bank Negara akan memantau kenaikan harga tenaga dan komoditi dengan ketat dan teliti.
Dalam menangani unsur kenaikan harga yang berterusan, kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDN & HEP) telah memainkan peranan proaktif dalam mengawal dan mengurangkan masalah inflasi dengan menjalankan usaha-usaha menstabilkan harga melalui tindakan-tindakan berikut :
(a) Penguatkuasaan undang-undang di bawah KPDN & HEP dalam memberi perlindungan kepada pengguna dari perbuatan penyelewengan dan kegiatan yang tidak sihat di kalangan peniaga yang tidak beretika. Undang-undang tersebut ialah :
i. Akta Kawalan Harga 1946
ii. Akta Kawalan Bekalan 1961
iii. Akta Sewa Beli 1967
iv. Akta Perihal Dagangan 1972
v. Akta Timbang dan Sukat 1972
vi. Akta Hak Cipta 1987
vii. Akta Jualan Langsung 1993
viii. Akta Perlindungan Pengguna 1999; dan
ix. Akta Cakera Optik 2000
(b) Mengawal harga barangan keperluan asas secara pentadbiran iaitu dikawal dari segi harga atau bekalan supaya bebanan golongan berpendapatan rendah tidak terlalu berat. Sebarang kenaikan harga barangan yang disenaraikan sebagai Barangan Kawalan Harga perlu mendapat kelulusan Kementerian. Senarai yang dimaksudkan ialah senarai barangan yang diisytiharkan sebagai Barang-Barang Kawalan sepanjang masa di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
(c) Menjalankan program pendidikan pengguna melalui seminar, bengkel, ceramah, forum, kem, kuiz, debat, pidato dan sebagainya bagi meningkatkan kesedaran kepada golongan peniaga dalam mewujudkan peniaga yang beretika tinggi dan kepada golongan pengguna untuk memahami hak-hak dan tanggungjawab serta peranan mereka sebagai pengguna dalam usaha membanteras inflasi. Program-program ini dilaksanakan di peringkat kebangsaan, negeri dan daerah.
(d) Melaksanakan Kempen Anti Inflasi melalui media cetak dan media elektronik jika perlu.