MESYUARAT KEDUA PENGGAL KEEMPAT DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KESEBELAS
Soalan Apakah impak-impak yang dibawa oleh pembangunan Northern Corridor Economic Region terhadap pembangunan ekonomi negeri.
Dun -
Exco YABKM
Perkara Pembangunan

Jawapan
Saya memohon izin YB Dato’ Speaker untuk menjawab soalan ini bersama-sama dengan soalan-soalan lisan nombor 27 daripada YB Kawasan Sungai Acheh, soalan nombor 31 daripada YB Kawasan Pantai Jerejak, soalan nombor 32 daripada YB Kawasan Sungai Pinang dan soalan nombor 64 daripada YB Kawasan Air Itam serta tujuh (7) soalan bertulis daripada Ahli-ahli Yang Berhormat.

1. Pada bulan Julai 2007, YAB Perdana Menteri telah melancarkan Pelan Induk Wilayah Ekonomi Koridor Utara atau Northern Corridor Economic Region (NCER). Ia merupakan salah satu daripada lima koridor pertumbuhan yang diperkenalkan di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMKe-9) 2006 – 2010.

2. Konsep Koridor Pembangunan merupakan pendekatan baru bagi menjanakan pertumbuhan ekonomi yang pesat, memastikan keseimbangan pembangunan antara negeri dan wilayah serta membasmikan kemiskinan supaya rakyat akan dapat menikmati kehidupan yang lebih makmur, selesa dan berkualiti.

3. NCER, yang meliputi empat negeri paling utara di Semenanjung iaitu Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak Utara (daerah Hulu Perak, Kerian, Larut Matang-Selama dan Kuala Kangsar), meliputi kawasan seluas 2.4 juta hektar, dengan jumlah bilangan penduduk seramai 4.3 juta orang. Program ini akan dilaksanakan secara berperingkat, bermula dari 2007 hingga 2025. Ini bermakna tempoh perlaksanaan NCER merangkumi tempoh RMKe-9 hingga RMKe-12.

4. Misi utama bagi insiatif NCER adalah untuk mempercepatkan pembangunan wilayah ini dengan mengenalpasti peluang-peluang komersil yang berdaya maju dan melaksanakan program-program yang diluluskan oleh Kerajaan. Tema keseluruhan bagi NCER adalah “Meningkatkan nilai ditambah daripada industri sedia ada”, dengan menumpukan kepada transformasi dan perluasan tiga (3) sektor ekonomi yang utama, iaitu pertanian, pembuatan dan perkhidmatan yang merangkumi pelancongan dan logistik.

5. Pembangunan tiga (3) tunjang utama ini akan disokong oleh pembangunan infrastruktur fizikal (hard infrastucture) seperti logistik, dan infrastruktur lembut (soft infrastructure) seperti modal insan dan sistem penyampaian pentadbiran kerajaan. Pada masa yang sama, pengekalan alam sekitar (environmental sustainability) akan terus dipulihara untuk warisan generasi masa hadapan.

6. Pulau Pinang akan menikmati banyak faedah positif daripada pembangunan NCER. Sebagai hab pengangkutan dan logistiks untuk NCER dan IMT-GT, Negeri Pulau Pinang mendapat beberapa projek infrastruktur besar yang kini berada di dalam pelbagai tahap perancangan dan pelaksanaan, seperti berikut:-

(1) Pembesaran pelabuhan, khasnya North Butterworth Container Terminal (NBCT)

(2) Pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa di Bayan Lepas

(3) Pembinaan Jambatan Kedua Pulau Pinang

(4) Penang Outer Ring Road (PORR)

(5) Projek Monorel

(6) Penang-Butterworth Fast Ferry Service

(7) Penang Central Integrated Transport Hub, Butterworth

(8) International Cruise Centre, Swettenham Pier

7. Selain daripada kesan-kesan limpahan semasa pembinaan, kemudahan-kemudahan infrastruktur tersebut akan membantu menjanakan ekonomi negeri dan wilayah serta mengwujudkan banyak peluang bisnes dan pekerjaan dalam pelbagai sektor perkhidmatan dan pembekalan bagi negeri ini.

8. Pada masa yang sama, Negeri Pulau Pinang dikenalpasti sebagai hab untuk pembangunan seterusnya industri elektronik ke arah hi-tech dan hi-value dengan pengwujudan centre of excellence for micro-electronics. Di samping itu, beberapa produk baru akan terus diterokai, termasuk bio-tech, medical devices, aerospace components dan sebagainya. Kesan-kesan limpahan berganda-ganda dijangka akan diperolehi secara sinergetik di antara Pulau Pinang, Kulim Hi-Tech Park, Sungai Petani dan Taiping sehingga ke Ipoh dengan kerjasama dan usahasama yang lebih erat lagi

9. Tambahan pula, Pulau Pinang telah dikenalpasti sebagai satu hab untuk terus dimajukan pelancongan perubatan atau medical tourism. Selain daripada hospital-hospital yang sedia ada, Pulau Jerejak juga dikenalpasti sebagai berpotensi untuk dimajukan bagi bidang ini. Walaupun negeri kita bukanlah negeri pertanian, Pulau Pinang dapat memainkan peranan sebagai hab industri asas tani (IAT), khasnya, industri makanan halal, di samping menjadi hab logistik bagi semua keluaran hasil tani dalam NCER.

10. Selain daripada itu, beberapa projek pembangunan hartanah bercampur yang raksasa juga berada di dalam pelbagai peringkat perancangan dan pelaksanaan dalam negeri kita. Projek-projek ini dijangka akan diperkasakan oleh NCER dan memberi sumbangan terhadap kejayaan NCER. Projek-projek yang besar adalah seperti berikut:-

(1) Jelutong Development Area

(2) Tanjong Pinang di Tanjong Tokong

(3) Bandar Bertam di Kepala Batas

(4) Bandar Cassia di Batu Kawan

(5) Penang Global City Centre di Batu Gantung

11. Pembangunan hartanah akan memberi lonjakan kepada sektor pembinaan negeri ini. Apabila siap nanti, projek-projek tersebut akan memberi banyak peluang bisnes dan pekerjaan.

12. Bagi menggalakkan pelaburan pihak swasta dalam sektor-sektor yang tersebut di dalam NCER, beberapa cadangan insentif fiskal dan bukan fiskal sedang dipertimbangkan supaya mewujudkan persekitaran perniagaan yang kondusif dan mengatasi beberapa cabaran yang sedang dan bakal dihadapi oleh para usahawan dan pelabur.

13. Insentif-insentif kewangan yang dicadangkan termasuklah geran untuk menggalakkan aktiviti pengurusan amalgamasi tanah pertanian; geran untuk menyokong pembangunan modal insan; dan dana modal teroka (venture capital funding) untuk penyelidikan dan pembangunan produk-produk baru. Selain daripada itu, beberapa insentif bukan-kewangan juga dicadangkan bagi NCER termasuk, kelonggaran untuk membawa masuk pekerja asing berilmu (foreign k-workers) dalam bidang-bidang khas yang tertentu.

14. Seperti yang telah diumumkan oleh YAB Perdana Menteri, anggaran kasar bagi kos keseluruhan yang diperuntukkan di bawah NCER untuk tempoh 18 tahun yang akan datang berjumlah RM177.0 bilion. Ini meliputi peruntukan dari Kerajaan dan juga pelaburan sektor swasta.

15. Kerajaan Persekutuan dan Negeri akan memainkan peranan utama sebagai pemangkin dalam melaksanakan projek-projek pembangunan khasnya prasarana di bawah RMk-9. Akan tetapi, bagi tempoh selanjutnya di bawah RMKe-10, RMKe-11 dan RMKe-12, pihak swasta pula dijangka memainkan peranan yang lebih penting.


16. Ini bermakna pembangunan NCER adalah dipandu oleh sektor swasta (private sector driven). Secara kasar, pelaburan yang diharapkan dijanakan oleh pihak swasta adalah dua pertiga (2/3) daripada pelaburan keseluruhan dalam tempoh pelaksanaan NCER. Selebihnya sebanyak satu pertiga (1/3) adalah peruntukan dari pihak kerajaan.

17. Oleh kerana NCER adalah private-sector driven, maka ianya akan dipengaruhi dan ditentukan oleh arus perubahan dalam pasaran, sama ada domestik atau antarabangsa. Di samping itu, NCER turut menghadapi persaingan daripada wilayah-wilayah lain dalam negara kita, seperti Kuala Lumpur dan Lembah Kelang, the Iskandar Development Region, East Coast Economic Region (ECER) dan bandaraya-bandaraya lain dalam rantau Asia Tenggara. Oleh itu, daya penarikan negeri kita dipertingkatkan untuk menarik pelaburan asing dan tempatan.

18. Untuk menangani cabaran-cabaran tersebut dan untuk merealisasikan NCER, adalah penting untuk memastikan setiap program dan projek yang dikenalpasti dalam Pelan Induk tersebut dapat dilaksanakan mengikut tujuan dan jadual perancangannya untuk manfaat rakyat.

19. Di samping itu, Koridor Utara ini melibatkan empat (4) buah negeri, banyak agensi kerajaan, syarikat milikan kerajaan (GLC) dan syarikat swasta. Maka perancangan yang bersepadu, serta kerjasama dan penyelarasan yang rapi amatlah penting bagi memastikan Pelan Induk dan Pelan-Pelan Implimentasi Sektoral tersebut lebih berdaya maju dan dapat dilaksanakan dengan jayanya.

20. Untuk tujuan ini, satu badan yang bertanggungjawab untuk mendorong dan menyelaraskan pelaksanaan projek-projek pembangunan NCER akan ditubuhkan. Dikenali sebagai Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara atau Northern Corridor Implementation Authority (NCIA), badan ini akan dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri sendiri, dengan YAB Timbalan Perdana Menteri sebagai Timbalan Pengerusi dengan melibatkan semua Menteri Besar dan Ketua Menteri dari empat negeri dalam NCER dan beberapa menteri persekutuan yang berkaitan. Rang Undang-undang NCIA sedang disediakan untuk diluluskan oleh Parlimen.

21. Buat masa ini, pihak Sime Darby Berhad, yang telah dilantik oleh Kerajaan Persekutuan sebagai agensi peneraju kepada penyediaan pelan induk pembangunan Koridor Utara tersebut, sedang berbincang dengan agensi-agensi Kerajaan Persekutuan serta Kerajaan-Kerajaan Negeri yang berkaitan untuk menyediakan pelan-pelan implementasi sektoral secara lebih terperinci.

22. Mengikut jadual, pelan-pelan sektoral tersebut dijangka siap disediakan menjelang akhir tahun ini. Oleh itu, maklumat terperinci mengenai anggaran peruntukan yang bakal disediakan bagi projek-projek yang akan dilaksanakan dalam NCER pada keseluruhannya dan mengikut negeri hanya dapat diketahui pada awal tahun hadapan.

23. Pada keseluruhannya, adalah jelas bahawa NCER merupakan strategi yang komprehensif untuk merealisasikan konsep “smart partnership” ini secara lebih konkrit dan berkesan lagi, kerana ianya akan dipimpin dan diselaraskan oleh Kerajaan Persekutuan. Dalam rangka tindakan NCER ini, Kerajaan Persekutuan adalah komited untuk menyalurkan banyak program pembangunan bagi NCER amnya, dan Negeri Pulau Pinang khasnya, untuk memajukan wilayah ini dan menjadikan Negeri kita sebagai hab logistik dan gerbang NCER.

24. Kerajaan Negeri Pulau Pinang memang mengalu-alukan dan menyambut baik NCER dan akan bekerjasama rapat dengan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan tiga (3) negeri jiran untuk menjayakannya. Saya ingin menyeru rakyat kita supaya bersama-sama menggunakan segala peluang keemasan ini untuk menjayakan NCER demi meningkatkan kualiti hidup dan manfaat bersama bagi kita.

Kembali