MESYUARAT KEDUA PENGGAL KEEMPAT DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KESEBELAS
Soalan Apakah persiapan kerajaan untuk menghadapi kesan ‘Green-House’ iaitu peningkatan suhu bumi? Sila huraikan dari segi kenaikan paras air laut, kekurangan makanan akibat kenaikan harga makanan, kekurangan sumber air minuman, perubahan cuaca dan banjir.
Dun -
Exco TCY
Perkara ADUN

Jawapan
Di antara persiapan awal Kerajaan bagi menghadapi kesan perubahan iklim akibat pemanasan global ialah melaksanakan kajian nasional pertama tentang impak perubahan iklim akibat aktiviti manusia terhadap sektor ekonomi di Malaysia pada tahun 2000. Kajian yang telah dilaksanakan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar telah menghasilkan initial national communication kepada United Nations Framework Convention on Climate Change (UNFCCC) dan satu laporan yang menjadi rujukan penting kepada kerajaan. Selanjutnya, pada masa ini national communication kedua pula sedang disediakan oleh Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar selaku wakil Malaysia di UNFCCC untuk memperolehi kedudukan terkini mengenai keadaan dan impak perubahan iklim kepada negara.

Kerajaan juga sentiasa terlibat dan peka dengan perkembangan hasil-hasil kajian perubahan iklim dunia. Pihak yang membuat taksiran mengenai perubahan iklim dunia ialah para saintis Intergovernmental Panel on Climate Change (IPCC), iaitu sebuah badan Bangsa-Bangsa Bersatu yang bertanggong jawab melaporkan status perubahan iklim dunia. Laporan keempat oleh IPCC melaporkan bahawa pertambahan kesan gas rumah kaca akibat daripada aktiviti manusia akan meningkatkan suhu bumi di antara 1.8oC hingga 4.0oC untuk tempoh dari tahun 2000 hingga 2100. Pemanasan bumi ini diakibatkan oleh pelepasan gas rumah hijau yang berpunca dari pembakaran bahan api fosil.

Akibat pemanasan tersebut, paras air laut akan meningkat apabila air batu di kutub utara dan selatan cair dan isi padu air laut juga berkembang setelah suhu bumi menjadi bertambah panas. Mengikut pemantauan yang telah dibuat oleh para saintis, purata global peningkatan paras air laut akibat pemanasan global bagi tempoh 1961 hingga 2003 ialah pada kadar 1.8 mm setahun. Walau bagaimanapun, data pencerapan 10 tahun lepas (1993 - 2003) menunjukkan kadar peningkatan ini adalah lebih tinggi iaitu 3.1 mm setahun. Mengikut ramalan model perubahan iklim oleh IPCC, purata peningkatan paras air laut pada tempoh 2090 - 2099 berbanding dengan purata 1980 - 1999 ialah antara 180 mm (0.18 meter) hingga 590 mm (0.59 meter).

Selain kenaikan paras air laut, pemanasan global dijangka akan mempengaruhi corak turunan hujan dan kejadian cuaca ekstrem seperti banjir besar yang mana boleh memberi impak kepada sektor kesihatan, pertanian, sumber air, kawasan pantai dan spesis-spesis di kawasan semulajadi. Ini bermakna kekurangan sumber makanan dan sumber air minuman boleh berlaku akibat pemanasan global.

Walau bagaimanapun impak tersebut dijangka tidak ketara untuk tempoh terdekat, tetapi hanya akan dirasai selepas suku pertama kurun ke 21 ini. Kekuatan impak yang sebenar pula akan bergantung kepada kadar pemanasan global, dan fenomena ini tertakluk kepada senario pengeluaran gas-gas rumah kaca di seluruh dunia di sepanjang abad ke 21 ini.

Sehubungan itu, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar telah mengambil langkah proakatif dengan melancarkan Kempen Kesedaran Alam Sekitar dan dirasmikan oleh Y.A.B. Perdana Menteri Malaysia pada 8 Julai 2007 di Queensbay, Pulau Pinang. Melalui kempen ini orang ramai digalakkan menaman pokok, menggalakkan perkongsian kenderaan, mengamalkan konsep kitar semula, menerapkan amalan penjimatan tenaga dan menggunakan tenaga elektrik secara effisen sepanjang masa supaya fenomena pemanasan global dapat dikurangkan.

Malaysia juga bergiat aktif di peringkat antarabangsa dengan menandatangani Protokol Kyoto yang menggalakkan Mekanisme Pembangunan Bersih (Clean Development Mechanism – CDM). Peningkatan penggunaan bahan pemusnah ozon seperti kloroflurokarbon (CFC), halon, metilbromida, hydrochlorofluorocarbon (HCFC) dan pelarut 111-TCA turut menyumbang kepada pemanasan bumi.

Pada masa yang sama, Jabatan Alam Sekitar turut menguatkuasakan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Pengurusan Refrigeran) 1999, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Pengurusan Halon) 1999 dan Perintah Kualiti Allam Sekeliling (Larangan ke Atas Penggunaan Klorofluorakarbon dan Lain-Lain Gas Sebagai Propelan dan Agen Pengembang) 1993 bagi mengawal serta melupuskan bahan pemusnah ozon.

Satu deraf Pelan Tindakan Udara Bersih (Clean Air Action Plan) sedang disediakan oleh Jabatan Alam Sekitar Negeri Pulau Pinang yang mengandungi strategi-strategi bagi menangani masalah kesan rumah hijau. Beberapa siri bengkel dan seminar mengenai Pelan Tindakan Udara Bersih di peringkat persekutuan telah diadakan dengan stakeholders.



Kembali