Jawapan
Y.B. ENCIK SUBBAIYAH A/L PALANIAPPAN
MENJAWAB BAGI PIHAK Y.A.B. KETUA MENTERI
52. (a) Kempen Antidadah yang dijalankan bukanlah gagal tetapi cuma kurang berkesan kerana kebanyakan program hanya dijalankan oleh agensi Kerajaan, sedangkan penglibatan masyarakat umum serta masyarakat sivil masih belum menyeluruh. Kerjasama dari semua pihak adalah diperlukan dalam membanteras gejala kurang sihat ini. Mulai tahun 2007 Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), telah mengerakkan seluruh masyarakat bagi memainkan peranan di dalam semua program-program pencegahan. AADK selaku lead agency akan memantau semua aktiviti pencegahan yang dijalankan oleh masyarakat dan agensi-agensi yang lain. Sebagai contoh di peringkat kampung, JKKK perlulah menjalankan program pencegahan diperingkat kampung itu sendiri.
(b) Peruntukan
Peruntukan bagi program pencegahan setiap tahun amat berkurangan, contohnya pada tahun ini AADK Pulau Pinang hanya mendapat sebanyak RM1.2 juta bagi menjalankan program-program pencegahan. Peruntukan ini hanya disalurkan oleh ibu pejabat AADK Putrajaya.
Jenis Aktiviti
Antara aktiviti yang dijalankan adalah pameran, ceramah, kempen dan pelbagai aktiviti yang melibatkan semua kumpulan sasaran AADK. Selain itu, aktiviti pendidikan pencegahan dadah seperti Program PINTAR, Program Intervensi Pelajar, Program di IPT, Program Belia Berwawasan, Program Ibu bapa dan Program Dalam Komuniti serta Program Tempat Kerja Bebas Dadah turut juga dilaksanakan. Bagi aktiviti pemulihan pula, peratus kejayaan ialah sebanyak 30% serta pelbagai program dijalankan kepada bekas-bekas penagih yang diletakkan di bawah pengawasan dalam komuniti seperti Program Pembimbing Rakan Sebaya, Program Pencegahan Relapse, Kemahiran Daya Tindak, Kemahiran Interpersonal dan Kumpulan Sokong Bantu.
Pusat Serenti
Di Pulau Pinang terdapat 2 buah Pusat Serenti iaitu Pusat Serenti Bukit Mertajam dan Pusat Serenti Kampong Selamat. Kedua-dua pusat tersebut menjalankan aktiviti rawatan dan pemulihan untuk 300 penghuni pada setiap masa.
Kategori Penagih
Kategori penagih meliputi Penagih Tegar (hard core addict), penagih sederhana, dan pengguna dadah di peringkat awalan (mencuba).
Lain-lain program
Selain daripada Program Pencegahan dan Pemulihan terhadap sasaran yang disebutkan tadi (Sekolah, Belia, keluarga, Tempat Kerja dan Komuniti), AADK juga mensasarkan program kepada bekas-bekas pengguna dadah yang diletakkan di bawah Pengawasan Polis dan AADK agar mereka tidak kembali kepada najis dadah serta berguna kepada masyarakat setempat.
c. Perancangan dan tindakan susulan
AADK telah merancang strategi berikut :
Pelan Pencegahan:
(i) Memperkukuhkan pembangunan modal insan dengan pengukuhan jatidiri dan kesedaran menolak dadah
(ii) Menggerak masyarakat memerangi dadah
(iii) Meningkatkan hubungan dan kerjasama organisasi di peringkat antarabangsa
(iv) Mengukuh dan memperkasakan keupayaan organisasi pelaksana
(v) Pemantauan pelaksanaan dan penilaian program pencegahan
Pelan Pemulihan:
(i) Menggerakkan masyarakat ( civil society )
(ii) Memberi pengetahuan kepada masyarakat mengenai kaedah rawatan dan pemulihan.
(iii) Mengadakan perkongsian pintar dengan NGO/swasta/individu yang pakar dalam rawatan dan pemulihan
(iv) Memperkasa sistem sokongan sosial dalam komuniti
(v) Menggerak dan meningkatkan tanggungjawab sosial di kalangan majikan dan pihak swasta.
(vi) Penekanan aspek kerohanian/moral dalam mengekalkan pemulihan
(vii) Memantapkan rawatan dan pemulihan secara holistik
(viii) Menyediakan pelbagai pendekatan rawatan dan pemulihan berasaskan keperluan pelanggan (psychosocial assessment)
Di samping itu, AADK turut bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan yang lain antaranya; AADK sedang menyediakan prasarana untuk menguatkuasakan Undang-Undang berkaitan dadah dengan langkah-langkah berikut:
(i) Penyediaan Modal Insan dengan memberi latihan kepada semua kakitangan dalam bidang penguatkuasaan undang-undang dan menambah bilangan perjawatan untuk cawangan penguatkuasaan.
(ii) Penyediaan prasarana seperti menyediakan kemudahan lokap, pengangkutan dan peralatan-peralatan lain untuk tujuan penguatkuasaan.
(iii) Penyediaan Struktur Organisasi dengan mewujudkan carta organisasi yang mantap dengan menambah bilangan kakitangan bagi cawangan penguatkuasaan.
(iv) Penyediaan Kertas Cadangan Pelaksanaan Akta bagi melaksanakan sepenuhnya Akta Agensi Anti Dadah Kebangsaan 2004.
(v) Penyediaan Standard Operating Procedures (SOP) bagi aliran kerja setiap bidang tugas kakitangan yang terlibat dalam bidang penguatkuasaan.