Jawapan
Selaras dengan matlamat negara, program pembasmian kemiskinan telah dilaksanakan oleh pelbagai agensi kerajaan di seluruh Pulau Pinang. Program tersebut bertujuan meningkatkan pendapatan dan kualiti hidup golongan miskin dan kumpulan berpendapatan rendah. Golongan berpendapatan rendah ini boleh dikategorikan kepada 3 golongan iaitu golongan termiskin, miskin dan mudah miskin. Dalam mengklasifikasikan kumpulan sasar ini, konsep Paras Garis Kemiskinan (PGK) digunapakai. Paras Garis Kemiskinan tahun 1999 ialah RM510 sebulan untuk isi rumah seramai 5 orang. Berdasarkan PGK, golongan termiskin ialah yang berpendapatan isi rumah RM255.00, golongan miskin RM510.00 dan golongan mudah miskin RM1,200.00.
Program-program yang dilaksanakan meliputi Program Pemulihan Rumah (PPR), Program Peningkatan Ekonomi Kampung (PEK), Program Pembangunan Masyarakat Setempat (PPMS), Program Makanan Tambahan Kanak-kanak Termiskin (MTKT), Program Pemulihan Sikap Keluarga Termiskin (PSKT) dan Projek Ternakan Lembu Pedaging (PTLP).
Agensi Kerajaan dan NGO seperti PERDA, MARA, Amanah Ikhtiar Malaysia, Pusat Urus Zakat (PUZ), USM dan KEMAS dengan kerjasama semua pejabat daerah telah memainkan peranan masing-masing untuk membantu rakyat termiskin supaya dapat berdikari dan seterusnya meningkatkan taraf hidup mereka. Dalam tempoh 1991-1995, bilangan ketua isi rumah (KIR) PPRT telah berkurangan daripada 2,030 orang KIR kepada 605 orang KIR pada akhir tempoh 1996-2000.
Selaras dengan PSDP2, dalam tempoh 2001-2005, program pembasmian kemiskinan terus diberi keutamaan untuk mewujudkan masyarakat yang bersatu padu dan saksama. Penekanan utama adalah untuk memastikan penyertaan yang seimbang dikalangan pelbagai peringkat masyarakat. Ini selaras dengan matlamat kerajaan pusat untuk mengurangkan kemiskinan mutlak pada kadar 0.5% menjelang tahun 2005. Bagi Negeri Pulau Pinang, sasaran yang telah ditetapkan adalah untuk mengurangkan kemiskinan pada kadar 0% daripada jumlah penduduk.
Program Pembangunan Insan Golongan Miskin akan terus diberi perhatian ke arah membina minda dan memajukan diri dalam usaha mengurangkan kemiskinan. Pelbagai program yang merangkumi kursus, seminar, bengkel, latihan dan lawatan akan dilaksanakan untuk Ketua Isi Rumah dan ahli isi rumah. Di samping itu, Program Peningkatan Ekonomi seperti bantuan perniagaan dan industri kampung akan disalurkan kepada individu atau kelompok miskin.
Kerajaan melalui agensi seperti PERDA dan pejabat daerah akan melaksanakan program-program seperti Kursus Keibubapaan, Program Mencerna Minda, Kursus Asas Keusahawanan, Bengkel Makanan Komersial, Program Bantuan Ekonomi PERDA, Program Bantuan Rumah, Program Tambahan Makanan Seimbang dan Program Pembangunan Masyarakat Setempat.
Selain daripada itu, agensi seperti Amanah Ikhtiar Malaysia dan PUZ akan turut bantu melaksanakan pelbagai program seperti penyediaan Skim Pinjaman Ikhtiar, Skim Pinjaman Ikhtiar Nelayan dan Skim Pinjaman Ikhtiar Ibu Tunggal dalam usaha mengurangkan kemiskinan.
Dalam aspek pembangunan usahawan bumiputera, Rancangan pembangunan usahawan negeri Pulau Pinang telah dirangka dengan mengambilkira dasar yang ditetapkan oleh kerajaan persekutuan dan keadaan sosio-ekonomi dan geo-politik negeri Pulau Pinang. Terdapat dua strategi utama yang dilaksanakan dalam usaha membangunkan usahawan Bumiputera Pulau Pinang iaitu dengan memajukan golongan Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (MPPB) yang mantap dan meningkatkan penyertaan bumiputera di pelbagai sektor ekonomi moden.
Strategi yang diaturkan dijelaskan pelaksanaannya menerusi beberapa aktiviti yang meliputi penyediaan kursus/latihan, kewangan/pinjaman, pelaburan, penyediaan kemudahan infrastruktur, promosi/pemasaran, panduan projek, program francais/vendor, testing/research, pengkalan data dan lain-lain khidmat sokongan. Terdapat 15 jabatan dan agensi kerajaan serta Kementerian memainkan peranan yang penting di dalam usaha menggerakkan pelaksanaan aktiviti-aktiviti pembangunan usahawan Bumiputera negeri Pulau Pinang.
Kerajaan juga telah menubuhkan dana termasuk mikro kredit untuk membantu peniaga dan usahawan Bumiputera mendapat pinjaman kredit. Agensi-agensi kerajaan seperti MARA, SMIDEC, Bank Pertanian, Bank Simpanan Nasional, Bank Pembangunan, Kementerian Pembangunan Usahawan dan lain-lain institusi kewangan telah membantu melahirkan peniaga-peniaga dan usahawan Bumiputera serta menaik taraf perniagaan mereka. Sehingga akhir 2003 nilai pinjaman terkumpul diluluskan kepada bumiputera oleh 12 buah agensi adalah RM491,046,752 untuk 20,733 orang peminjam.
Prestasi pelaksanaan program Pembangunan Usahawan Bumiputera Pulau Pinang oleh agensi-agensi utama seperti MARA, PERDA, PDC, Bahagian Penyelarasan Penyertaan Bumiputera dan Dewan Perniagaan Melayu Pulau Pinang pada keseluruhannya agak memuaskan di mana sepanjang tempoh 1995 – Disember 2000 seramai 14,423 para usahawan telah terlibat dengan program yang digerakkan oleh agensi-agensi kerajaan yang berkenaan. Daripada jumlah tersebut seramai 2,320 mendapat peluang dengan program penyediaan ruang niaga dan sejumlah RM30 juta telah diluluskan untuk tujuan pinjaman kepada para usahawan, selain daripada Tabung Ekonomi Usahawan Kecil Nasional (TEKUN), Skim Projek Usahawan Bumiputera Dalam Bidang Perniagaan (PROSPER) dan kemudahan-kemudahan lain terus di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi. Skim-Skim baru turut dipromosikan dan cuba dipasarkan supaya lebih ramai usahawan bumiputera dapat dilahirkan.
Dalam pada itu, usaha menyediakan tapak perniagaan untuk para Usahawan Bumiputera Pulau Pinang digerakkan khususnya menerusi Pejabat Daerah, Majlis Perbandaran Pulau Pinang dan Majlis Perbandaran Seberang Perai yang telah diminta untuk membangunkan lebih banyak gerai dan ruang niaga yang sesuai dengan kadar sewa mampu untuk para peniaga kecil bumiputera.
Disamping itu, kerajaan negeri terus menjalinkan hubungan baik dengan pihak swasta untuk terus memastikan uasahawan sentiasa maklum dengan polisi dan peluang-peluang baru dalam keusahawanan seperti dalam bidang industri halal dan agrotek, untuk terus memastikan jurang ekonomi antara kaum melayu dan kaum-kamu lain dapat dikurangkan dan seterusnya dihapuskan sama sekali.
OK - ARA 30/9/04