MESYUARAT KETIGA PENGGAL PERTAMA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KESEBELAS
Soalan Baru-baru ini, YAB. Ketua Menteri telah mengumumkan penubuhan syarikat ‘Invest Penang Berhad’. Sila nyatakan fungsi utama dan struktur organisasi serta peranannya dalam usaha pembangunan ekonomi Negeri Pulau Pinang.
Dun -
Exco YABKM
Perkara -

Jawapan
Dato’ Speaker,

Saya memohon untuk menjawab soalan No. 10 daripada YB Ahli Kawasan Air Itam bersama dengan soalan No. 13 daripada YB Ahli Kawasan Bukit Tengah.

Seperti yang telah saya jelaskan semasa menjawab soalan No. 2 daripada YB Ahli Kawasan Dato’ Keramat, ekonomi Negeri kita sedang dan akan terus menghadapi persaingan yang sengit dalam pasaran sedunia dan cabaran untuk beralih ke k-ekonomi secara pesat. Oleh itu, Penang Cyber City merupakan satu daripada beberapa strategi dan program yang penting untuk memberangsangkan sektor perindustrian dan perkhidmatan di negeri ini ke arah teknologi tinggi dan nilai tambah tinggi melalui program Koridor Raya Multimedia (MSC).

Pada masa yang sama, dalam suasana yang begitu mencabar, Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga sedar bahawa adalah amat penting dan kritikal menggubal satu pendekatan dan satu jentera penggerak dan penyelaras yang cukup berfokus, proaktif, bersepadu, fleksibel dan pragmatik untuk mengekalkan para pelabur yang sedia ada dan seterusnya mempertingkatkan keberkesanan promosi pelaburan serta pembangunan teknologi tinggi bagi sektor perindustrian.

Oleh itu, selepas perbincangan secara mendalam dan mengambil kira semua aspek, Kerajaan Negeri dan pihak PDC merumuskan bahawa Bahagian Perindustrian PDC yang telah menjalankan tugas promosi perindustrian selama ini perlulah diperluas, dirombak semula dan digembelingkan dengan usaha dan sumber daripada sektor swasta dan sektor akademik. Tujuan utamanya adalah untuk mempertingkatkan lagi keberkesanan promosi pelaburan, teknologi dan bisnes dengan memperolehi maklumat mengenai hala tuju dan arus bisnes atau “business intelligence” melalui jaringan atau “network” sektor swasta. Di samping itu, salah satu tugas utama ialah untuk memikul tanggungjawab menguruskan promosi Cyber City dan promosi bidang-bidang yang baru seperti multimedia, bioteknologi dan sebagainya.

Hasil daripada pertimbangan dan perbincangan tersebut, didapati dan dipersetujui bahawa adalah lebih sesuai untuk ditubuhkan satu entiti baru yang dinamakan sebagai “investPenang”, dalam bentuk syarikat tanpa laba dan berhad melalui jaminan (a non-profit company limited by guarantee) di bawah State Secretary Incorporated (SSI) sebagai pemegang saham yang tunggal.

InvestPenang Berhad bertujuan untuk memberi perkhidmatan “Total Service Provider” dalam usaha mempromosikan teknologi, industri dan bisnes. Ianya akan menggabungkan kepakaran dan keupayaan dari sektor awam, swasta dan akademik supaya dapat menjanakan sinergi yang bersepadu lagi berkesan. Ianya akan diurus sebagai sebuah organisasi yang tidak berorientasikan keuntungan kepada orang perseorangan dan berpandu kepada prinsip-prinsip urustadbir yang baik serta akauntabiliti yang tinggi.

Visi investPenang adalah untuk menjadi peneraju di dalam teknologi dan industri demi memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan dan kemakmuran rakyat Negeri Pulau Pinang serta memastikan negeri kita kekal sebagai lokasi pilihan sedunia bagi teknologi, industri dan perniagaan.

Antara objektif-objektif investPenang adalah:
• Mengukuhkan lagi suasana mesra bisnes (business-friendly environment) di Negeri Pulau Pinang.
• Membantu meningkatkan daya saing ekonomi negeri ini khasnya dari segi teknologi tinggi, kos yang berdaya saing dan keselesaan menjalankan perniagaan (ease of doing business).
• Mempromosikan pelaburan dalam industri dan perkhidmatan yang bernilai tambah tinggi.
• Menyokong perkembangan syarikat-syarikat sedia ada dan menggalakkan mereka menaiki rantaian nilai (moving up the value chain).
• Membantu, menyokong dan menyelaras industri tempatan supaya berupaya bersaing secara global.

InvestPenang akan mengambilalih tanggungjawab promosi perindustrian yang selama ini dilaksanakan oleh Bahagian Perindustrian, PDC. Penubuhan syarikat ini juga adalah selaras dengan langkah penstrukturan semula atau “restructuring” terhadap organisasi PDC.

Sebagai “Total Service Provider”, investPenang akan:
• Memberi galakan pelaburan untuk produk-produk baru, teknologi baru serta perkhidmatan yang berkaitan.
• Memberi galakan pelaburan ke Penang Cyber City dan membantu syarikat-syarikat multinasional (MNC) dan tempatan untuk memperolehi status Koridor Raya Multimedia (MSC).
• Menggalakkan pembangunan syarikat-syarikat pembekal dan sokongan tempatan yang berdaya saing untuk menyokong dan melengkapkan keperluan pengeluaran syarikat-syarikat multinasional yang sedia ada serta yang baru.
• Membantu dan menyelaras syarikat-syarikat tempatan untuk meningkatkan daya saing demi memperluaskan perniagaan dan dapat bersaing dalam pasaran sedunia.

InvestPenang tidak akan membuat sebarang pelaburan bagi pihak diri sendiri. Fungsi utamanya ialah untuk menggalakkan pelaburan daripada para pelabur asing dan tempatan ke Negeri Pulau Pinang.

Selain daripada itu, investPenang juga akan membantu dalam program membangunkan Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (BCIC), melalui kerjasama erat dengan Bahagian Pembangunan Usahawan yang baru di PDC serta Jawatankuasa Pemandu Penyertaan Bumiputera (JKP) di bawah Jabatan Perdana Menteri dan agensi-agensi persekutuan yang lain seperti PERDA dan MARA.

InvestPenang akan bekerjasama erat bersama Kementerian Perdagangan dan Perindustrian Antarabangsa (MITI) dan kementerian-kementerian lain seperti Kementerian Kewangan, dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi untuk menilai kesesuaian projek dan menawarkan insentif-insentif yang menarik kepada para pelabur.

Di peringkat negeri pula, investPenang akan bekerjasama erat bersama PDC dan anak-anak syarikatnya, Pusat Pembangunan Kemahiran Pulau Pinang (PSDC), Collaborative Research & Resource Centre (CRRC), Socio-Economic & Environmental Research Institute (SERI), Universiti Sains Malaysia (USM) dan majlis-majlis perbandaran (MPPP / MPSP).

Lembaga investPenang akan dipengerusikan oleh Ketua Menteri sendiri dengan Timbalan Ketua Menteri sebagai Timbalan Pengerusi. Ahli-ahlinya terdiri daripada beberapa Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri iaitu YB Dato’ Koay Kar Huah, YB Dato’ Dr. Toh Kin Woon, YB Encik PK Subaiyah, YB Setiausaha Kerajaan Negeri, YB Pegawai Kewangan Negeri dan YB Penasihat Undang-undang Negeri. Ahli-ahli Lembaga Pengarah yang lain termasuk Pengurus Besar PDC, Yang DiPertua MPPP dan Yang DiPertua MPSP. Lembaga akan menetapkan dasar-dasar utama serta meluluskan strategi dan program pelaksanaan, dan bajet yang yang dirangka oleh Jawatankuasa Eksekutif investPenang atau EC (Executive Committee).

EC pula dipengerusikan oleh YBhg. Datuk Kalsom Abdul Rahman, bekas Timbalan Ketua Setiausaha, MITI dan kini Pengerusi, Perbadanan Pembangunan Industri Kecil dan Sederhana (SMIDEC) Malaysia. Ahli-ahlinya termasuk YBhg. Dato’ Kelvin Kiew, Pengarah dan CEO, Mini-Circuits Technologies (sebuah syarikat multinasional yang utama beroperasi di Pulau Pinang); YBhg. Dato’ SH Wong, bekas Naib Presiden Intel, dan Pengerusi bagi Kumpulan “Malaysia-America Electronic Industry” di bawah American-Malaysian Chambers of Commerce (AMCHAM); YBhg Dato’ Tan Yew Thong, Pengerusi syarikat industri logam LBSB Sdn. Bhd. dan Konsul Kehormat Kanada ke Pulau Pinang; dan Prof. Isa Abdul Majid, Dekan Penyelidikan untuk Platform Sains Hayat, USM dan juga Penyelaras bagi Program Bio-pharmacy bagi Pelan Biotek Nasional. Datuk Kalsom dan Dato’ SH Wong juga adalah ahli Jawatankuasa Pemandu (JKP) dalam merangka Pelan Induk Perindustrian yang ke-Tiga (IMP3) bagi negara, manakala Dato’ Tan adalah ahli Jawatankuasa Kecil IKS di bawah JKP IMP3. Kesemua lima ahli EC ini juga merupakan ahli Lembaga Pengarah investPenang.

Fungsi-fungsi utama EC adalah untuk merangka strategi dan program bagi investPenang, membantu Pasukan Mengurus dalam aspek-aspek teknikal dan bisnes serta memantau prestasi Pasukan Mengurus dan kakitangan supaya mencapai sasaran-sasaran yang ditetapkan.

Pasukan Mengurus (Management Team) bagi investPenang pula akan diterajui oleh Puan Wan Zailena Noordin sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Dato’ BJ Yeang sebagai Ketua Pegawai Operasi (COO). Bakal CEO Puan Wan Zailena pernah bertugas sebagai Pensyarah di USM dan selanjutnya adalah bekas Ketua Jabatan Perhubungan Kerajaan dan Awam dan seterusnya Pengarah Sumber Manusia di Intel Malaysia, sebelum bersara secara pilihan baru-baru ini. Dato’ BJ Yeang adalah Timbalan Pengurus Besar, PDC secara kontrak setelah bersara wajib pada awal tahun ini.

Mereka berdua kini memainkan peranan sebagai pasukan pengurusan pro-tem bagi investPenang dan sedang berunding dengan Pengurus Besar PDC mengenai proses memilih dan menyerap kakitangan Bahagian Perindustrian PDC yang berminat untuk menyertai investPenang. Mereka juga akan melantik anggota-anggota pentadbiran bagi investPenang dari pasaran luar. InvestPenang dijangka akan mempunyai seramai 20 kakitangan pada tahun 2005.

InvestPenang akan dibantu oleh pasukan-pasukan petugas penasihat bisnes dan teknikal (business and technical advisory taskforces) mengikut bidang dan keperluan, yang terdiri daripada pakar-pakar sektor swasta dan universiti-universiti.

InvestPenang bercadang menyewa ruang pejabat dalam bangunan PSDC. Ianya dijangka akan beroperasi sepenuhnya selepas 1 Januari, 2005. Buat sementara waktu dan sewaktu tempoh peralihan, Bahagian Perindustrian PDC akan terus berfungsi untuk mempromosi sektor perindustrian dengan dibantu oleh ahli-ahli EC dan bakal CEO dari investPenang.



Kembali