MESYUARAT KETIGA PENGGAL PERTAMA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KESEBELAS
Soalan Berapakah jumlah penderma darah biasa (regular) di Pulau Pinang. Berapakah anggaran jumlah kuantiti darah yang diperlukan setiap bulan. Adakah penderma-penderma darah yang sediada dapat menampung keperluan ini. Kalau tidak, bagaimanakah caranya hospital mendapat bekalan tersebut.
Dun -
Exco SP
Perkara ADUN

Jawapan
Jumlah penderma darah di negeri Pulau Pinang pada tahun 2003 ialah seramai 17,559 orang di mana seramai 9,338 adalah penderma lazim (regular) dan 8221 penderma kali pertama. Jumlah unit pendermaan darah yang dikutip pada tahun 2003 adalah sebanyak 26,898 unit. Dari jumlah ini, Hospital Pulau Pinang mengendalikan 63% daripada pendermaan diikuti dengan Hospital Seberang Jaya sebanyak 32% dan Hospital Bukit Mertajam sebanyak 5%.

Anggaran keperluan kuantiti darah yang diperlukan setiap bulan adalah 2,050 unit di mana 1,400 unit diperlukan oleh Hospital Pulau Pinang, 550 unit untuk Hospital Seberang Jaya manakala selebihnya, 100 unit adalah untuk Hospital Bukit Mertajam.

Jumlah penderma darah dan kuantiti pendermaan darah adalah mencukupi pada masa ini bagi menampung keperluan pesakit. Namun, wujud pada masa-masa tertentu di mana keperluan darah melebihi bekalan yang sedia ada. Ini tertakluk kepada musim-musim tertentu terutamanya di musim perayaan yang mana keperluan darah amat kritikal. Oleh yang demikian, strategi Tabung Darah untuk mengatasi masalah ini serta menampung keperluan permintaan darah adalah dibuat melalui pelbagai cara antaranya ialah :

a)Mengadakan kempen derma darah melalui organisasi seperi persatuan-persatuan, kilang-kilang serta badan-badan bukan kerajaan (NGOs).

b)Menghantar surat peringatan kepada penderma darah yang biasa dan kurang aktif untuk menderma darah.

c)Sekiranya perlu, Unit Transfusi Darah akan mendapatkan bekalan dari hospital-hospital lain.

d)Membuat hebahan kepada orang ramai melalui media cetak dan elektronik.

e)Berhubung dengan para penganjur kempen derma darah untuk menganjurkan sesi derma darah secara berkala setiap bulan.

f)Mengadakan kempen-kempen kesedaran tentang kepentingan terhadap keperluan bekalan darah yang mencukupi seperti kempen-kempen kesihatan, ceramah dan sebagainya kepada orang ramai, organisasi-organisasi kerajaan dan badan-badan bukan kerajaan (NGOs).



Kembali