MESYUARAT KETIGA PENGGAL PERTAMA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KESEBELAS
Soalan Sila nyatakan jumlah kes penyakit jantung di Pulau Pinang pada tahun 2002 dan 2003. Daripada jumlah tersebut, berapakah jumlah pesakit yang telah meninggal dunia. Apakah langkah-langkah yang telah diambil oleh pihak berkuasa untuk menangani bahaya penyakit ini.
Dun -
Exco SP
Perkara ADUN

Jawapan
Jumlah pesakit yang menghidapi kes penyakit jantung dikategorikan di bawah tiga klasifikasi iaitu kedatangan pesakit luar di kelinik-kelinik kesihatan, kedatangan pesakit luar di hospital-hospital dan pesakit dalam di hospital-hospital.

Untuk kedatangan pesakit-pesakit luar di kelinik-kelinik kesihatan, jumlah kes baru pada tahun 2002 adalah 20,433 kes manakala pada tahun 2003, jumlah kes baru meningkat kepada 20,720 kes.Untuk kedatangan pesakit-pesakit luar di hospital-hospital, jumlah kes baru pada tahun 2002 adalah 16,193 kes dan pada tahun 2003, jumlah ini meningkat kepada 17,785 kes.

Bagi pesakit dalam , seramai 5,059 pesakit kes jantung telah dimasukkan dalam wad untuk rawatan lanjut. Daripada jumlah tersebut, 414 pesakit telah meninggal dunia. Sementara itu pada tahun 2003, seramai 5,385 pesakit kes jantung telah dimasukkan ke hospital dengan jumlah kematian 389 pesakit. Berbanding dengan tahun 2002, tahun 2003 mencatatkan jumlah penurunan kematian sebanyak 6% atau 25 orang. Namun kes-kes penyakit jantung juga meningkat sebanyak 6 % atau 299 orang.

Dari segi aspek pencegahan penyakit kronik ini, Kementerian Kesihatan Malaysia telah mengambil beberapa langkah bagi mengatasi masalah ini, di antaranya, ialah melalui kempen kesihatan tahun 2003 iaitu ' Sihat Sepanjang Hayat'. Skop kempen ini meliputi pemakanan secara sihat, mempromosikan aktiviti fizikal dan kecergasan, kempen tidak merokok dan kemahiran untuk menangani 'stress.

Sejajar dengan kempen tersebut, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang turut mengadakan pelbagai aktiviti. Di antara aktiviti-aktiviti tersebut ialah mengadakan promosi gaya hidup sihat dan juga bekerjasama dengan badan-badan bukan kerajaan (NGOs), pihak media elektonik dan cetak , pihak swasta serta jabatan-jabatan kerajaan yang lain bagi menjalankan pameran, ceramah, forum awam, pengedaran risalah-risalah dan lain-lain. Di samping itu, kelinik-kelinik kesihatan juga mengadakan ceramah dan pemeriksaan kesihatan untuk komuniti bagi mengesan kes-kes baru jantung dan merujuk untuk rawatan lanjut, sekiranya perlu.


Kembali