Jawapan
Kemudahan-kemudahan pelancongan yang telah dibangunkan pada masa kini ialah sebuah resort yang dikenali sebagai Jerejak Resort & Spa. Di antara kemudahan-kemudahan yang ditawarkan oleh resort berkenaan adalah seperti berikut:
a) Sebuah Perkampungan Spa yang menawarkan sebanyak 20 unit bilik penginapan yang berbentuk chalet, sebuah restoran yang menyediakan pelbagai makanan seimbang (diet food) yang dikenali sebagai Smoothies Cafe dan juga Spa yang menawarkan pelbagai jenis terapi yang berkonsepkan Bali.
b) Sebuah perkampungan Kembara yang menawarkan sebanyak 45 buah bilik penginapan yang berbentuk dormitory. Bilik-bilik berkenaan boleh memuatkan dari 2 hingga 8 orang sesebuah bilik. Pusat aktiviti mencabar dan lasak juga disediakan untuk digunakan oleh para pengunjung. Antara aktiviti yang disediakan adalah seperti merentas hutan, memanah, memanjat tembok, abseiling, repelling, mountain biking, memancing, flying fox, suspension bridge, kolam renang, permainan pantai, bilik mainan dan taman permainan kanak-kanak.
c) Bangunan utama juga menyediakan kemudahan untuk bermesyuarat yang terdiri daripada sebuah ballroom yang dapat memuatkan seramai 500 orang, 2 buah bilik mesyuarat kecil yang dapat memuatkan seramai 40 orang dan 80 orang setiap sebuah. Terdapat juga sebuah restoran yang menyediakan pelbagai jenis makanan yang boleh memuatkan seramai 240 orang yang dikenali sebagai Restoran Santapan. Kemudahan seperti surau dan bilik persalinan juga adalah disediakan.
d) Terminal jeti juga disediakan di kedua-dua buah pulau iaitu Jeti Berlepas di Pulau Pinang yang terletak berhampiran dengan Bayan Bay dan juga Jeti Ketibaan yang terletak di kawasan resort di Pulau Jerejak. Kemudahan pengangkutan feri adalah disediakan untuk membawa pengunjung ke Jerejak Resort & Spa.
e) Lain-lain kemudahan yang disediakan adalah seperti kedai runcit (survival store) yang terletak di lobi resort, kemudahan meletak kereta serta bilik menunggu untuk VIP di Jeti Berlepas dan Beach Bar di kawasan pantai resort.
Rancangan untuk menambah kemudahan-kemudahan baru di Pulau Jerejak adalah dibawah perancangan Syarikat Tropical Island Resort.