Jawapan
Mengikut Perjanjian antara Kerajaan Negeri dan syarikat Rayston Consortium Sdn Bhd, syarikat Rayston perlu melaksanakan program penempatan semula penduduk termasuk nelayan yang terlibat dengan projek BORR. Ini termasuk membayar pampasan kepada mereka dan membina sebuah jeti kekal.
Dalam perbincangan susulan antara Kerajaan Negeri, pemaju dan Persatuan Nelayan, semua pihak bersetuju bahawa jeti kekal ini akan dibina di kawasan Kuala Bekah kerana kawasan ini berada di
luar kawasan tebusguna tanah seluas 650 hektar di sepanjang persisiran pantai Butterworth yang akan dijalankan oleh syarikat Rayston.
Kerajaan Negeri dalam perbincangan dengan pihak pemaju baru-baru ini telah mengarahkan jeti kekal yang akan dibina di Kuala Bekah disegerakan pelaksanaannya. Pihak pemaju memaklumkan bahawa tempoh pembinaan dianggarkan mengambil masa setahun termasuk tempoh proses penyediaan dokumen, siasatan tapak dan sebagainya. Pada masa ini, kos pembinaan jeti kekal ini belum dapat dipastikan kerana pelan rekabentuk belum dimuktamadkan. Kerajaan Negeri akan berusaha memastikan jeti kekal ini akan dapat disiapkan selewat-lewatnya penghujung tahun 2005.
Apabila jeti kekal ini siap, ianya akan turut dilengkapi dengan kemudahan menyimpan pukat dan alat-alat menangkap ikan yang lain. Bagaimanapun, pembinaan jeti kekal ini tidak akan melibatkan sebarang pemindahan penduduk.