MESYUARAT KETIGA PENGGAL PERTAMA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KESEBELAS
Soalan Apakah rancangan Jabatan Veterinar Negeri terhadap pembangunan bidang penternakan di Pulau Pinang selaras dengan kehendak YAB. Perdana Menteri yang mahukan bidang ini diberi fokus utama.
Dun -
Exco AI
Perkara ADUN

Jawapan
- Pembangunan industri ternakan di Pulau Pinang adalah berlandaskan kepada dasar dan program yang diatur mengikut kepentingan negeri. Selaras dengan asas perancangan DPN3, beberapa arahtuju strategi telah dijadikan panduan untuk merancang program, antaranya ialah:

a)merasionalkan penggunaan tanah
b)meningkatkan kecekapan dan produktiviti
c)memperkukuhkan asas ekonomi; dan
d)memperkukuhkan daya saing.


- Tumpuan adalah diberikan untuk meningkatkan pengeluaran ternakan yang bersesuaian dengan senario Negeri Pulau Pinang. Penekanan adalah diberikan kepada penternakan komersial yang berteknologi tinggi dan berpengurusan korporat. Penternakan yang lebih maju tersebut akan meningkatkan pendapatan para pengusaha, menambahkan penggunaan sumber tempatan, serta memberikan pulangan yang positif.

- Tindakan juga perlu diambil untuk membasmi sistem penternakan yang mencemarkan alam sekitar. Program pembangunan juga akan mengambil kira pengukuhan infrastruktur bagi menyokong perkembangan industri ternakan dan menyediakan perkhidmatan veterinar yang cekap dan profesional.



PEMBANGUNAN PROGRAM PENTERNAKAN

Sektor ternakan dijangka akan terus tertekan oleh kepesatan perbandaran. Walaubagaimanapun,dengan adanya teknologi pengeluaran yang tinggi dan peningkatan kecekapan pengurusan, nilai keluaran ladang komoditi ternakan dijangka dapat bertahan.

1. Objektif

Bersesuaian dengan Dasar Pertanian Negera Ketiga, pembangunan projek penternakan di Negeri Pulau Pinang akan menyokong usaha seperti berikut:

a. Meningkatkan pengeluaran makanan untuk sekuriti makanan.

b. Meningkatkan produktiviti perladangan ternakan.

c. Mengeratkan lagi rantaian dengan sektor lain.

d. Mewujudkan sumber pertumbuhan yang baru bagi sektor pertanian.

e. Memulihara dan menggunakan sumber semula jadi secara mapan.

Objektif pelaksanaan projek juga bertepatan dengan objektif pembangunan projek penternakan oleh Jabatan Perkhidmatan Haiwan, antaranya ialah:

a. Menentukan bekalan daging dan telur ayam mencukupi untuk bekalan
domestik dan mengambil peluang untuk pasaran eksport.

b. Mempergiatkan pengeluaran daging lembu/kerbau,kambing/bebiri dan
susu segar untuk pasaran domestik.

c. Menentukan bekalan mencukupi dan konsisten bagi bahan-bahan mentah
untuk keperluan industri pemprosesan.

d. Melaksanakan transformasi penternak ke tahap komersil.

e. Menggunakan sumber semula jadi secara mapan.
Melalui Rancangan Negeri Pulau Pinang Pertama, pendekatan baru dan
berinovatif dalam pembangunan penternakan akan menjadikan sektor
penternakan lebih lestari. Pengeluaran bahan makanan dari
ternakan akan dipertingkatkan dengan memberi galakan kepada
pertanian berskala besar, yang mengamalkan sistem pengurusan
yang cekap,penggunaan tanah secara intensif, penglibatan sektor
swasta yang lebih aktif, penggunaan kaedah teknologi dan pengurusan
moden, dan melaksanakan integrasi ternakan dengan tanaman kekal.
Pengeluaran komoditi utama akan diorientasikan kepada peningkatan
produktiviti yang berdaya saing. Pendekatan mengikut gagasan
MoA Incorporated akan diterap dalam pelaksanaan projek-projek
penternakan yang dicadangkan.

2. Jenis-jenis Program Penternakan

a)Program Penternakan Lembu Pedaging

Selain dari pengeluaran melalui penternakan lembu secara tradisional,
tumpuan pengeluaran daging lembu ialah melalui penggemukan secara
fidlot. Kemudahan pelabuhan Butterworth akan dimanfaatkan untuk
pengimportan lembu muda untuk fidlot. Pengimportan lembu muda
akan ditambah nilai kepada pengeluaran daging yang lebih bermutu
untuk pasaran tempatan dan untuk eksport.

b)Penternakan Ayam Itik Pedaging

Pengeluaran daging ayam akan dikekalkan di tahap seratus peratus
sara diri, dan mengeksport baki pengeluaran yang berlebihan.
Pengeluaran ladang akan dipertingkatkan menggunakan teknologi
terkini seperti bangsal tertutup, mekanisasi ladang dan ransum
pemakanan yang baik. Penternakan ayam pedaging secara kontrak akan
menggantikan penternakan individu yang bersaiz sederhana dan kecil.
Ladang-ladang akan digalakkan mengamalkan kaedah sanitari dan
fitosanitari (SPS) dan perladangan yang baik (GAHP).Pengeluaran
ladang yang bebas dari Salmonella akan mempastikan penghasilan
daging yang lebih selamat untuk pengguna.

Penternakan berbagai itik pedaging seperti itik maskovi dan itik
peking juga digalakkan. Masing-masing mempunyai pengguna yang
tersendiri termasuklah penggunaan yang kian meningkat di kalangan
rangkaian restoran nasi kandar.

c)Penternakan Kambing

Penternakan kambing akan digiatkan melalui unit-unit perladangan
komersial, yang juga mengamalkan penternakan secara fidlot.
Initiatif baru dalam penternakan kambing menggunakan bakabaik
seperti Boer, Germasia dan kacukan baka bermutu yang lain akan
merangsang semula minat dan pelaburan baru dalam penternakan daging
secara komersial dan intensif. Penternakan secara kontrak boleh
diterokai untuk membimbing dan membangunkan unit-unit ladang
komersial tersebut. Dalam aktiviti fidlot, kambing muda boleh juga
diimport dari luar negara untuk digemukkan dan diberi nilai tambah.

Idea yang telah dicetuskan oleh YAB Perdana Menteri, mengenai
pembangunan Projek Kambing Bakabaik Kepala Batas (KBKB), kini telah
menjadi kenyataan. Ladang KBKB dijangka akan menjadi pemangkin
kepada pertumbuhan semula sub-sektor penternakan kambing
di Pulau Pinang. Sebuah ladang nukleus kini terbina di Kubang
Menderong, menggunakan tanah seluas kira-kira 50 ekar.

Ladang nukleus akan membekalkan anak-anak kambing kacukan boer
kepada penternak yang terpilih dalam satu skim penternakan kontrak,
menggunakan ladang-ladang bimbingan tersebut. Penternak tersebut
kemudiannya akan menjual balik kambing-kambing matang kepada ladang
nukleus, dan kitaran diteruskan sehingga ke satu tahap mereka boleh
berdikari dan membuka ladang sendiri. Projek KBKB akan menghasilkan
penternak-penternak kambing baru, mempertingkat penggunaan baka boer
sebagai pembiak dan mengeluarkan kambing berkualiti untuk
penghasilan daging.

d)Telur Ayam

Pengeluaran telur ayam oleh penternak swasta akan dikekalkan untuk
menampung tahap sara diri dan untuk eksport. Amalan perladangan
yang baik (GAHP) dengan kaedah mekanisasi dan teknologi pengurusan
terkini akan menjamin kualiti telur yang dikeluarkan. Pemprosesan
telur kepada produk tambah nilai yang lain akan digalakkan.

e)Susu Lembu

Penternakan lembu tenusu adalah digalakkan kerana permintaan untuk
susu segar sangat tinggi. Pembangunan produk tenusu seperti dadih
dan susu perisa akan digalakkan untuk mempelbagaikan hasil ladang.
Bagaimanapun, para penternak dikehendaki berdikari dari segi
pemprosesan dan pemasaran susu ataupun produk keluarannya kerana
hanya terdapat sebuah Pusat Pembangunan Industri Tenusu yang
terletak di Daerah di Seberang Perai Selatan. Perladangan komersial
akan dibimbing lagi kearah amalan kaedah perladangan yang baik(GAHP)

f)Puyuh Pedaging

Puyuh pedaging berpotensi besar untuk dikembangkan menjadi
bidangusaha Bumiputera kerana tidak memerlukan modal dan kawasan
tanah yang luas. Institusi Peladang seperti Pertubuhan Peladang
Kawasan (PPK) boleh mengambil alih tugas ladang baka dan pemasaran,
sementara PPK di Pulau Pinang yang lain boleh bekerjasama sebagai
anak kontrak. Selain dari penggunaan dalam negeri yang tinggi,
keluaran ladang juga boleh dieksport seperti ke Lembah Kelang dan
Langkawi kerana permintaan yang tinggi.

g)Ternakan Lain

Penternakan beranika haiwan dan unggas yang kurang menggunakan
kawasan tanah akan digalakkan supaya boleh menyumbang kepada
pengeluaran daging pilihan dari ternakan. Ayam kampung, ayam piru,
ayam selasih, ayam mutiara, burung unta, burung merpati dan berbagai
unggas lain; serta beranika ternakan seperti rusa dan arnab adalah
sesuai diternak. Bidang usaha yang berdaya maju akan dikembangkan
untuk menjadi unit komersial.

Penternakan ayam piru dan ayam kampung di bawah tanaman utama seperti
kelapa sawit dan dusun boleh memberikan hasil utama kepada
penternak. Berbagagai jenis itik pedaging dan ayam kampung yang
diternak secara bercampur dengan aktiviti bersawah juga mempunyai
potensi besar, sebagai hasil tambahan kepada aktiviti menanam padi.

e)Makanan Ternakan

Makanan ternakan siap rumus telah dikeluarkan oleh pengilang makanan
sediada sejak sekian lama.Kemudahan perindustrian yang ada memudahkan
pengilang dan ladang ternakan mendapatkan bahan mentah yang diimport.
Selain menggunakan hampas isirung palma (PKC) dan rumput rampai,
penternak lembu fidlot, lembu tenusu dan kambing akan digalakkan
untuk menggunakan bahan sampingan pertanian seperti hampas soya,
hampas sagu dan dedak padi untuk mengurangkan kos pemakanan. Khidmat
runding pemakanan ternakan akan terus disediakan bagi mempastikan
makanan ternakan berkualiti dan memberikan kadar tukaran pemakanan
yang tinggi.


3. Pemprosesan Dan Industri Hiliran

Industri ternakan akan berkembang dari yang berbentuk perladangan dan
pengeluaran bahan mentah kepada industri pemprosesan makanan dan
hasilan ternakan, serta aktiviti hiliran yang lain. Ruang pasaran,
permintaan penduduk dan taraf hidup yang tinggi akan mendorong
perkembangan industri pemprosesan makanan.

Daerah SPU akan dibangunkan sebagai sebuah kawasan Industri Kecil
dan Sederhana (IKS) berasaskan industri hiliran dan pemprosesan produk
dari ternakan. IKS ini boleh mengeluarkan makanan proses, hasil
kraftangan, aksesori dan dandanan, makanan haiwan, baja tanaman, dan
ubat-ubatan. Pengeluaran makanan mempunyai potensi yang paling besar
antaranya ialah makanan mentah bermutu tinggi atau makanan siap
untuk dimakan. Ia boleh dikeringkan, diawet atau dimasak dengan
berbagai resipi dan dipek atau ditinkan untuk pasaran. Nilai tambah
yang dihasilkan akan meningkatkan kualiti dan menambah pulangan kepada
bahan mentah tersebut.

Sektor pertanian di Pulau Pinang perlu bergerak ke arah industri
bentuk baru yang mempunyai nilai pasaran yang tinggi, mampu menarik
pelaburan serta menjana keuntungan yang tinggi. Industri pemprosesan
makanan berasaskan hasilan ternakan dijangka akan terus berkembang
maju, kerana adanya permintaan yang tinggi dan potensi yang ditawarkan
oleh pasaran eksport.



Kembali