MESYUARAT KETIGA PENGGAL PERTAMA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KESEBELAS
Soalan Apakah langkah-langkah yang telah dan akan diambil oleh kerajaan negeri untuk mempertingkatkan produk-produk pelancongan sediada di tempat-tempat seperti berikut:- (a) Bukit Bendera (b) Kebun Bunga (c) Kota Kornwallis (d) Muzium Negeri
Dun -
Exco TCY
Perkara ADUN

Jawapan
5. (a) Bukit Bendera

Langkah-langkah yang telah diambil oleh Kerajaan Negeri untuk mempertingkatkan produk-produk pelancongan di Keretapi Bukit Bendera adalah seperti berikut :

1. Lanskap Stesen Atas dan Tengah dan menanam pokok-pokok bunga hiasan dalam pasu-pasu bunga antik di Stesen Bawah.

2. Memasang deretan lampu-lampu berwarna-warni di sepanjang landasan keretapi.

3. Membina sebuah pentas bagi mengadakan aktiviti-aktiviti seperti pertunjukan kebudayaan, silap mata dan pelbagai persembahan khusus untuk tarikan pelancong ke Bukit Bendera.
4. Menaiktaraf Railway Banglo untuk diadakan kursus, seminar dan mesyuarat.

5. Menaiktaraf pelantar pandangan khusus untuk pelancong melihat pemandangan sekitar kawasan Bukit Bendera dengan lebih jelas.

6. Membina Titian Silara “Canopy Walk” iaitu titian yang unik di mana laluannya merentasi empat (4) pohon Pasak Utama dan lima (5) penyokong Pokok Meranti Seraya. Ia telah direka bentuk dengan sebuah pelantar tiga segi bagi membolehkan perjalanan menurun lereng dilalui dengan selamat. Panjang Titian Silara ini ialah 220m (720 kaki).

7. Menaiktaraf Stesen Bawah Keretapi Bukit Bendera secara keseluruhannya.

8. Membina kompleks gerai-gerai perniagaan lengkap dengan kafeteria.

9. Mengubahsuai Sistem Elektrik Keretapi Bukit Bendera.

10. Menaiktaraf pejabat di Stesen Tengah dan Atas.

Langkah-langkah yang dirancang oleh Kerajaan Negeri untuk mempertingkatkan produk-produk pelancongan di Bukit Bendera :

1. Membina tempat letak kereta bertingkat bagi mengatasi masalah yang paling kritikal.

2. Membina lanskap di Stesen Bawah Keretapi Bukit Bendera.

3. Menaiktaraf ruang menunggu di Stesen Atas Keretapi Bukit Bendera.

4. Melebarkan jalan, membina bulatan kecil dan membina perhentian teksi di hadapan perkarangan Stesen Bawah untuk memudahkan kenderaan masuk dan keluar.

5. Memasang “interlok” (tiles) bermula dari pintu masuk dan keseluruhan kawasan laluan jalan kaki di perkarangan Stesen Bawah Keretapi Bukit Bendera.

6. Menaiktaraf jalan-jalan di atas Bukit Bendera.

7. Membina tempat-tempat berehat di kawasan-kawasan strategik di atas Bukit Bendera.

8. Membangunkan semula banglo-banglo milik Kerajaan Negeri dan Tea Kiosk.

9. Menggalakkan pakej flora dan fauna trail dan mewujudkan taman di atas bukit.

(b) Kebun Bunga

Kerajaan Negeri Pulau Pinang melalui Jawatankuasa Pengurusan Kebun Bunga dan Jabatan Kebun Bunga telah dan sedang mengambil langkah-langkah yang tertentu seperti berikut untuk mempertingkatkan produk-produk pelancongan yang sedia ada di Taman Kebun Bunga :

Langkah-Langkah Yang Telah Diambil

1. Memperbaiki dan menaiktaraf kemudahan prasarana fizikal yang sedia ada seperti tandas awam, jalan, perparitan, pejalan kaki, air terjun, sungai, denai-denai hutan, tiang-tiang lampu, perabot dan peralatan taman.

2. Menambahbaik dan memperkayakan koleksi serta bentuk persembahan produk-produk Eco dan Bio Pelancongan seperti Rumah Paku Pakis, Rumah Orkid, Rumah Kaktus, Rumah Begonia/Bromeliad, Taman Aroid, Kolam Lili, Rumah Epiphyte, Arboretum Pokok Nadir, Taman Herba, Rumah-Rumah Pokok Hiasan, Rumah Palma dan lain-lain.
3. Menaiktaraf dan memperindahkan landskap di tempat-tempat tarikan yang utama dalam taman seperti Taman Inggeris/Formal Garden, Galeri Orkid, Fern Rockery, Sun Rockery dan tebing sungai.

4. Memperbanyakkan tanda-tanda arah (signages), label-label dan papan-papan keterangan pokok di seluruh taman bagi memudahkan pelancong dan untuk tujuan pembelajaran.

5. Sentiasa memastikan kebersihan, kecantikan dan keselamatan taman dipelihara dengan sempurna.

Langkah-langkah yang sedang diambil adalah seperti berikut :

1. Pembangunan Central Garden

Rancangan pembangunan Central Garden ini merangkumi enam (6) kawasan yang akan dibangunkan dan dimajukan iaitu Fern Rockery (herbaceous), Kawasan riparian/tebing sungai, Nursery koleksi rare/endemic, Taman tema ginger/halia, taman bertema aroid/keladi, Orchadarium dan Kolam Lili termasuk sebahagian daripada hutan di sekitar kawasan tersebut. Pembangunan kawasan ini meliputi kerja-kerja ukur sempadan dan laluan, pemetaan dan perlabelan pokok, pengemaskinian dan penambahan koleksi-koleksi taman tema melalui “Plant Introduction Program” yang melibatkan pengumpulan spesis tumbuhan yang asal (native) kepada Malaysia di hutan Semenanjung Malaysia, spesis-spesis tumbuhan yang dikumpul akan ditanam di taman-taman tema tersebut.

2. Pembinaan Taman Rekreasi Baru

Taman ini terletak di atas sebahagian Lot. 2850, Mk.18 Daerah Timur Laut, Pulau Pinang di atas tapak bekas kuari yang terbengkalai di sebelah Kebun Bunga, Pulau Pinang. Tapak yang berkeluasan lebih kurang 10 ekar ini telah diwartakan oleh kerajaan Pulau Pinang dalam Rancangan Pembesaran Kebun Bunga. Antara tarikan dan kemudahan yang akan disediakan di dalam taman ini ialah Dataran Rakyat, kawasan permainan kanak-kanak, trek joging, stesen senamriang (Parcourse), trek basikal, pelantar pemandangan, Padang Botani (Botanic Parkland) dan sebagainya. Taman ini akan memberi alternatif kepada pengunjung-pengunjung tempatan terutama sekali golongan warga tua, kanak-kanak dan orang-orang kurang upaya untuk mengadakan aktiviti-aktiviti perkelahan, aktiviti sosial/ keluarga dan aktiviti-aktiviti bersukan. Taman ini juga akan dibangunkan secara mesra alam disusuli dengan perancangan pembangunan taman yang teratur, selamat dan ‘handicap friendly’. Taman ini dijangka dibuka untuk kegunaan masyarakat tempatan mulai 2005.

3. Kewujudan Pusat Hortikultur

Kawasan ini terletak di atas sebahagian Lot. 2850, Mk.18 Daerah Timur Laut, Pulau Pinang yang berkeluasan 63,765 kaki persegi. Tujuan penyediaan tempat ini adalah sebagai pusat sehenti yang merangkumi tempat pameran, perkhidmatan dan penjualan serta promosi yang bersepadu untuk membaik, mempamer dan menjual bahan-bahan tanaman, barangan dan peralatan hortikultur dan landskap kepada para pengunjung, pelancong dan orang ramai yang berminat dalam bidang ini. Pusat Hortikultur ini dijangka mula beroperasi pada bulan Januari 2005.

4. Pusat Informasi Pelawat

Ia terletak bersebelahan Taman Inggeris/Formal Garden dan merupakan 2 bangunan bekas kuaters yang telah diubahsuai dan diperbaiki. Tujuan diadakan pusat ini ialah sebagai pusat sumber dan tumpuan kepada para pengunjung dari dalam dan luar negeri bagi mendapatkan maklumat dan informasi mengenai tumbuh-tumbuhan dengan menyediakan kemudahan-kemudahan info-plant, kafe dan bahan-bahan sejarah yang berkaitan dengan Kebun Bunga. Pusat Informasi ini akan mula beroperasi pada akhir 2005.

Langkah-Langkah Yang Akan Diambil

Pelaksanaan beberapa projek utama dalam Rancangan Pembesaran Kebun Bunga akan direalisasikan pada Rancangan Malaysia Ke Sembilan (2006-2010) jika diluluskan permohonan peruntukan. Projek-projek baru ini adalah seperti berikut :

(i) Membina ‘facade’ pintu masuk utama.
(ii) Mengadakan sistem lalu lintas yang baru termasuk penyediaan ‘tram car’ atau ‘buggy ride’.
(iii) Menyediakan pavilion rehat dan riadah pelancong termasuk gerai-gerai jualan cenderahati, minuman dan makanan.
(iv) Pembangunan semula Kem Koranation yang bertemakan Eco atau Bio pelancongan.
(v) Projek Flora Pinangiana dan Malaysiana.
(vi) Curtis Jungle Park.

(c) Kota Cornwallis

Pengurusan Kota Cornwallis telah diswastakan kepada Syarikat Sebagus Travel & Tours Sdn Bhd bermula dari 1 Januari 2004.

Syarikat Sebagus Travel & Tours telah mengambil langkah-langkah berikut bagi mempertingkatkan lagi produk-produk yang terdapat di dalam kota tersebut:

1. Para pekerja yang berpakaian zaman kolonial, memberikan satu pemandangan yang berbeza kepada para pelancong.

2. Memberikan perkhidmatan pemandu pelancong kepada pelancong-pelancong yang datang ke kota ini dengan percuma.

3. Menyediakan kafe yang menjual minuman kepada para pelancong.

4. Menyediakan bilik multimedia di mana para pelancong yang melawat kota ini dapat memperolehi maklumat-maklumat berkaitan dengan sejarah kota dan juga sejarah Francis Light serta ketinggalan-ketinggalan sejarah yang masih kekal hingga kini.

5. Menjadikan penjara-penjara lama sebagai galeri sejarah Syarikat Hindia Timur dan juga galeri gambar-gambar lama Kota Cornwallis.

6. Membina model kanopi yang dapat memberi gambaran semasa ketibaan awal Francis Light di Pulau Pinang.

7. Mengembalikan fungsi asal tempat simpanan belerang (gunpowder) dan turut mempamerkan bekas simpanan belerang bersama-sama replika peluru-peluru meriam.

8. Membaikpulih tandas-tandas yang sedia ada di dalam kota ini untuk kegunaan para pelancong.

9. Membina bumbung pada bahagian atas pentas untuk kegunaan pada acara-acara khas.

10. Menyediakan papan-papan tanda informasi pada setiap struktur-struktur tinggalan sejarah sebagai memberi maklumat kepada para pelancong.

(d) Muzium Negeri

Muzium Negeri telah menjadi sebuah Muzium baru sepenuhnya setelah diubahsuai dan dibuka kepada orang ramai dalam tahun 1997. Tindakan untuk meneruskan dengan kerja-kerja menaiktaraf Muzium adalah sentiasa dijalankan oleh pentadbiran Muzium khususnya bagi "Galeri Pelbagai Budaya". Ia adalah salah satu produk pelancongan bagi menarik minat golongan luar untuk menghargai kepelbagaian kaum di Pulau Pinang.
Kembali