Jawapan
Cadangan untuk mencalonkan kawasan warisan George Town secara bersama dengan bandaraya Melaka telah diputuskan oleh Jemaah Menteri pada akhir tahun 1990an. Keputusan untuk mencalonkan George Town dan Melaka sebagai kawasan warisan budaya (cultural heritage) didapati perlu memandangkan Malaysia pada ketika ini belum mempunyai satu pun tapak yang di senaraikan sebagai warisan sedunia UNESCO dalam kategori ¡®budaya¡¯ (atau cultural heritage). Setakad ini Malaysia mempunyai hanya dua tapak kategori warisan semula jadi (natural heritage) ia itu Taman Kinabalu di Sabah dan Taman Mulu di Sarawak.
Negara seperti Hoi An di Vietnam, Seaport City of Valparaiso di Chile, Luang Prabang di Laos, Lyon di Peranchis, Fatehpur Sikri di India, Li Jiang di China dan bandaraya Meknes di Morocco masing-masing mempunyai tapak yang disenarai dalam warisan dunia. Dengan hal yang demikian maka adalah penting bagi Malaysia mempunyai sekurang-kurangnya satu tapak yang disenaraikan sebagai warisan dunia dalam kategori warisan budaya (cultural heritage).
Keputusan Kerajaan Pusat memilih George Town dan Melaka untuk dicalonkan secara bersama adalah tepat kerana kedua-duanya dapat mempersembahkan kepada dunia suatu liputan sejarah tamaddun (civilazation) rantau ini yang bermula dari zaman kesultanan Melayu kepada zaman penjajahan hinggalah ke era kemerdekaan Negara.
Berdasarkan kepada asas-asas keputusan di atas, Kerajaan Pulau Pinang telah mengambil inisiatif untuk mengkaji dan mengenalpasti persempadanan kawasan yang terlibat serta penyediaan dokumentasi untuk tujuan pencalonan ini. Penetapan sempadan kawasan untuk pencalonan George Town ini pula adalah berdasarkan kepada beberapa faktor dan kepentingan yang berikut-
i) George Town sebagai pusat petempatan awal dan ada di antaranya bangunan-bangunan yang wujud sejak 200 tahun lalu;
ii) Ia merupakan sebuah pelabuhan laut yang berada dalam kedudukan semula jadi yang unik secara geografinya dan bentuknya sebagai sebuah tanjung;
iii) Ia melalui suatu proses sejarah bermula dari sebuah petempatan asal penduduk tempatan, diikuti dengan kedatangan penjajah dan disusuli dengan era kemerdekaan;
iv) Sejak awal hingga kini ia didiami oleh penduduk dari pelbagai budaya dan agama dalam suasana muhibbah, saling bekerjasama, harmoni dan bertolerensi. Tidak banyak negara di dunia ini yang dapat menikmati dan mempertahankan suasana yang sebegini hingga ke hari ini;
v) Ia memiliki warisan yang masih kekal dan terus aktif hingga ke hari ini seperti aktiviti perniagaan, pembuatan, perkhidmatan dan kraftangan;
vi) Ia kaya dengan bangunan-bangunan dan tapak-tapak yang menunjulkan pelbagai susunatur tapak, reka bentuk bangunan, dan senibina unik yang mencerminkan pelbagai budaya, adat dan agama; dan
vii) Ia sebagai suatu pusat komersial yang berasaskan kepada pelancungan dengan adanya aktiviti pelabuhan yang mempunyai potensi luas untuk berkembang.
Cadangan asal penetapan kawasan warisan George Town merangkumi suatu kawasan yang besar. Ini didapati perlu untuk mempastikan semua elemen yang dinyatakan di atas dapat di penuhi. Walau bagaimana pun, setelah mendapat maklumbalas dari banyak pihak, kerajaan memutuskan supaya kawasan warisan George Town harus disesuaikan kepada suatu kawasan yang lebih kecil supaya lebih mudah ditadbir dan diuruskan. Di samping itu kawasan yang lebih kecil ini dapat memudahkan kerja-kerja pemuliharaan dilaksanakan dengan lebih berkesan dan hasil manfaatnyanya lebih nyata dikesan dan dinilai.
Kawasan pencalonan warisan George Town yang dicadangkan kini terbahagi kepada dua iaitu Zon Teras dan Zon Penampan. Keluasan bagi kawasan zon teras ialah 99 hektar (245 ekar). Ia ialah lebih kecil dari keluasan zon teras yang asal 193 hektar. Kawasan ini disempadani di bahagian barat oleh Lorong Love, Lorong Carnavon, Lorong Toh Aka, Lebuh Melayu dan Gat Lebuh Melayu. Lebih daripada 1,700 unit bangunan dalam zon tersebut telah dikenalpasti sebagai bangunan-bangunan yang mempunyai unsur warisan.
Dari segi pembahagian guna tanah dalam zon teras, seluas 24 hektar (atau 24%) merangkumi jalan raya, tempat letak kereta dan rezab awam, 21 hektar (atau 21%) merangkumi tanah kerajaan dan keagamaan. Hampir 50 hektar (123 ekar) (50%) adalah tanah persendirian, termasuk tanah yang di bawah milik kongsi, persatuan atau pertubuhan.
Keluasan bagi kawasan zon penampan pula ialah 89 hektar (220 ekar). Ini merupakan pengurangan sebanyak 64% dari keluasan asal 247 hektar. Kawasan ini merangkumi kawasan yang disempadani Jalan Transfer dan Jalan Dr. Lim Chwee Leong.
Berdasarkan kepada prosedur dan kehendak UNESCO satu dokumen pencalonan atau ¡®dossier¡¯ telah disediakan dan diserahkan pada Januari 2004 lalu kepada Jabatan Muzium dan Antikuiti Malaysia di bawah Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan yang bertindak sebagai penyelaras Kerajaan Pusat bagi permohonan Pulau Pinang bersama dengan permohonan dari Melaka. Seterusnya dossier ini berserta dokumen-dokumen yang berkaitan akan diangkatkan untuk persetujuan Jemaah Menteri sebelum dikemukakan sebagai pencalonan rasmi kepada pihak UNESCO yang beribu pejabat di Paris.
Susulan itu pihak UNESCO dijadual akan menjalankan semakan dan penilaian termasuklah melakukan lawatan tapak ke George Town. Beberapa siri perbincangan dijangka akan diadakan di antara pasukan penilai dengan pihak kerajaan tentang pencalonan ini yang melibatkan beberapa aspek perlaksanaan, pentadbiran dan pengurusan kawasan. Diakhir penilaian, pihak penilai akan mengemukakan perakuannya samada layak disenaraikan sebagai warisan dunia. Proses ini dijangka mengambil masa lebih kurang dua atau tiga tahun mengikut amalan dan pengalaman pencalonan tapak-tapak warisan dari negara-negara lain.
Sehubungan dengan ini juga suatu perancangan menyeluruh melalui penyediaan rancangan tempatan di bawah Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) perlu diadakan bagi kawasan ini untuk mempastikan ia terus relevan dengan arus dan matlamat pembangunan sosial, ekonomi dan persekitaran fizikal Negeri. Setelah dipamerkan untuk mendapatkan maklumbalas orang ramai dan diluluskan oleh pihak Negeri, rancangan tempatan ini akan menjadi rujukan bagi pemajuan dan penggunaan semua tanah dan bangunan di dalamnya termasuklah dari aspek pemuliharaan warisan.