MESYUARAT KETIGA PENGGAL PERTAMA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KESEBELAS
Soalan Adakah kerajaan negeri mempunyai perancangan bagi meningkatkan sistem pengangkutan awam di negeri ini terutama di Seberang Perai Utara.
Dun -
Exco THN
Perkara ADUN

Jawapan
Kerajaan negeri sedar bahawa sistem pengangkutan awam di Negeri Pulau Pinang secara amnya tidak berada pada tahap yang memuaskan pada masa sekarang. Sehubungan dengan ini, kerajaan negeri telah mengkaji punca-punca kepada masalah tersebut dan menggariskan rancangan-rancangan untuk menambahbaik sistem pengangkutan awam di Pulau Pinang

Pada 9 Ogos 2004, kerajaan negeri telah memberi taklimat kepada Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Y.B. Dato’ Mohamed Khaled bin Nordin, mengenai keadaan perkhidmatan pengangkutan awam di Pulau Pinang dan cadangan-cadangan untuk menambahbaik perkhidmatan bas awam dan teksi telah dikemukakan untuk pertimbangan Y.B. Menteri.

Dari segi perkhidmatan bas awam, kerajaan negeri sedang berusaha untuk memperkenalkan sistem pakej di mana kerajaan negeri dengan persetujuan LPKP akan menentukan laluan, jadual masa perjalanan serta jenis perkhidmatan iaitu bas berhenti-henti, bas mini atau van yang akan beroperasi dalam satu-satu pakej. Melalui sistem pakej ini juga, kerajaan dapat memastikan bahawa perkhidmatan bas awam disediakan laluan-laluan sosial yang tidak menguntungkan. Kerajaan negeri juga bersedia memberi subsidi supaya perkhidmatan yang efisien dan berkualiti dapat disediakan oleh pengusaha-pengusaha bas awam yang terlibat.

Sebanyak 6 pakej perkhidmatan bas awam telah dikenalpasti untuk seluruh negeri iaitu 3 pakej di bahagian pulau dan 3 lagi untuk kawasan Seberang Perai. Salah satu pakej di Seberang Perai adalah untuk kawasan Seberang Perai Utara. Setiap pakej ini akan diberi perkhidmatan oleh sebuah syarikat bas awam untuk mengurangkan persaingan dan meningkatkan kualiti perkhidmatan.
Dari soal perkhidmatan teksi, kerajaan negeri telah memperakukan kadar tambang baru bagi teksi bermeter untuk pertimbangan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi. Tambang yang diperakukan oleh kerajaan negeri setelah mengadakan perbincangan dengan Gabungan Pemandu Teksi adalah RM3.00 bagi 1 km pertama atau sebahagian daripadanya dan RM0.10 bagi setiap 100 m berikutnya. Kadar ini adalah lebih rendah daripada kadar asal yang dipohon oleh Gabungan Pemandu Teksi iaitu RM3.00 tambang boarding (0 km pertama) dan RM0.10 bagi setiap 100 m berikutnya. Kadar tambang sediada yang ditetapkan oleh Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan adalah RM3.00 untuk 2 km pertama atau sebahagian daripadanya dan RM0.10 bagi setiap 200 m berikutnya. Pemandu-pemandu teksi akan dikehendaki meronda untuk mengambil penumpang apabila sistem teksi bermeter diperkenalkan dan untuk tujuan ini lebih banyak perhentian teksi akan diwujudkan termasuk di Seberang Perai Utara. Sistem bermeter juga akan mengembalikan kepercayaan orang ramai terhadap perkhidmatan teksi kerana kadar tambang adalah tetap dan ini secara langsung akan menggalakkan lebih ramai orang untuk menggunakan teksi.

Kerajaan negeri akan mengadakan perbincangan lanjut dengan pihak Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi serta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) untuk mencari jalan bagi melaksanakan rancangan-rancangan yang telah dikenalpasti untuk menambahbaik perkhidmatan pengangkutan awam di Pulau Pinang.




Kembali