MESYUARAT KETIGA PENGGAL PERTAMA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KESEBELAS
Soalan Mengikut Laporan Khas Pemadam berapa jumlah penagih dadah di Pulau Pinang. Sila beri butiran jumlah penagih dadah yang telah kenapasti mengikut kadunKADUN. Adakah satu analisa dibuat sebab-sebab mereka terlibat dengan dadah, cara pengunaan dan jenis dadah. Sila beritahu butiran mengikut pecahan, kaum, jantina, negeri / negara asal untuk penagih yang bukan anak Pulau Pinang. Apakah tindakan yang di ambil untuk mengatasi masalah ini.
Dun -
Exco SP
Perkara ADUN

Jawapan
Sehingga 31 Ogos 2004, jumlah penagih dadah di Pulau Pinang ialah seramai 5,350 orang. Kedudukan kes-kes pengawasan di dalam komuniti adalah berdasarkan kepada perintah mahkamah mengikut balai polis yang ditetapkan bersesuaian dengan tempat tinggal penagih. Butir-butir kedudukan kes-kes pengawasan mengikut balai polis adalah seperti di Lampiran A.

Berdasarkan maklumat yang diperolehi dari Sistem Maklumat Dadah Kebangsaan (NADI), Agensi Dadah Kebangsaan dan Kementerian Keselamatan Dalam Negeri, pecahan penagih mengikut etnik pada Jun 2004 ialah seperti di Lampiran B manakala pecahan penagih mengikut jantina ialah seperti di Lampiran C.

Sebanyak 80% daripada jumlah penagih yang dikesan di Pulau Pinang merupakan rakyat tempatan dan baki 20% terdiri daripada orang luar yang bukan anak Pulau Pinang. Peratusan ini melibatkan penduduk-penduduk luar iaitu dari negeri Kedah dan Perak yang bersempadan dengan Pulau Pinang dan bekerja di negeri ini.

Cara penggunaan dadah yang banyak dikesan daripada penagih-penagih ini ialah melalui ‘chase the dragon’ dan juga secara suntikan. Dadah yang popular dan paling digemari oleh penagih-penagih dadah ialah jenis ganja, heroin dan morfin.

Terdapat beberapa faktor utama yang menjadi punca mereka terlibat dengan penyalahgunaan dadah. Antara faktor yang dikesan ialah disebabkan oleh pengaruh kawan-kawan serta keinginan untuk mencuba.

Kerajaan telah mengambil beberapa langkah pencegahan penyalahgunaan dadah. Langkah-langkah yang telah diambil ialah seperti berikut:

i) menjalankan ujian pengesanan dadah di dalam air kencing (urine test) yang melibatkan jabatan-jabatan kerajaan termasuk sekolah dan IPTA dan syarikat swasta termasuk kilang-kilang dan hotel-hotel. Ujian secara Operasi Bersepadu juga dijalankan bersama jabatan-jabatan lain.

ii) program pencegahan awalan yang dimulakan di peringkat sekolah. Antara program-program tersebut ialah:

a. Program Intelek Asuhan Rohani (PINTAR) yang melibatkan pelajar sekolah rendah tahun 4, 5 dan 6
b. Program Intervensi Pelajar (PIP) yang melibatkan pelajar sekolah menengah tingkatan 4 yang berisiko tinggi terlibat dengan gejala penagihan dadah
c. Program Gerak Sedar (PROGRES) iaitu program kerjasama dengan Jabatan Pelajaran Negeri Pulau Pinang
d. Kolokium Pendidikan Pencegahan Dadah di kalangan pemimpin pelajar dengan kerjasama Jabatan Pelajaran
e. Karnival Seni Anti Dadah di sekolah rendah dan sekolah menengah di peringkat negeri

iii) program bersama dengan Majlis Belia Negeri

iv) program bersama jabatan kerajaan atau NGO
a. Rukun Tetangga
b. K3P
c. JKKK
d. Qariah, Imam

v) Program Gerakan Tumpuan (PGT) yang melibatkan masyarakat dan penduduk setempat

vi) Pelancaran dan pengisytiharan Tahun 2003 sebagai Tahun Perangi Dadah Habis-habisan sehingga mencapai matlamat Negara Bebas Dadah 2015

vii) Program-program publisiti seperti ceramah, pameran dan siaran radio

Kesemua program yang dianjurkan adalah bertujuan memberi kesedaran untuk meningkatkan penglibatan yang menyeluruh dari semua lapisan masyarakat ke arah membanteras masalah dadah khususnya di Pulau Pinang.








Kembali