MESYUARAT KETIGA PENGGAL PERTAMA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KESEBELAS
Soalan Memandangkan pentingnya sebuah kawasan di Pulau Pinang dikenalpastikan sebagai sebahagian “Multimedia Super Corridor” (MSC), sila nyatakan :- (a) Lokasi tepat MSC di negeri ini dan nama rasminya. (b) Apakah insentif khas yang akan diberikan kepada syarikat-syarikat yang ditubuhkan di kawasan tersebut. (c) Adakah syarikat yang berpotensi akan ditawarkan ruang pejabat atau tanah industri. (d) Adakah MSC akan meningkatkan pertumbuhan ekonomi Negeri P.Pinang dan apakah kelebihannya. (e) Adakah MSC akan menikmati status kuasa pentadbiran penuh seperti MSC di Selangor. (f) Adakah MSC ini mempunyai satu pentadbiran khas untuk mengurus kawasan ini. (g) Adakah kelebihan infrastruktur komunikasi akan dilaksanakan di kawasan tersebut dapat memenuhi permintaan syarikat-syarikat ICT antarabangsa yang tinggi. (h) Berapakan pelabur telah menunjukkan minat untuk menubuh syarikat mereka di situ dan apakah jenis perniagaan mereka.
Dun -
Exco YABKM
Perkara ICT

Jawapan
1. Saya minta izin menjawab soalan ini bersama dengan soalan lisan ID : 14 (5-1) daripada Ahli Batu Uban, Y.B. Encik Wong Mun Hoe dan soalan lisan ID: 79 (11-1) daripada Ahli Sungai Pinang, Y.B. Looi Swee Cheang.

2. Sektor industri merupakan sektor utama dalam Ekonomi Negeri Pulau Pinang yang menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri sebanyak 45-48% dan menjana peluang pekerjaan kepada seramai 200,000 orang. Sebagai jentera kemajuan teknologi, sektor industri akan menerajui lebih banyak aktiviti k-ekonomi baru untuk menanggung pembangunan ekonomi jangka panjang. Di samping itu, sektor industri yang bertapak di Pulau Pinang juga menyumbang kepada sumber hasil kerajaan dalam bentuk berbagai jenis cukai persekutuan, cukai tanah bagi kerajaan negeri dan cukai pintu bagi Kerajaan Tempatan.

3. Walau bagaimanapun, seperti yang sedia maklum, Negeri Pulau Pinang sedang menghadapi persaingan yang sangat sengit dari ekonomi-ekonomi yang muncul berkembang pesat seperti China, India, Vietnam, Rusia, Eropah Timur dan lain-lain. Di samping itu, ekonomi-ekonomi maju yang sedia ada seperti Korea, Taiwan, Hong Kong dan Singapura turut menawarkan insentif-insentif dan geran-geran yang sangat menarik. Di samping itu, ekonomi negeri ini perlu beralih ke arah k-Ekonomi dengan pesat dan memerlukan lebih banyak sumber manusia yang berpengetahuan dan berkemahiran tinggi.

4. Pihak kerajaan negeri setakat ini memang sedar akan cabaran-cabaran ini dan berazam untuk memperkukuhkan daya saing ekonomi Pulau Pinang supaya terus kekal sebagai satu pusat pilihan utama bagi pelaburan antarabangsa yang berjaya. Antara langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan negeri untuk meningkatkan daya saing dan menuju ke era teknologi tinggi ialah dengan mewujudkan Bandar Siber atau “Cybercity" di Pulau Pinang untuk memperbesar dan meningkatkan tenaga mahir, teknologi dan R&D.

5. Sebenarnya sejak tahun 2001, kerajaan negeri telah memulakan perancangan untuk mewujudkan “Cybercity" Pelan Induk ICT Negeri Pulau Pinang yang dilancarkan pada September 2002 telah menetapkan pembangunan “Cybercity" sebagai salah satu sasaran dan program utama dalam pelan induk tersebut. Sejak akhir tahun lepas, PDC telah dipertanggungjawabkan untuk berunding secara mendalam dengan Multimedia Development Corporation (MDC) serta MPPP, MPSP, TNB, Telekom, PBA, JKR dan JPS untuk membuat persiapan supaya memohon dan mewujudkan status “Cybercity" bagi Negeri Pulau Pinang. Saya sendiri mempengerusikan sebuah Jawatankuasa Pemandu Khas untuk tujuan ini.

6. Usaha ini adalah sejajar dengan visi kerajaan untuk menjanakan lebih banyak aktiviti k-ekonomi baru untuk menanggung pembangunan ekonomi jangka panjang dan keputusan Kabinet Pusat untuk ngembangkan “Cybercities" di luar MSC Cyberjaya. Kerajaan negeri memang berhasrat supaya negeri ini menjadi “Cybercity" yang pertama dalam “National Roll-out of MSC"

7. Kerajaan negeri merancang untuk melancarkan 3 buah Bandar Siber dalam Negeri Pulau Pinang. Bandar Siber Pulau Pinang yang pertama digelar Penang CyberCity 1 (PCC 1). Kawasan PCC 1 merangkumi 1,435 ekar di Taman Perindustrian Bayan Lepas dan 260 ekar di kawasan pinggir laut Sungai Nibong termasuk Bayan Mutiara. Bandar Bertam di Kepala Batas dan Bandar Cassia di Batu Kawan dikenalpasti mempunyai potensi untuk dibangunkan sebagai Bandar Siber Pulau Pinang yang ke-2 (PCC 2) dan yang ke-3 (PCC 3) masing-masing selepas tahun 2008.

8. Pelancaran PCC 1 secara rasmi dijangka akan disempurnakan pada bulan November atau Disember 2004 tertakluk kepada ketersediaan YAB Perdana Menteri. Syarikat-syarikat MSC dijangka akan dapat ditempatkan di PCC 1 selepas pelancaran kemudahan-kemudahan Bandar Siber.

9. Seperti di Cyberjaya, kemudahan-kemudahan yang akan disediakan sebagai insentif khas kepada syarikat-syarikat MSC yang bertapak di Penang CyberCity adalah seperti yang ditetapkan dalam 10 Jaminan Kerajaan (Bill of Guarantees atau BoG) berikut:

(1) Menyediakan infrastruktur fizikal dan infrastruktur yang bertaraf antarabangsa.

(2) Memberi kebebasan mengambil tenaga kerja yang berpengetahuan tanpa sekatan kerakyatan.

(3) Memberi kebebasan hakmilik equiti syarikat.

(4) Memberi kebebasan memperolehi sumber dana atau modal dari sumber-sumber antarabangsa.

(5) Memberi insentif kewangan yang berdaya saing, termasuk lepasan cukai pendapatan atau elaun cukai pelaburan, dan tiada cukai ke atas impot perkakasan multimedia.

(6) Perlindungan “Intellectual Property" di bawah Perundangan Siber (Cyber laws).

(7) Tiada penapisan terhadap internet.

(8) Tarif telekom yang berdaya saing antarabangsa.

(9) Memberi keutamaan tender untuk infrastruktur MSC kepada syarikat MSC.

(10) Menyediakan pusat sehenti atau “one-stop centre" untuk menguruskan Bandar Siber.

10. Jaminan kerajaan yang ke-2 hingga ke-9 tersebut berada di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan, seperti insentif kewangan, tarif telekom, penapisan internet, perlindungan “Intellectual Property?di bawah Perundangan Siber (Cyberlaw). Jaminan-jaminan ini akan turut diterima pakai dalam Penang CyberCity.

11. Untuk menunaikan Jaminan Kerajaan yang pertama, kerajaan negeri sedang berusaha meminta pihak-pihak yang berkenaan untuk menaikkan tahap kemudahan dan perkhidmatan telekomunikasi, tenaga letrik, bekalan air dan infrastruktur fizikal di Penang CyberCity supaya setaraf di peringkat antarabangsa mengikut kriteria-kriteria yang ditetapkan oleh MDC. Dengan sokongan dari agensi-agensi dan syarikat-syarikat yang tertentu seperti MPPP, Tenaga Berhad, PBAPP, Telekom Malaysia dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), beberapa projek menaiktaraf infrastruktur dan perkhidmatan telah dikenalpasti dan ada yang di antaranya telah dimulakan pelaksanaan dalam kawasan Penang CyberCity 1 di Bayan Lepas secara berfasa supaya memenuhi kriteria-kriteria bandar siber.

12. Mengenai keperluan BoG ke-10, kerajaan negeri telah memutuskan bahawa promosi dan pengurusan “Cybercity" adalah salah satu daripada tanggungjawab utama Syarikat InvestPenang yang sedang ditubuhkan. InvestPenang akan berfungsi sebagai sebuah Pusat Sehenti untuk menguruskan hal-ehwal dan isu-isu yang berkaitan dengan pembangunan Penang CyberCity.

13. Di antara tugas-tugas yang penting bagi Pusat Sehenti ini ialah mempromosi Penang CyberCity, merancang untuk mewujudkan kemudahan enterprise, membantu syarikat-syarikat yang memohon status MSC dan menjalankan tugas-tugas sekretariat dalam segala urusan dengan MDC. Tambahan pula, InvestPenang akan berhubung dengan semua agensi kerajaan seperti PDC, MPPP, MPSP, JKR, TNB, Telekom dan PBAPP dalam penyediaan kemudahan-kemudahan telekomunikasi, utiliti dan infrastruktur fizikal yang bermutu yang diperlukan. Sekiranya perlu, ianya juga akan membantu syarikat-syarikat MSC dalam urusan dengan jabatan-jabatan yang berkenaan mengenai hal-ehwal imigresen, kastam dan tenaga kerja.

14. Walau bagaimanapun, MPPP akan terus dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan tugas-tugas pihak berkuasa tempatan seperti perkhidmatan kebersihan, kerja-kerja infrastruktur untuk jalan, parit dan lanskap serta pengurusan lalu lintas bagi Taman Perindustrian Bayan Lepas termasuk kawasan persekitaran yang berada di lingkungan Penang CyberCity.

15. PDC akan terus membantu dalam perancangan dan penyediaan kemudahan perusahaan dan ruang pejabat bagi Penang CyberCity ini, termasuk urusan penjualan tanah perindustrian bagi syarikat-syarikat berstatus MSC.

Manfaat-manfaat PCC kepada Negeri Pulau Pinang

16. PCC akan dipertingkatkan kemudahan dan imejnya sebagai bandar siber bertaraf antarabangsa sepertimana yang ditetapkan dalam Jaminan Kerajaan (Bill of Guarantees) supaya menyakinkan para pelabur asing dan tempatan bahawa pelaburan mereka di Bandar Siber Pulau Pinang akan mendatangkan pulangan maksimum berbanding dengan negara-negara lain. Ini akan mengekalkan mereka terus berada di Pulau Pinang, di samping menarik syarikat-syarikat antarabangsa dan tempatan yang berteknologi tinggi untuk melabur dan terus memperbesar pelaburan mereka di Bandar Siber Pulau Pinang.

17. Hasil kajiselidik ke atas para pengusaha di Taman Perindustrian Bayan Lepas Zon Perindustrian Bebas 1, 2 & 3 termasuk Technoplex menunjukkan bahawa 86% dari syarikat tersebut berminat untuk memohon status MSC. Ini menunjukkan minat dan sokongan pihak pengusaha terhadap status Bandar Siber. Sebanyak 63.9% daripada 61 kilang di Taman Perindustrian Bayan Lepas Zon Perindustrian Bebas 1, 2 & 3 termasuk Technoplex adalah dalam sektor perusahaan elektrikal dan elektronik (E&E) dan telekomunikasi.

18. PCC dijangka menggalakkan syarikat-syarikat untuk mengusahakan aktiviti-aktiviti tambah-nilai (value-added) yang tinggi dan berasaskan pengetahuan teknologi tinggi dalam usaha Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) serta reka bentuk dan Pembangunan (D&D), pembangunan aplikasi perisian atau “software applications" penubuhan pusat IT dan sebagainya. Ini akan memperbesar dan meningkatkan lagi tenaga mahir, teknologi dan R&D di Negeri Pulau Pinang.

19. PCC juga akan menjanakan peluang untuk pembangunan syarikat-syarikat tempatan, khususnya Industri Kecil dan Sederhana (SMI) yang berkebolehan teknologi tinggi. Aktiviti-aktiviti perindustrian sedemikian akan mewujudkan peluang pekerjaan baru untuk pekerja berpengetahuan (knowledge workers) dan juga menggalakkan perkembangan perniagaan tempatan.

20. Penguatkuasaan Bill of Guarantees akan menghasilkan kemudahan dan perkhidmatan telekomunikasi, utiliti dan infrastruktur fizikal yang bertaraf antarabangsa di kawasan Bandar Siber Pulau Pinang. Ini bukan sahaja akan memanfaatkan syarikat-syarikat berstatus MSC tetapi juga akan memberi faedah kepada para penduduk di Bandar Siber Pulau Pinang. Perkembangan sedemikian akan menjana ekonomi Bandar Siber Pulau Pinang malah akan mendatangkan kesan-kesan gandaan (multiplier effects) untuk pembangunan ekonomi di luar kawasan Bandar Siber, bagi seluruh negeri ini.






Kembali