Jawapan
(a) Kesesakan lalulintas yang berlaku dekat sekolah pada waktu masuk dan lepas sekolah adalah satu keadaan yang dialami di bandar-bandar di seluruh negara dan Negeri Pulau Pinang tidak terlepas daripada masalah ini. Di antara punca-punca kepada masalah ini adalah:-
i) Ibu bapa yang memilih untuk menggunakan kenderaan sendiri untuk menghantar dan mengambil anak-anak mereka dari sekolah walaupun terdapat perkhidmatan bas sekolah yang baik.
ii) Kebanyakan sekolah tidak membenarkan kenderaan ibu bapa ataupun bas-bas sekolah untuk memasuki kawasan sekolah untuk mengambil dan menurunkan pelajar.
iii) Bas-bas sekolah dan kenderaan ibu bapa yang berhenti di hadapan pintu masuk keluar sekolah dan menghalang aliran lalulintas utama.
(b) Tindakan yang telah diambil oleh kerajaan untuk mengawal masalah ini adalah:-
i) Semua sekolah yang baru dikehendaki menyediakan jalan khidmat ataupun kawasan untuk ibu bapa mengambil dan menurunkan murid-murid di hadapan sekolah.
ii) Jejantas atau lampu isyarat pejalan kaki disediakan di hadapan sekolah untuk keselamatan murid-murid yang melintas jalan. Dengan kemudahan ini kenderaan ibu bapa tidak tertumpu pada satu bahagian jalan sahaja apabila menurun dan mengambil anak-anak mereka.
iii) Jalan-jalan di hadapan dan berdekatan sekolah dilebarkan atau disediakan dengan anjak undur untuk membolehkan kenderaan ibu bapa dan bas sekolah menunggu tanpa mengganggu aliran lalulintas.
iv) Sistem jalan sehala diwujudkan untuk jalan-jalan di sekeliling kawasan luar sekolah bagi menyediakan ruang jalan yang lebih luas untuk kenderaan menunggu tanpa mengganggu aliran lalulintas.
v) Larangan membelok kanan dan kotak kuning diadakan untuk laluan keluar sekolah supaya halangan kepada aliran lalulntas dapat dikawal.
vi) Menyediakan perkhidmatan warden lalulintas untuk sekolah-sekolah yang memerlukan perkhidmatan tersebut dan elaun warden lalulintas dibayar oleh pihak berkuasa tempatan.
c) Pihak Polis sememangnya terlibat dalam pengawalan kesesakan lalulintas di kawasan luar sekolah. Anggota-anggota polis ditempatkan di sekolah-sekolah yang mengalami masalah kesesakan lalulintas yang serius untuk menasihati ibu bapa dan pemandu-pemandu bas sekolah yang menghalang aliran lalulintas. Tindakan penguatkuasaan juga diambil oleh pihak Polis dari semasa ke semasa dengan mengeluarkan saman kepada kenderaan-kenderaan yang menyebabkan kesesakan lalulintas berhadapan sekolah.