Jawapan
Ahli Kawasan Kebun Bunga (Y.B. Dr. Teng Hock Nan):
Dato’ Speaker, masalah banjir berlaku kerana bandar raya Georgetown terletak di kawasan yang rata dan rendah. Bagi mengatasi masalah ini, Projek Tebatan Banjir Kawasan Perbandaran Pulau Pinang sedang dan akan diteruskan pelaksanannya dalam tempoh RM Ke-7 dan RM Ke-8. Projek melibatkan kerja membesarkan dan mendalamkan sungai-sungai termasuk pembinaan jambatan-jambatan gantian. Sungai-sungai terlibat ialah Sungai Pinang, Sungai Air Itam, Sungai Dondang, Sungai Jelutong, Lencongan Sungai Air Terjun- Sungai Bab 1, Sungai Keluang, Sungai Ara, Sungai Dua Besar dan Sungai Gelugor.
Sistem Sungai Gelugor dan Sungai Dua Besar, Sistem Sungai Pinang Fasa 1 dan Lencongan Sungai Air Terjun serta kerja-kerja bekaitan telahpun siap dan yang lain sedang dan akan dijalankan. Pendekatan pengawalan di tapak at source control akan diberi keutamaan untuk mengelakkan keperluan pembinaan infrastruktur yang besar.
Tiga projek saliran bandar iaitu Projek S-19, S-10 dan N-12 sedang dan akan terus dilaksanakan melibatkan pembinaan sistem parit utama, kolam takungan dan rumah pam. Fasa 1 Projek S-10 yang melibatkan pembinaan parit utama Prangin dan rumah pam dan saluran keluar untuk Projek S-18 Fasa 1 telah siap. Projek-projek yang dilaksanakan dipercayai telah membantu mengurangkan jika tidakpun mengatasi sepenuhnya masalah banjir di dalam Georgetown ini.
Projek-projek yang sedang dilaksanakan Dato’ Speaker, ialah:
(a) Pembinaan sistem saliran bandar untuk kawasan tadahan S18 iaitu sepanjang Jalan Gurdwara dan Lebuh Tye Sin dijangka siap Ogos tahun 2000. Kos projek ini ialah lebih kurang RM5 juta.
(b) Yang Ke dua Pembinaan sistem saliran untuk kawasan tadahan N-12 di Persiaran Gurney, Jalan Pangkor dan pembetung di Jalan Perak dijangka siap pada Oktober tahun 2000. Kos projek Dato’ Speaker, lebih kurang RM4.7 juta.
(c) Mendalam dan melebarkan Sungai Keluang dan Sungai Ara sepanjang lebih kurang 3.2 km dijangka siap pada Mac tahun 2001. Kos projek lebih kurang Dato’ Speaker, RM2.1 juta.
(d) Kerja pemasangan pam dan kerja-kerja elektrikal dan mekanikal yang berkaitan untuk kolam takungan Sungai Dondang dijangka siap sedikit masa lagi. Kos projek lebih kurang RM493,439.00.
(e) Kerja Menaik Taraf Parit Utama di Gat Lebuh Leith, projek telah bermula pada Mac tahun ini dan dijangka siap pada akhir tahun ini. Anggaran kos ialah sebanyak RM1 juta.
Projek-projek tebatan bajir yang akan dilaksanakan pula adalah seperti berikut:
(a) Mendalam dan melebarkan Sungai Pinang Fasa II sepanjang lebih kurang 1.7 km bermula daripada Jambatan Patani hingga ke Jambatan Jalan Dato’ Keramat termasuk menaik taraf tiga buah jambatan di Jalan Patani, Jalan Perak dan Jalan Datok Keramat.
(b) Membina dua buah kolam takungan untuk kawasan tadahan S-10 dan S-18 termasuk pemasangan pam.
(c) Mendalam dan melebarkan Sungai Air Itam, Sungai Dondang dan Sungai Jelutong.
Projek-projek ini dianggarkan akan menelan perbelanjaan lebih kurang RM70 juta sahaja.
Di samping itu banjir kilat sering berlaku Dato’ Speaker, disebabkan parit-parit dan scupper drain yang sering dipenuhi dengan kelodak, sampah sarap dan lain-lain dari masa ke semasa. Ini mengakibatkan parit-parit tidak berfungsi dengan sempurna. Perhatian telah dan akan terus diberikan untuk memastikan penyenggaraan dan pembaikan parit-parit secara berterusan oleh MPPP dan MPSP di samping meningkatkan lagi usaha kerja pembersihan. Pihak Berkuasa Tempatan sedang mengkaji kesesuaian memasang trash screen di lokasi-lokasi strategik supaya sampah sarap yang dibuang ke dalam parit dapat dikumpul dan dipungut. Pihak Berkuasa Tempatan bersama Kerajaan Negeri juga berusaha untuk meningkatkan kesedaran orang ramai supaya sampah sarap tidak dibuangkan ke dalam parit dan sungai.
Tuan Speaker:
Soalan tambahan
Ahli Kawasan Datok Keramat (Y.B. Encik Lim Boon Chang):
Dato’ Speaker, saya ada soalan mengenai projek-projek tebatan banjir Sungai Pinang Fasa 2 dan Sungai Jelutong, soalan saya ialah berapakah keluarga yang telah dipindahkan setakat ini untuk projek-projek ini dan bilakah proses pengambilan tanah dijangka siap. Saya mesti menyoal sebagai soalan tambahan di dalam Dewan yang mulia ini kerana satu surat saya kepada Yang Berhormat Kebun Bunga pada 17 Februari tahun ini tidak menerima apa jua jawapan tentang soalan yang sama yang saya baru-baru ini sebutkan dan bilakah ini boleh dijawab?
Ahli Kawasan Kebun Bunga (Y.B. Dr. Teng Hock Nan):
Terima kasih Dato’ Speaker, tentang keluarga-keluarga yang terlibat saya perlu semak balik dan saya bolehlah bagi satu jawapan secara bertulis dan itu juga dengan pengambilan tanah.
Ahli Kawasan Datok Keramat (Y.B. Encik Lim Boon Chang):
Dato’ Speaker, ini sudah dalam satu tulisan, black and white ada hitam putih dan dihantar kepada Yang Berhormat, pada 17hb Februari tahun ini sudah dapat notis yang awal-awal tahun ini, mengapa ini menunjukkan efficiency Yang Berhormat atau Kerajaan Negeri inikah prestasilah yang mustahak Barisan Nasional, mesti perform…..(gangguan).
Tuan Speaker:
Y.B. Dato’ Keramat, nanti dia akan beri jawapan
Ahli Kawasan Datok Keramat (Y.B. Encik Lim Boon Chang):
Tidak puas hati, sampai tahap ini.
Tuan Speaker:
Jawapan akan menyusul saya pastikan.
Ahli Kawasan Datok Keramat (Y.B. Encik Lim Boon Chang):
Terima kasih.
Ahli Kawasan Telok Kumbar (Y.B. Tuan Syed Amerruddin b. Dato’ Syed Ahmad):
Soalan tambahan.
Tuan Speaker:
Soalan tambahan, Ahli Kawasan Telok Kumbar.
Ahli Kawasan Telok Kumbar (Y.B. Tuan Syed Amerruddin b. Dato’ Syed Ahmad):
Saya hendak tanya Ahli Kawasan Kebun Bunga, tadi dia sebut banyak projek, hanya satu sahaja terdapat di Barat Daya, saya hendak tanya, bagaimana perancangan untuk kita hendak perbetulkan Sungai Bayan Lepas. Lepas ini terlibat tiga kampung banjir di kawasan saya sendiri, kampung saya sendiri terdapat banjir musim hujan. Dahulu telahpun di announce oleh Y.B. daripada Telok Bahang, tentang projek peruntukan untuk kita perbesar dan perdalam Sungai Bayan Lepas, jadi tadi tidak disebut langsung tentang Sungai Bayan Lepas, minta penjelasan dan soalan tambahan.
Ahli Kawasan Kebun Bunga (Y.B. Dr. Teng Hock Nan):
Yang Berhormat daripada Telok Kumbar, ada bercadang untuk mengadakan satu projek untuk Sungai Bayan Lepas. Bolehkah Yang Berhormat daripada Teluok Kumbar, mengemukakan supaya kita boleh bincang lagi bagaimana kita dapat menjalankan projek seperti ini.
Ahli Kawasan Telok Kumbar (Y.B. Tuan Syed Amerruddin b. Dato’ Syed Ahmad):
Perkara ini kita telah bincang dalam mesyuarat Pembangunan Daerah, saya ingat JPS telahpun kemukakan pada peringkat negeri mungkin surat itu kepada JPS daerah ini telah hilang tidak tahu,
Ahli Kawasan Kebun Bunga (Y.B. Dr. Teng Hock Nan):
Saya boleh semak balik, Yang Berhormat
Tuan Speaker:
Saya hendak bagi pada orang yang bertanya soalan tadi, ada, tidak ada. Satu sahaja lagi soalan tambahan untuk bukan pembawa soalan.
Ahli Kawasan Batu Lanchang (Y.B. Encik Law Heng Kiang)
Walaupun Kerajaan Negeri mempunyai banyak rancangan-rancangan untuk mencegah banjir di Negeri Pulau Pinang, tetapi apabila hujan merata-rata tempat di Pulau Pinang termasuk tempat-tempat yang tidak biasa dilanda banjir juga dilanda banjir adakah ini menunjukkan Kerajaan Negeri lembab?