Jawapan
Ketua Menteri:
52. (1) Kerajaan Negeri mengambil maklum cadangan pihak tertentu supaya kadar tarif air dinaikkan sebagai satu langkah untuk menggalakkan penjimatan air. Sebenarnya, sejak dari dulu, tarif kadar air di Negeri Pulau Pinang pernah dinaikkan dari masa ke semasa. Misalnya, tarif air dinaikkan dua kali dalam tahun 70-an, tiga kali dalam tahun 80-an dan sekali dalam tahun 90-an, iaitu pada tahun 1993.
(2) Apabila pihak Kerajaan Negeri memberi pertimbangan terhadap sama ada tarif air perlu dinaikkan, beberapa faktor akan diambil kira, seperti berikut:-
(a) Negeri Pulau Pinang memang menghadapi keadaan water stress yang amat serius atau kekurangan sumber air dalam negeri kita sendiri dan terpaksa bergantung kepada sumber air dari negeri jiran, di mana lebih daripada 80 peratus bekalan air berasal dari Negeri Kedah.
(b) Walaupun demikian, kadar tarif air di Negeri Pulau Pinang merupakan yang terendah dan termurah sekali berbanding dengan kadar tarif air di semua negeri yang lain. Perbandingan kadar tarif dengan Perak dan Kedah, dua buah negeri yang kaya dengan sumber air serta Melaka yang merupakan sebuah negeri water stress juga adalah seperti berikut:-Perbandingan Tarif Air (RM/m3)
Kegunaanm3 Pulau Pinang Kedah Perak Melaka
Domestikmin/bulan RM2.50 RM3.00 RM3.00 RM3.00
0 -1010 - 1515 - 2020 - 4040 - 60> 60 0.22 0.22 0.22 0.42 0.42 0.70 0.40 0.70 0.70 0.70 0.90 1.10 0.30 0.70 0.70 0.90 0.90 0.90 0.45 0.45 0.70 0.70 1.10 1.10
Perniagaanmin/bulan RM10.00 RM10.00 RM12.00 RM15.00
0 - 1010 - 2020 - 10001000 - 5000> 5000 0.52 0.52 0.70 0.70 0.70 1.20 1.20 1.20 1.40 1.80 1.20 1.40 1.40 1.40 1.40 1.40 1.40 1.40 1.40 1.40
Adalah nyata bahawa tarif air di Negeri Pulau Pinang adalah setengah atau kurang daripada setengah tarif air di negeri-negeri tersebut.
(c) Oleh kerana keperluan kemudahan air untuk tujuan perindustrian, komersial dan domestik kian meningkat, projek-projek pengeluaran, rawatan dan pengedaran air perlu dilaksanakan dari masa ke semasa untuk memastikan bekalan air yang berkualiti dan mencukupi bagi semua pengguna. Projek-projek ini melibatkan kos pembangunan yang besar dan semakin meningkat.
(d) Oleh kerana sumber air merupakan sumber yang agak terhad dan bernilai, adalah perlu untuk mengurangkan pembaziran air serta menggalakkan penjimatan dan penggunaan secara cermat. Mengikut pengalaman di negara-negara lain, salah satu langkah yang didapati berkesan untuk mencapai tujuan ini adalah melalui jadual tarif yang kian meningkat dengan isipadu penggunaan yang lebih.
(3) Walau bagaimanapun, dalam mempertimbangkan taraf tarif yang sesuai, Kerajaan Negeri memang akan mengambil kira kemampuan pengguna dan kesan-kesan ekonomi yang lain supaya memastikan bahawa ianya tidak akan terlalu membebankan kebanyakan pengguna.
(4) Adalah dijangka bahawa sekiranya tarif air dinaikkan pun, tarif air di Negeri Pulau Pinang masih akan berada di tahap yang paling murah di negeri ini dan tidak akan menjejaskan majoriti pengguna.
(5) Perkara ini masih di peringkat perbincangan oleh Lembaga Perbadanan Bekalan Air (Pulau Pinang) Sdn. Bhd. Beberapa perundingan akan diadakan dengan pertubuhan-pertubuhan tertentu yang mewakili pandangan para pengguna, seperti Persatuan Pengguna, Federation of Malaysian Manufacturers (FMM) dan sebagainya, sebelum pihak Kerajaan Negeri membuat keputusan.