MESYUARAT PERTAMA PENGGAL KETIGA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KEDUABELAS
19/04/2010
Soalan (a) Sejauh manakah status gejala sosial atau maksiat terkini membabitkan salah laku Undang-Undang Syariah dan Sivil terutamanya kanak-kanak, remaja dan belia di Negeri Pulau Pinang. (b) Sila nyatakan jumlah kesalahan tersebut dari 2006 hingga 2010, komposisi kaum dan kesalahan kesalahan yang dilakukan. (c) Sejauh manakah cara kerajaan mengawal gejala sosial atau maksiat daripada merebak dan merosakkan masyarakat.
Dun -
Exco Y.B. PUAN ONG KOK FOOI
Perkara Isu

Jawapan
(a) Gejala sosial atau maksiat membabitkan salahlaku undang-undang syariah dan sivil terutamanya kanak-kanak, remaja dan belia di Pulau Pinang kini di peringkat terkawal hasil usaha-usaha yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan termasuklah Jabatan Kebajikan Masyarakat, Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Agama Islam Pulau Pinang. Sungguhpun begitu, Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan terus berusaha untuk memastikan masalah gejala sosial dan maksiat dapat dibendung.
(b) Kes-kes juvana yang dirujuk oleh Mahkamah ke Jabatan Kebajikan Masyarakat dari tahun 2005 hingga 2010 mengikut komposisi kaum dan jenis kesalahan yang dilakukan serta kes-kes jenayah Syariah dari tahun 2005 hingga 2009 adalah seperti di Lampiran.
(c) Untuk menangani jenayah sosial dan maksiat di kalangan masyarakat, Kerajaan Negeri dengan kerjasama pihak PDRM sentiasa mengadakan pemeriksaan berterusan dan operasi bersepadu bersama agensi lain seperti Imigresen, Jabatan Kastam, RELA, Jabatan Pendidikan dan Jabatan Agama Islam bagi menangani gejala sosial yang melibatkan penuntut dan masyarakat amnya.
Kerajaan Negeri sedar bahawa usaha untuk mencegah gejala sosial seharusnya bermula di peringkat sekolah. Dengan itu, pendedahan dan penerangan tentang gejala sosial kepada pelajar perlu diteruskan. Kerajaan Negeri dengan kerjasama Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menempatkan pegawai polis di semua sekolah menengah dan sekolah rendah yang dikenali sebagai Pegawai Perhubungan Sekolah bagi mengawal selia serta mendidik para pelajar. Pegawai yang dilantik sentiasa mendampingi, bekerjasama dan berinteraksi dengan pihak sekolah dan murid-murid sebagai langkah awal pencegahan jenayah bagi menyemai perasaan negatif dan benci kepada perlakuan yang melanggar undang-undang. Di samping itu, pihak Polis juga sentiasa menggalakkan pihak sekolah menubuhkan Kelab Pencegahan Jenayah bagi mendidik kanak-kanak & pelajar-pelajar sekolah memahami peranan mereka sebagai rakyat Malaysia.

Selain dari itu, Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Gejala Sosial telah menubuhkan jawatankuasa-jawatankuasa kerja iaitu :
1) Jawatankuasa Kerja Membendung Masalah Sosial
2) Jawatankuasa Kerja Mencegah Gejala dan Dadah
3) Jawatankuasa Kerja Kerukunan Rumah Tangga
4) Jawatankuasa Kerja “Penang Smoke Free”.



Program yang telah dijalankan di bawah Jawatankuasa MMK Gejala Sosial bagi tahun 2009 ialah Program Jalinan Mesra Ke Arah Pemantapan Jati Diri telah diadakan pada 2 hingga 4 Oktober 2009 yang memberikan tumpuan kepada kes-kes pesalah muda. Selain dari itu, Kem Jati Diri khusus untuk remaja telah diadakan pada 24-26 Julai 2009 yang bertujuan untuk membentuk sahsiah murni di kalangan peserta.
Kerajaan Negeri melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat telah menganjurkan beberapa program seperti Kelab Pencegahan Jenayah di semua sekolah menengah dan rendah. Pelbagai seminar PIBG telah diadakan di setiap daerah bagi menimbulkan kesedaran mengenai isu-isu remaja dan belia pada masa kini seperti jenayah, lumba haram dan sebagainya. Bagi remaja-remaja bermasalah pula Program Jati Diri Sekolah Menengah telah dilaksanakan dan begitu juga dengan Program Rancangan Integrasi Murid Perpaduan (RIMUP) untuk meningkatkan semangat perpaduan di kalangan remaja.
Kumpulan sasar Jabatan Kebajikan Masyarakat adalah terdiri daripada belia berumur 18 tahun. Berdasarkan kepada kumpulan sasar ini, Jabatan melalui Pasukan Perlindungan Kanak-Kanak (PPKK) telah menubuhkan Pusat Aktiviti Kanak-Kanak (PAKK) bagi tujuan mengisi masa lapang dan membendung gejala sosial. Terdapat 9 buah PAKK di negeri ini yang menjalankan aktiviti bercorak harian, bulanan dan tahunan. Seramai 512 orang kanak-kanak dari seluruh negeri Pulau Pinang telah berdaftar di PAKK setakat bulan April 2010. Antara usaha PAKK untuk membendung gejala sosial adalah melalui aktiviti-aktiviti secara berterusan iaitu:

i. Kelas mengaji
ii. Kelas tuisyen
iii. Kompang
iv. Kelas komputer
v. Kelas membaca dan bercerita
vi. Kelas kebudayaan

Kerajaan Negeri melalui Bahagian Penguatkuasaan, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang turut telah melaksanakan pelbagai langkah untuk mengawal gejala maksiat ini melalui langkah-langkah berikut :
i. Mengadakan operasi secara berkala dari semasa ke semasa di kawasan tumpuan “hot spot” sekitar persisiran pantai, hotel-hotel, pusat-pusat hiburan dan premis judi.
ii. Mengadakan Taklimat Undang-Undang kepada pemimpin- pemimpin masyarakat bagi menangani gejala maksiat, dan
iii. Mengadakan Kursus Undang-Undang Syariah kepada Pegawai Masjid bagi meningkatkan profesionalisme kepada Pegawai Masjid bagi membantu Pegawai Penguatkuasa Agama mencegah kemungkaran.

Kembali