MESYUARAT PERTAMA PENGGAL KETIGA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KEDUABELAS
19/04/2010
Soalan Dasar Kerajaan Negeri (KN) dalam pentadbiran untuk memenuhi konsep Amar Makruf Nahi Mungkar dan mengikut pentadbiran Umar Abd. Aziz. (a) Apakah model atau contoh yang boleh dibanggakan kini. (b) Adakah konsep ini dihayati oleh pemimpin KN dan kakitangan perkhidmatan awam. (c) Jelaskan perancangan KN dalam tempoh dua tahun akan datang mengikut konsep ini.
Dun -
Exco Y.B. TUAN HAJI ABDUL MALIK BIN ABUL KASSIM
Perkara Hal Ehwal Agama Islam

Jawapan
(a) Apabila kerajaan Pakatan Rakyat mengambil alih Pentadbiran Kerajaan Negeri pada bulan Mac, 2008, kerajaan telah melaksana konsep Amar Makruf Nahi Mungkar dan mencontohi pentadbiran Khalifah Umar bin Abd. Aziz. Menyuruh berbuat baik atau membuat kebaikan dan mencegah yang mungkar atau perkara yang mendatangkan kemudaratan adalah relevan pada semua orang sama ada Islam atau orang bukan Islam. Berbuat baik dan melarang mungkar adalah menjadi tanggungjawab masing-masing tanpa mengira kedudukan sama ada pemerintah atau rakyat. Oleh itu, konsep ini sangat sesuai sebagai dorongan semua lapisan untuk berkhidmat dengan sebaik mungkin bagi mendatangkan kebaikan dan dalam masa yang sama mencegah kemungkaran, kerosakan atau kecacatan. Ini secara tidak langsung akan meningkatkan kualiti perkhidmatan atau barang yang dikeluarkan.

Konsep yang kedua iaitu mencontohi pentadbiran Khalifah Umar bin Abd. Aziz yang terkenal dengan sifat amanah, bertanggungjawab, adil, berakhlak tinggi dan tidak mementingkan kebendaan dan kemewahan. Secara ringkasnya dengan mencontohi sifat-sifat ini menjadikan setiap individu yang memegang tanggungjawab mempunyai tahap integriti yang tinggi dan tidak bersifat tamak haloba. Ini secara tidak langsung akan mengurangkan gejala rasuah, penyelewengan, salah guna kuasa dan sebagainya. Beberapa inisiatif yang dijalankan oleh kerajaan seperti pelaksanaan konsep Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT), e-Perolehan, penubuhan Institut Integriti Pulau Pinang, memberi penghargaan kepada para huffaz dan guru KAFA, bantuan kepada warga emas dan lain-lain adalah contoh-contoh yang menjurus kepada amalan kedua-dua konsep tersebut.

(b) Namun begitu Kerajaan Negeri percaya pemimpin dan kakitangan kerajaan yang mendukung kerajaan sekarang mula memahami dan menghayati perkara ini. Pendekatan konsep 3A dan 3B yang diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri di antaranya adalah untuk melahirkan pegawai yang Available, Affordable dan Accessible (3A) dan bersifat Benar, Berani dan Bijak (3B) dalam melaksanakan tanggungjawab adalah selari dengan konsep Amar Makruf Nahi Mungkar dan mencontohi pentadbiran Khalifah Umar bin Abd. Aziz.

(c) Kedua-dua konsep Amar Makruf Nahi Mungkar dan contoh pentadbiran Khalifah Umar Abd. Aziz tersebut merupakan nilai-nilai kebaikan yang akan terus dilaksanakan bersama-sama dengan semua program yang lain. Sebagaimana sedia maklum bahawa Negeri Pulau Pinang merupakan negeri yang pertama di Malaysia yang mengamalkan prinsip CAT. Prinsip ini membolehkan Kerajaan Negeri memulakan suatu arah tuju baru untuk membuktikan bahawa kerajaan yang berkesan, bertanggungjawab dan bersih boleh dicapai. Bagaimanapun, lebih penting lagi ialah prinsip CAT ini akan membolehkan rakyat Pulau Pinang berkongsi kejayaan dan kekayaan Negeri pada masa sekarang dan akan datang. Berdasarkan konsep tersebut jugalah, Kerajaan Negeri memberi penekanan utama kepada tiga (3) teras utama dalam perancangan pembangunan negeri iaitu merancakkan pertumbuhan ekonomi (pro-growth), mewujudkan peluang pekerjaan (pro-jobs) dan menjamin keadilan sosio-ekonomi (pro-poor) yang memperlihatkan bahawa kerajaan benar-benar serius untuk memastikan bahawa semua lapisan rakyat negeri ini mendapat mengecapi sepenuhnya kemakmuran ekonomi yang dihasilkan di bawah Kerajaan Negeri sekarang.

Program bagi memantapkan kefahaman tentang pemerintahan Khalifah Umar Abd. Aziz telah diadakan pada awal 2009 bersama NGO-NGO Islam. Usaha selanjutnya ialah mengadakan Persidangan Antarabangsa Khalifah Umar Abd. Aziz anjuran Kerajaan Negeri dijangka diadakan pada pertengahan tahun ini.
Kembali