MESYUARAT PERTAMA PENGGAL KETIGA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KEDUABELAS
19/04/2010
Soalan MESYUARAT PERTAMA PENGGAL KETIGA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG YANG KEDUA BELAS 19 APRIL 2010 PERKARA : 5(B)(XVIII)5 SOALAN BERTULIS OLEH AHLI KAWASAN BUKIT TENGAH Y.B. TUAN ONG CHIN WEN 5. Adakah Lembaga Hak Milik Strata berfungsi di Negeri Pulau Pinang? Sekiranya tidak, mengapa?
Dun -
Exco YAB. KETUA MENTERI
Perkara ADUN

Jawapan
JAWAPAN OLEH Y.A.B. KETUA MENTERI

5. Lembaga Hakmilik Strata Pulau Pinang pernah berfungsi selama 2 sesi iaitu dari 8 Mei 2002 sehingga 7 Mei 2004 dan pada 9 Jun 2005 sehingga 8 Jun 2007. Lembaga Hakmilik Strata (LHS) Negeri Pulau Pinang sesi pertama dan kedua telah ditubuhkan di bawah Akta Hakmilik Strata 1985 - Akta A1107 (Pindaan 2001) yang berkuatkuasa pada 1 Disember 2001.

Lembaga Hakmilik Strata Pulau Pinang sesi pertama telah dianggotai seramai 20 ahli Lembaga yang dilantik untuk tempoh 2 tahun. Walau bagaimanapun tidak ada kes yang dirujuk kepada Lembaga dan yang pada ketika itu masih belum mempunyai kaedah-kaedah Lembaga.

Setelah tempoh lantikan ahli-ahli Lembaga pada sesi yang pertama tamat, Pihak Berkuasa Negeri telah melantik 16 orang Ahli Lembaga Hakmilik Strata Negeri Pulau Pinang yang baru berkuatkuasa pada 9 Jun 2005. Kaedah-kaedah Lembaga Hakmilik Strata (Negeri Pulau Pinang) telah diwartakan pada 23 Jun 2005 dan Lembaga Hakmilik Strata telah berjalan dengan pemakaian kaedah tersebut sehingga tempoh pelantikan Ahli-ahli Lembaga tamat. Senarai nama Presiden, Timbalan Presiden dan Ahli-ahli Lembaga Hakmilik Strata Pulau Pinang sepanjang tempoh 9 Jun 2005 sehingga 8 Jun 2007 adalah seperti di Lampiran A.
Semasa Perjalanan Lembaga pada sesi kedua, sebanyak 15 kes telah dirujuk kepada Lembaga Hakmilik Strata Negeri Pulau Pinang. Sebanyak 12 kes telah diselesaikan manakala baki 3 kes telah dirujuk kepada Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (Seksyen Hakmilik Strata) pada 26 Jun 2007. Senarai kes-kes yang telah dirujuk kepada Lembaga tersebut adalah seperti di Lampiran B.

Baki 3 kes Lembaga tersebut dirujuk kepada Jabatan Pengarah Tanah dan Galian (Seksyen Hakmilik Strata) kerana kes-kes tersebut telah diterima selepas kuatkuasa Akta A1290 dan Akta A1107 tidak terpakai lagi.

Dalam tempoh kuatkuasa Akta A1107, hanya Negeri Pulau Pinang sahaja yang telah menubuhkan Lembaga ini. Proses menubuhkan Lembaga di peringkat negeri lain pada masa itu adalah amat perlahan dan ianya berpunca daripada faktor-faktor masalah kewangan, masa yang lama diperlukan untuk mewartakan kaedah-kaedah Lembaga dan kesukaran untuk mendapatkan calon-calon yang sesuai untuk menganggotai Lembaga.

Pindaan undang-undang Akta Hakmilik Strata 1985 (Akta A 1290 Pindaan 2007) telah dibuat setelah mempertimbangkan kesulitan yang dihadapi oleh Pihak Berkuasa Negeri bagi menubuhkan Lembaga di Negeri masing-masing. Asas pindaan undang-undang tersebut adalah bagi membantu masalah kewangan yang dihadapi oleh Pihak Berkuasa Negeri bagi menubuhkan Lembaga.

Pindaan Akta Hakmilik Strata 1985 pada 2007 (Akta A1290) telah menyebabkan Lembaga sepatutnya ditubuhkan di peringkat persekutuan dan tiada lagi di peringkat negeri. Sehubungan dengan itu, Lembaga Hakmilik Strata peringkat negeri perlulah dibubarkan, oleh itu Lembaga Hakmilik Strata Negeri Pulau Pinang adalah tidak berfungsi lagi.


Walau bagaimanapun, setelah diteliti semula kemudiannya, didapati terdapat isu perundangan yang telah merencatkan pelaksanaan Lembaga tersebut.

Pada 4 Januari 2010, Pengarah Tanah dan Galian Pualu Pinang telah menerima surat daripada Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (Persekutuan) untuk diambil tindakan-tindakan berikut:-

a) Pihak Berkuasa Negeri mengemukakan nama seorang (1) calon Timbalan Presiden dan seorang (1) calon sebagai ahli LHS.

b) Pihak Berkuasa Negeri mewartakan kaedah-kaedah LHS menurut perenggan (aa) dan (ab) subseksyen 81(1) AHS 1985.

Surat daripada Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian tersebut adalah susulan daripada pandangan Jabatan Peguam Negara bahawa penubuhan LHS di bawah Seksyen 67A (3) AHS (Akta A 1290) berkuatkuasa pada 12 April 2007 adalah tidak bercanggah dengan perlembagaan persekutuan dan boleh ditubuhkan di peringkat persekutuan. Ini adalah kerana Akta 318 dibuat di bawah perkara 76(4) Perlembagaan Persekutuan bagi memastikan keseragaman undang-undang dan dasar.

Pengarah Tanah dan Galian Pulau Pinang kemudiannya pada 5 Februari 2010 telah membentangkan kertas mesyuarat Jawatankuasa Tanah Negeri bagi mendapatkan nama seorang Timbalan Presiden dan seorang ahli Lembaga serta untuk mengekalkan Kaedah Lembaga Hakmilik Strata (Negeri Pulau Pinang) yang telah diwartakan pada 23 Jun 2005. Jawatankuasa Tanah Negeri telah meluluskan untuk mengekalkan kaedah lembaga tetapi masih meneliti nama calon timbalan dan ahli Lembaga untuk perbincangan lanjut. Adalah dijangkakan nama calon-calon untuk menganggotai Lembaga Hakmilik Strata di Peringkat Persekutuan akan diputuskan dalam masa terdekat ini.
Kembali