MESYUARAT PERTAMA PENGGAL KETIGA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KEDUABELAS
19/04/2010
Soalan SOALAN BERTULIS OLEH AHLI KAWASAN SUNGAI ACHEH Y.B. DATO MAHMUD BIN ZAKARIA 3. Apakah langkah yang telah diambil oleh Pihak Berkuasa dalam mengatasi masalah lori-lori yang disimpan di dalam kawasan taman-taman perumahan yang mengganggu lalu lintas dan keselesaan penduduk?
Dun -
Exco Y.B. TUAN CHOW KON YEOW
Perkara Keselamatan

Jawapan
Y.B. TUAN CHOW KON YEOW
MENJAWAB BAGI PIHAK Y.A.B. KETUA MENTERI

3. Pihak Berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengambil tindakan saman sekiranya tidak mematuhi isyarat lalu lintas di bawah seksyen 79(2) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan sekiranya meletakkan kenderaan di kawasan taman yang terdapat papan tanda dilarang meletak kenderaan atau terdapat garisan kuning berkembar. Tindakan saman halangan di bawah seksyen 48 APJ 1987 boleh diambil sekiranya lori-lori yang diletakkan menghalang aliran trafik sehingga tidak dapat bergerak. Bagi kawasan taman-taman perumahan, lori yang disimpan mengganggu lalu lintas dan keselesaan penduduk tidak menyalahi undang-undang di bawah seksyen 79(2) APJ 1987 dan sek 48 APJ 1987. Sehingga kini, tiada di dalam rekod polis mengenai statistik saman ke atas lori-lori yang disimpan di kawasan taman-taman.

Di bawah Seksyen 79(2) APJ 1987 Jabatan Pengangkutan Jalan boleh mengambil langkah melalui tindakan saman sekiranya terdapat papan tanda dilarang meletak kenderaan di kawasan perumahan tersebut. Saman juga boleh dikeluarkan di bawah Seksyen 48 APJ 1987 bagi mana-mana pemandu sesuatu kenderaan bermotor yang memberhentikan kenderaan di mana-mana jalan yang menyebabkan bahaya, halangan atau kesusahan tak berpatutan kepada pengguna-pengguna jalan yang lain atau kepada lalu lintas.

Bagi Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) tindakan penguatkuasaan yang telah dilakukan untuk mengatasi masalah lori-lori yang disimpan di dalam kawasan taman-taman perumahan adalah seperti berikut :


Tindakan TAHUN
2009 2010
Notis 70 39
Kompaun 590 160
Tarik 4 0
Tindakan Mahkamah 0 0

Kembali